Highlights
“Tiba-Tiba Saya ‘Blackout’ dan Sedar Daddy Dah Tak Ada. Kami Sempat Zikir Bersama Sebelum Daddy Tutup Mata. ” – Lisa
Di sebalik senyuman manis dan sikap mudah terhiburnya itu, Lisa menyimpan kenangan duka yang masih segar di ingatannya. Kala menceritakan pengalaman akhir bersama arwah Daddy, Lisa tidak mampu menampung air matanya yang mengiringi setiap bait ucapannya ketika menceritakan tentang lelaki paling dicintainya itu.
Kehilangan insan yang dicintai adalah sesuatu yang susah untuk kita lupakan. Apatah lagi insan itu ialah ibu atau bapa kita. Insan yang memberi kita ‘nyawa’ di muka bumi ini. Lantas, apabila cuba mengimbau momen itu, ia bagaikan membuka luka lama yang sukar untuk disembuhkan dari ingatan.
Dalam program komedi Astro Warna, Rumah No.107 episod malam ini menampilkan Lisa Suri Hani dan Alif Satar yang tidak hanya dijemput bergelak tawa tetapi juga berkongsi pengalaman kehidupan daripada sisi serius dan mendidik jiwa. Daripada kisah mula-mula menjadi selebriti sehinggalah setelah berumah tangga dan menempuh pancaroba kehidupan.
Kredit Foto: Astro Warna
Alif Pernah Diperlekeh Adlin Aman Ramlie
Sebelum itu, Alif ditanya oleh Tok K mengenai kisah awal beliau muncul sebagai artis. Dan, jawapan beliau benar-benar menarik. “Pada usia 14 tahun, saya pernah diminta ke satu ujibakat mencari pelakon watak anak kepada Hang Tuah untuk filem Puteri Gunung Ledang yang pertama. Saya pun datanglah dengan yakin...” cerita Alif memulakan bicara.
Pasti ramai mahu tahu, siapa si penemuduga itu? “Dengan kaki diangkat ke atas meja, lelaki itu menyuruh saya menyanyi. Selesai menyanyi, dia suruh saya menari sambil dia bergendang dengan mengetuk meja. Baru menari sikit, lelaki itu bangun dan kata, “Kau tak boleh menarilah!” dan lelaki itu terus keluar!”
Nak tahu siapa? “Dia tulah Adlin Aman Ramlie!” Ujar Alif diiringi gelak seisi studio. Siapa tidak kenal Adlin Aman Ramlie yang tegas dan ‘berbisa’ kata-katanya itu. Itulah pengalaman pertama ke ujibakat yang tidak dapat dilupakan Alif Satar. Kelakar tapi mengajarnya banyak perkara.
Kredit Foto: Astro Warna
Hembusan Nafas Terakhir Daddy Dalam Dakapan Lisa
Apabila studio Rumah No.107 bertukar suram, penonton pasti sudah dapat mengagak segmen ini pasti mengundang air mata dan hiba. Benar sekali apabila Tok K meminta Lisa berkongsi apakah fasa kehidupan paling gelap dan mendukacitakan buat Lisa, seisi studio terus sunyi seketika. Bagai memahami isi hati Lisa.
Kehilangan Ayah adalah satu pengalaman paling menyentuh jiwa Lisa.
“Daddy mengidap kanser. Bertarung melawan penyakit itu hingga hujung hayatnya. Pada hari terakhirnya itu, Daddy lihat Lisa baru pulang dari kerja bersama Mak muncul di depan pintu dan Daddy cakap, “Okey now, Daddy dah boleh baring,” Ujar Daddy waktu itu. Lisa terus mendekati Daddy yang terbaring.
Kredit Foto: Astro Warna
“Daddy, nak Lisa bacakan Yassin?” Tanya Lisa. Daddy angguk dan seperti selalunya Lisa bacakan surah Yassin kepada Daddy. Dalam keadaan lemah begitu, Daddy sempat betulkan mana-mana bacaan Lisa yang salah. Selesai bacaan itu, Lisa ajak Daddy untuk berzikir bersama-sama. “Jom Daddy kita zikir, Allahu..Allahu...”
“Yes, that’s what matters,” Kata arwah Daddy ketika Lisa mengajaknya menyebut nama Allah. Ketika itu Lisa tidak faham lagi apa maksud Daddy. Ketika sama-sama mengulangi zikir, tiba-tiba Daddy nampak agak tidak selesa. Lisa angkat tubuh Daddy dan bukakan baju Daddy. Tambah Lisa, “Semalam kita baru buat blood test Daddy and your cancer dah improve 50%. Jangan risau, Daddy akan jadi wali Lisa...”
“Dalam keadaan Daddy yang semakin sukar untuk menyebut Allah..Allahu, entah kenapa tiba-tiba Lisa blackout. Sumpah, Lisa tiba-tiba rasa begitu dan sebaik sedar Lisa dapati Daddy dah tak bernafas, matanya memandang ke atas...” Lisa tidak dapat menahan sebak apabila air matanya jatuh mencurah-curah.
Lisa lihat tubuh kaku Daddy yang masih dalam dakapannya. Lisa reda dan berbisik perlahan, “Daddy, kalau Daddy nak tidur, Daddy tutuplah mata...” Subhanallah, dengan tiba-tiba, mata Daddy memandang Lisa dan terus tertutup dengan sendirinya. Dan, ya ketika menitipkan tulisan ini, bulu roma penulis berdiri. Sungguh, luar biasa kuasa Allah s.w.t.
Bagi penulis, inilah rezeki Lisa. Dapat mengajar arwah Ayah menyebut nama Allah dan berada di sisinya untuk hemburan nafas terakhir arwah. Semoga arwah berada dalam kalangan orang-orang beriman dan tenang di sana. Amin...
Kredit Foto: Astro Warna