Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
gaya hidup

“Tak Kena Lagi Bolehlah Cakap. Bila Dah Kena, Sampai Najis Pun Nurse Cucikan…” – Ahmad Firdous Raissudin.

Huda Hussain 02/10/2021 | 15:47 MYT
Baru-baru ini, abang kepada Allahyarhamah Siti Sarah Raissudin; Ahmad Firdous Raissudin ada berkongsi pengalamannya berperang dengan Covid-19 menerusi satu muat video berdurasi 33 minit. Syukur masih dilanjutkan usia dengan izin dan kuasa-Nya, antara lain intipati kandungan video berkenaan mahu memperbetulkan dakyah khususnya kumpulan yang menolak vaksin. Dia yang berada dalam kategori empat Covid-19 berkongsi keadaan paru-parunya yang mengalami masalah serius.
Tambahnya lagi, “Siapa yang kena Covid-19 ni, akan demam pada suhu 40 darjah celcius selama beberapa hari. Kalau dah start muntah, buang air besar cepat-cepatlah pergi hospital. Saya lebih kurang lapan hari duduk rumah, kira dah lambat. Kita pun first time kena Covid, tak tahu macam mana. Itu yang mengakibatkan paru-paru makin rosak,” tambah Firdous lagi.
Kredit Foto: Google
Perlu Ada Oximeter Dirumah
Melanjutkan bicara, Firdous juga berkongsi pandangannya mengenai antibodi setiap individu itu berbeza. Dan dalam keadaan untuk melawan Covid-19, ia lebih mencabar. “Ini yang perlu ada, oximeter. Yang antivaksin sekalipun, dah pergi hospital kalau tak percaya oksigen awak drop bawa sendiri check,” ulasnya yang dalam masa sama turut melakukan pemeriksaan kadar oksigen yang merekodkan bacaan 98. Dia turut mengingatkan agar semua yang menonton jangan berlengah ke hospital jika bacaan oksigen semakin rendah. Kerana virus Covid-19 juga katanya selain merosakkan paru-paru, ia juga berupaya mengundang virus lain untuk merosakkan organ-organ dalaman seperti buah pinggang, hati juga hempedu.
“Mungkinlah kalau kita tak vaksin, antibodi tak kuat itu yang mungkin akan melemahkan antibodi dan kita boleh terkena stage 4, 5 macam ni. Kalau kita ambil vaksin dan tengok juga antibodi kita kalau lemah pun boleh kena level yang tinggi juga. Tapi kebanyakannya sekarang, semua boleh pergi ke level 1, 2 sahaja. Ia bergantung pada antibodi sebenarnya. Kalau kuat, Insya-Allah boleh,” hurainya lagi.
Kredit Foto: Facebook Ahmad Firdous Raissudin
Kepentingan Pengambilan Vaksin
Sesekali terlihat juga kadang-kala Firdous agak kepenatan untuk bercakap. Namun digagahkan juga demi berkongsi pengalamannya agar yang lain tidak melalui apa yang dia rasai sebelum ini. “Macam kejadian yang berlaku dalam kalangan keluarga saya, dah meragut dua nyawa (adik saya Siti Sarah Raissudin dan pembantu rumah) yang dah tertulis oleh Allah SWT, kita tak mampu nak halang. Tapi kalau kita ambil vaksin, kemungkinan kita boleh reduce kadar untuk terkena stage 4,5.” Akui Firdous.
Seluruh keluarga besarnya diuji dengan virus ini. Berkongsi pengalaman anaknya yang turut positif, antara simptom ditunjukkan adalah lesu tubuh badan seharian, hilang selera makan. Namun hari kedua, anaknya mula sembuh dan kembali aktif seperti biasa. Berkali-kali Firdous ingatkan agar semua yang menonton segera mendapatkan rawatan dan jika disahkan positif cepat-cepat asingkan diri. “Pengalaman saya bila dah kena, saya tak nak orang lain pun kena macam saya stage 4. Memang seksa. Nak pergi bilik air, nak buat kerja sikit, tenaga tu hilang 100%. Rasa lelah dan pedih. Paru-paru nak pam oksigen naik tak boleh. Masa saya kat hospital, paru-paru ni atas sahaja yang function. Yang bawah tak sampai. Pergi bilik air, nak berak, nak mandi… menggigil-gigil. Pada hal bilik air dekat je,” kongsi Firdous lagi.
Kredit Foto: Google
Menceritakan pengalamannya sepanjang dijangkiti virus durjana ini, sambung Firdous “Apa yang saya nak sampaikan, tak nak ambil vaksin ke apa ke, saya tak kisah. Itu hak masing-masing. Cuma bila kena jangkitan Covid, kita tak tahu immune badan kita macam mana. Saya tahu penderitaan orang yang kena Covid sangat teruk. Yang mana dulu orang cakap saya antivaksin, tak apalah itu pengalaman hidup saya. Pengajaran bagi saya. Dan mereka yang tak nak ambil terpulang. Saya tak ada hak nak paksa atau suruh. Tapi bila kena Covid, walaupun level 1, 2… Kena ingat boleh jangkit boleh jangkit pada orang lain. Dan orang lain kita tak tahu antibodi dia macam mana. Pengalaman saya di ICU, saya baring dan tengok macam-macam. Ada yang baru masuk dah ditidurkan, kena buat dialisis. Ada hari moral down… Fikir aku kena keluar, kena lawan. Dan melihat yang ditidurkan, ada yang dah ditidurkan empat hari, lapan hari, dua minggu. Semuanya dengan kuasa Allah, bangun semula dan pulih,” jelasnya lanjut yang bersyukur masih punya deria bau dan rasa.
Dia yang pada awalnya didiagnosis menghidap tibi kerana hidung dan batuk berdarah namun akhirnya selamat dan pulih daripada Covid-19. Bagaikan terhutang nyawa dengan pengorbanan para doktor yang menyelamatkan nyawanya, bagi Firdous menjadi tanggungjawabnya untuk berkongsi pengalaman agar dijadikan iktibar dan pengajaran. Mengakui dirinya antara pengikut aktivaksin sebelum ini, bagi Firdous “Bila kena penyakit ni Allah nak duga kita. Dia suruh kita berubah sebenarnya. Daripada kehidupan lama kepada satu kehidupan yang baru. Dulu mungkin saya jauh, tapi hari ni Insya-Allah cuba berubah sedikit demi sedikit. Betullah pepatah Melayu, bila sakit baru nak ingat Tuhan. Inilah dia,” akuinya jujur.
Kredit Foto: Google
Dalam video tersebut juga Firdous sempat memohon maaf akan keterlanjuran kata-kata juga yang pernah dimuat naiknya di media sosial susulan isu pengambilan vaksin. Berterima kasih kepada barisan doktor dan jururawat yang bertungkus lumus menyelamatkan nyawanya, bagi Firdous jasa mereka tiada tolok bandingnya. “Saya di ICU, ada nurse dihadapan saya yang sentiasa pantau keadaan saya. Kencing, berak apa semua. Duduk ICU mana boleh nak bangun, pakai pampers saja. Dialah yang mengelap, dialah yang buat semua. Macam mana kita nak hina dia lagi. Bila dah kena baru tahu. Bila dah kena baru kita rasa teruknya kita ni. Menyebarkan benda yang tak benar, tak baik. Pada hal dia yang tolong kita. Kita dah tak boleh nak bangun, nurse… Tolong… Doktor, tolong… Alhamdulillah, itulah asbabnya. Dengan doa daripada semua. Bacaan yasin daripada sahabat, keluarga. Itupun salah satu asbab sebab kalau dah masuk ICU kita dah tak boleh nak bantu, nak hantar barang ke apa dah tak boleh. Apa yang boleh cuma itulah baca yasin, baca doa hari-hari daripada ahli keluarga tak putus-putus. Dekatkan diri dengan Allah, sesal cepat-cepat. Kalau nak ditidurkan, lafaz mengucap kalimah syahadah. Apa terjadi sekalipun serah kepada Allah SWT,” luahnya mengakhiri perkongsian.
#COVID-19 #Antivaksin #COVID Fighter #Ahmad Firdous Raissudin
;