Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
gaya hidup

Tak Mampu Derma, Sedekah Barang Atau Sumbang Tenaga. Paling Tak Pun ‘Forward’ Mesej, Tolong Doakan Mereka.

Huda Hussain 28/12/2021 | 03:48 MYT
Sungguh, banyak hikmah yang dapat kita lihat dan baca daripada takdir Allah ini. Jika mengikut kebiasaan orang kita waktu hujung tahun ini, pasti sibuk menghabiskan cuti tahunan. Sama ada pergi bercuti, mengadakan ‘family gathering’ beramai-ramai, majlis perkahwinan, majlis akikah dan banyak lagi yang memenuhi agenda.
Meskipun begitu, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini kita diuji dengan musibah banjir besar tahun ini. Yang telah meragut nyawa hampir 50 orang setakat ini. Perit, pilu mengenangkan apa yang sebelum ini dalam genggaman kita, tempat kita berteduh hilang dan ranap begitu sahaja.
Lantaran itu bermulalah misi dan kutipan derma sana sini. Baik yang dianjurkan persatuan, pertubuhan, individu persendirian, NGO, parti itu dan ini serta banyak lagi. Ya, semua Bersatu-padu dan sepakat membantu.
Malah senario seperti inilah yang seringkali kita lihat apabila berlakunya sesuatu musibah. Betapa tingginya sifat pemurah dan kaya jiwa orang kita. Walau masing-masing juga struggle dengan kewangan masing-masing, maklum sajalah baru nak bangkit daripada diduga pandemik tahun lalu. Tetapi itu semua tidak mematahkan semangat kita untuk bantu.
Banyak cara sebenarnya yang boleh kita lakukan. Apa yang penting semua itu biarlah dilunaskan dengan niat kerana-Nya. Bukan kerana mahukan nama, disanjung dan dipuja.
Kredit Foto: Google
  1. Derma Wang Ringgit
Lihat saja di media sosial, begitu banyak yang ‘blast’ mengenai kutipan sumbangan demi meringankan beban mereka yang terkesan dengan musibah banjir ini. Tidak perlu laburkan sejumlah wang yang banyak. Kerana banyak atau sedikit bukan ukurannya. Tetapi ikhlas kerana-Nya. Tak kisah walau cuma seringgit dua, asalkan ia berkat. Itu lebih nikmat.
  1. Sumbang Barang Sedia Terpakai
Selagi ia berada dalam keadaan yang baik, elok lagi bersih tiada salahnya untuk turut sama menyumbang. Janganlah diberi yang sudah kita tak mahu pakai hinggakan ada yang lusuh, reput dan koyak bagaikan kain buruk layaknya. Jika tak mampu dari segi dana, inilah antara wadahnya. Selain itu, dapat juga kita kemaskan ruang yang sempit dan menggunung dalam rumah kita. Hinggakan ada yang mungkin nak tutup pintu almari pun tak boleh. Dek kerana padat dengan isi helaian pakaian yang sudah lama kita tak sarung pun lagi. Jadi, inilah masa terbaik.
Kredit Foto: Google
  1. Sebarkan Mesej Kutipan
Faham, kedudukan kewangan kita semua tak sama. Masing-masing ada cabarannya. Tapi takkanlah nak ‘forward’ mesej pun berkira? Tak susah mana pun kan? Sementelah sedang ‘scroll’ IG, Fb tu, apalah sangat tolong panjangkan sesiapa yang mohon bantuan. Lebih cepat dana dapat dikutip, lagi pantas sumbangan dapat disampaikan.
  1. Sumbang Kudrat
Ramai dalam kalangan kita yang tak lokek tenaganya. Sanggup luangkan masa yang ada demi membantu mereka yang memerlukan. Justeru, berbekalkan susuk tubuh dan kudrat yang masih berbara, maka sempurnakanlah sebaiknya. Bantu sehabis baik. Sungguh, berkaca mata penulis tatkala melihat mereka yang terkesan diuji dek banjir besar ini. Lebih-lebih lagi warga emas yang sudah kita sedia maklum tak larat mana. Kita yang muda belia ini, turunlah ke sana bagi mereka yang berkelapangan. Lihat dengan mata dan kepala sendiri supaya kita lebih mensyukuri dengan sekecil-kecil dan sebesar nikmat diberi.
Kredit Foto: Google
  1. Doakan Mereka Dalam Setiap Solat Kita
Akhir sekali, jika ketiga-ketiga cara diatas tak mampu kita lakukan; tiada yang lebih afdhal melainkan merayu dan memohon pada Yang Esa. Sematkan dalam diri, hari ini Allah uji mereka. Entahkan esok lusa, hari kita pula diduga yang sama ataupun lebih hebat daripada apa yang menimpa mereka.
Bersangka baik dan yakinlah ada hikmahnya. Pasakkan dalam jiwa dan lubuk sanubari bahawa sesungguhnya setiap ujian itu tanda kasih dan sayangnya Dia pada setiap hamba-Nya. Kerana hadiah itu tidak semestinya dibungkus cantik, ada yang dikirim dalam bentuk musibah untuk menjentik hati kita yang mungkin leka dan alpa.
#Sumbangan #Kemanusiaan #Darurat Banjir
;