Highlights

Tak Kira Apa Golongan B40 Ke T20 Ke, Kita Sama di SisiNya – Kita Baru Dikenakan PKP, Bukannya Ujian Peperangan!

Afiza Kamarulzaman
30/03/2020
09:07 MYT
Sponsor Banner
Tak Kira Apa Golongan B40 Ke T20 Ke, Kita Sama di SisiNya – Kita Baru Dikenakan PKP, Bukannya Ujian Peperangan!
Dunia belum berakhir tetapi sikap manusia semakin lama, semakin menjengkelkan. Tidak hanya secara realiti, malah di alam maya juga menampakkan taring masing-masing. Semakin luntur kasih-sayang dan keikhlasan sesama manusia. Yang banyak, disebarkan kebencian, hentam-menghentam dan caci-mencaci. Sudah tidak adakah budi-bahasa dan toleransi sesama kita? Di mana perginya rasa malu apabila berhujah bukan pada kebenaran?
Dalam keadaan negara sedang diuji dengan wabak penyakit berbahaya (Covid-19) ini, sepatutnya setiap kita memainkan peranan sebagai rakyat yang bertanggungjawab dan mengurangkan pertelingkahan sesama kita. Kita harus patuh dengan arahan kerajaan untuk duduk di rumah sehingga 14 April ini dan menjaga kebersihan diri. Di samping itu juga, sama-samalah kita mengukuhkan perpaduan dengan saling bantu-membantu. Sebolehnya, kurangkanlah beban kerajaan.
Semua Merasa Tekanannya
Dalam keadaan sekarang ini, tidak kira apa jua golongan rakyat, berasakan tekanan dan impaknya. Pasti lebihnya adalah impak yang negatif dari segi kesihatan, kewangan, produktiviti dan sosial. Namun, ia bukan tentang kita seorang kerana melibatkan seluruh masyarakat dari yang bayi sehinggalah wagra tua. Jadi, kenapa kita perlu memperjuangkan hak untuk diri kita sendiri?
Salurkanlah apa jua hujah dan permasalahan kepada sumber yang betul dan bukannya untuk diperbincangkan di media sosial. Persepsi seseorang itu tidak sama dan tak mungkin sependapat. Inilah yang akan merumitkan lagi keadaan apabila ia diambil dari sudut berbeza oleh orang yang tiada ‘ilmu’ tentang sesuatu isu yang dikemukakan itu. Maka, berpanjanganlah segala komen-komen dan hentam-menghentam yang akhirnya terpalit dosa yang lebih besar.
Kredit Foto: Google
Tolong Kerajaan Untuk Tolong Kita
Jangan harapkan kerajaan sahaja untuk menyelesaikan semuanya. Jika ada syarikat-syarikat, badan-badan atau komuniti yang boleh bersepakat menyelesaikan sesuatu isu itu, seharusnya ia dijalankan dengan baik dan berhemah. Setidak-tidaknya bantulah kerajaan terlebih dulu untuk menangani isu Covid-19 ini dengan mendengar arahan pihak berkuasa. Jangan ditambah beban kerajan dengan sebegitu banyak usul yang seperti ‘meneguk di air keruh’.
Bukan tidak boleh tetapi tidak kena pada masanya. Sebagai contoh perihal artis, boleh sahaja berpakat sesama golongan artis untuk membantu. Yang mempunyai pendapatan yang tinggi boleh membantu artis-artis yang tiada pendapatan atau artis veteran. Dalam keadaan sekarang ini, tidak kira apa jua sektor berdepan dengan tekanan dan krisis. Begitu juga dengan syarikat-syarikat besar, pasti ada penyelesaian paling hemat yang masih boleh diselenggara dengan baik. (sekadar pendapat). Yang penting adalah sikap mahu berkorban dan timbang-rasa.
Kredit Foto: Google
Yang Kaya Bantu Si Miskin Besar Rahmatnya
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Bila masyarakat sudah membenci orang miskin dan menonjol-nonjolkan kehidupan dunia serta rakus dalam mengumpulkan harta, maka mereka akan ditimpa empat bencana iaitu zaman yang berat, pemimpin yang zalim, penegak hukum yang khianat dan musuh yang mengancam.”
Banyak dan besar rahmantnya jika kita membantu orang yang dalam kesusahan yakni orang miskin, asnaf, anak-anak yatim, dan sewaktu dengannya. Membantulah selagi kita mampu dan bukan sekadar ‘asal tolong’ sahaja. Allah mengukur sedekah dan bantuan itu menerusi keikhlasan kita. Jadi, jangan diambil mudah apabila sesuatu pertolongan itu diberikan. Ketahuilah bahawa setiap harta kita itu ada hak orang lain di dalamnya. Maka zakat dan sedekahlah cara terbaik untuk menyucikannya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya:
“Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang-orang yang soleh. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.” (Surah al-Munafiqun, ayat 10-11)
Kredit Foto: Google
Tolong Hentikan Berbalas Kutukan
Cukuplah sampai di sini. Mohon kepada semua pengguna laman media sosial, tidak kira artis, usahawan, rakyta marhain atau sesiapa juga agar menamatkan perbalahan alam maya ini. Sungguh tidak manis bertelagah sesama sendiri dengan membuka aib dan ada pula yang terus mendabik dada membongkar kemegahan diri. Daripada sepotong ayat membawa kepada leretan komen yang berbaur dosa dan kehinaan.
Dalam riwayat Abu Hurairah disebutkan, "Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata baik atau lebih baik diam (jika tidak mampu berkata baik)" (HR: al-Bukhari dan Muslim).
Ingatlah bahawa tiada satu pun perkataan kita ini yang tiada malaikat yang mencatatnya. Maka, sebelum menaip atau menuturkan sesuatu itu, haruslah kita berfikir panjang, timbangkan baik dan buruknya kerana ia akan disoal di sana nanti. Biarlah kita kalah di sini tetapi menang di alam sana. Insya-Allah. Dan, sekarang mari sama-sama kita fokus pada wabak Covid-19 ini, panjatkan doa agar ia dapat ditamatkan secepat mungkin dan negara kembali stabil.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar