gaya hidup
Timang Anak Umur 40 Tahun – Kurniaan di Usia Emas, Dialah Peneman Nanti dan Buat Diri Rasa Muda Selalu!
Cik Puan Azrinaz (dengan perkahwinan ke dua) dan Dato’ Sri Siti Nurhaliza masing-masing menimang anak ke dua pada usia 41 tahun. Dan, ternyata keduanya sangat bahagia dan sihat bertenaga walaupun melahirkan pada usia agak lewat.
Ada yang berpendapat memiliki anak selepas umur 40 tahun agak membimbangkan daripada segi kesihatan dan kehidupan masa depan. Secara asasnya, ada yang menganggap apabila mengasuh anak pada usia semakin lanjut ia memenatkan.
Apatah lagi mahu melihat anak itu besar kelak, sedangkan pada usia itu kita sudah boleh berehat daripada melayan anak kecil. Apa pun, tanggapannya, ia bergantung pada empunya diri bagaimana menerima situasi tersebut.
Paling penting persiapan daripada segi fizikal dan mental. Yang paling penting kesihatan.
6 Tips Kehamilan pada Usia Lewat
- Berbincang seawalnya dengan doktor jika kamu merancang untuk memiliki anak. Tanyakan pendapat dan ilmu berkaitan agar kamu boleh membuat persiapan sebaiknya.
- Ambil suplemen yang dapat membantu menambahkan kesuburan, mengimbangi hormon dan meningkatkan energi.
- Jaga diet dan pemakanan. Ia adalah pengaruh besar dalam kesihatan kita secara total. Kurangkan pengambilan gula, garam, karbohidrat dan makanan berminyak. Lebihkan buah dan sayur.
- Jalani gaya hidup aktif dengan melakukan aktiviti fizikal yang banyak untuk meningkatkan stamina kamu dan elak cepat letih ketika hamil nanti.
- Urus stres dengan baik. Dalam apa jua situasi, minda harus berada dalam keadaan baik dan jauhi tekanan.
- Banyakkan istirehat jika terasa lelah dan lemah. Atur jadual kerja dengan baik tanpa mengabaikan masa tidur dan bersantai.
Kredit Foto: Google
Seronoknya Ada Anak Menemani Usia Lanjut
Siapa kata beban tak habis jika mendapat anak pada usia lanjut? Inilah rezeki yang akan sentiasa mengalir menemani sepanjang usia. Memiliki anak kecil pada usia makin lanjut sebenarnya bonus untuk wanita berasa lebih riang, cergas dan muda.
Bayangkan, pada usia itu ada rakan sebayamu yang sudah tidak bersemangat dalm hidupnya, sedangkan kamu masih ligat mengatur aktiviti bersama anak kecil, menghantar ke sekolah dan mengikuti perkembangannya.
Ternyata kamu akan terlihat lebih ‘advance’ dan muda dengan gaya hidup yang lebih ligat, lincah dan cergas. Inilah modal untuk kamu terus menjalani kehidupan seperti wanita berusia awal 30 an yang baru memulakan fasa kehidupan sebagai ibu.
Dan pula, pada usia begini pastinya para ibu lebih matang dan hal-hal membesarkan anak ini umpama ‘celah gigi’. Kesabaran lebih tinggi dan kamu akan lebih tenang mendepani apa jua situasi yang ditimbulkan si anak.
Percayalah memiliki anak kecil pada usia 40 an tidak akan sestres ibu muda yang masih tercari-cari arah hidup dan kurangnya pengalaman dalam mendepani tekanan. Maka, di sinilah bezanya. Anak yang membesar dengan ibu yang sudah berusia akan lebih cepat matang dan berdikari.
Benarkan setiap perancangan Allah itu ada hikmahnya. Bersangka baik dan laluinya dengan tenang.