Highlights

TRAUMA Hidup Kumpulan Elite – Semuanya Pernah Lalui Ujian Penceraian dan Kehilangan Anak. Sungguh Cekal!

Afiza Kamarulzaman
25/06/2021
01:13 MYT
Sponsor Banner
TRAUMA Hidup Kumpulan Elite – Semuanya Pernah Lalui Ujian Penceraian dan Kehilangan Anak. Sungguh Cekal!
Siapa tidak kenal kumpulan Elite yang sangat popular di era 90-an dulu. Mereka yang dibintangi lima anggota ini ditubuhkan pada 1995, ahli asal kumpulan ini terdiri daripada Abby Abadi, Azza Zawari, Linda Rafar, Sasha Saidin dan Watie Sadali. Diuruskan oleh KRU dan merupakan artis rakaman sulung KRU Records.
Pada mulanya kumpulan Elite hendak dinamakan sebagai Baby G tetapi terpaksa ditukar apabila satu jenama jam dengan nama yang sama dikeluarkan pada masa itu. Elite digelar sebagai Spice Girls Malaysia kerana aliran muzik yang lebih kurang sama selain tampil dengan imej yang provokatif.
Kumpulan ini mula hilang taringnya sikit demi sikit apabila Abby mengundur diri dan diikuti seorang demi seorang, walaupun ahlinya bertukar ganti, yang asli tetap tak dapat ditandingi.
Ketika ditanya adakah kerana menerima banyak tawaran berlakon menjadikan punca Abby menarik diri, kata Abby, “Taklah. Saya terima banyak tawaran selepas keluar dari kumpulan Elite. Rezeki lain selepas pengunduran itu.”
Dalam rancangan Rumah No 107 episod ke empat malam ini, menemukan Abby, Azza, Linda dan Watie yang duduk semeja berbual kisah-kisah lama dari zaman anak dara, sehinggalah sudah berkahwin, bercerai dan bertemu jodoh semula, mereka kekal bersama. Banyak perkongsian hidup mereka yang membuka mata kita untuk mensyukuri apa saja yang kita nikmati hari ini.
Abby Belajar Untuk Tidak Berharap Kepada Manusia
Ramai sudah mengetahui kerukunan hubungan Abby bersama bekas suami, Norman Hakim dan isteri Norman, Memey. Malah, anak-anak mereka juga rapat dengan kedua-dua keluarga. Bagaikan sebuah keluarga besar yang sakinah. Apabila ditanya kembali tidakkah penceraian itu melukakan hatinya? Jawab Abby tenang.
“Mestilah saya sedih waktu tu. Tapi saya tidak menyalahkan Memey 100 peratus. Ada juga salahnya di pihak Norman dan saya sendiri. Memanglah sebagai isteri, kita down apabila bercerai dengan suami, saya tak marah tapi sangat sedih. Tapi, saya belajar atas kesilapan saya waktu itu yang terlalu hidup dengan pengharapan kepada manusia.
Kalau orang tanya sejauh mana keikhlasan saya baik dengan Memey? Saya sendiri tak tahu nak jawab. Bagi saya, apa yang berlaku itu sudah ditentukan dan kedua-dua pihak memang sama-sama suka ketika itu. Dan, saya berkorban. Tapi, alhamdulillah masa mengubati semuanya dan kami dapat hidup aman bersama,” ujar Abby tersenyum.
Dengan perkahwinan keduanya itu, Abby pernah tiga kali kehilangan cahayamata. Sekali dia keguguran di awal kandungan, ke duanya keguguran ketiga kandungan sudah mencecah enam bulan dan yang ke tiganya selepas 70 hari bayi yang dilahirkannya dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Hospital Sungai Buloh.
Azza Diserang Anxiety dan Ia Bukan Mainan
Pernah satu ketika, Azza memuat naik videonya menangis-nangis di Instagram kerana terlalu tertekan diserang anxiety atau penyakit kebimbangan. Seperti diduga, terdapat segelintir netizen yang mengecam dan meninggalkan komen sinis seolah-olah adegan itu dibuat-dibuat dengan alasan meraih simpati.
Ulas Azza, “Saya memang ada anxiety pada tahun 2014 tapi beransur-ansur pulih. Namun, ketika PKP melanda, penyakit itu datang semula. Saya jadi panik tak tentu pasal. Saya terperasan sendiri yang saya mengidap Covid-19 apabila mula rasa tak sedap badan tapi lepas buat test, negatif.
Dalam keadaan begitu, kita dah tak ingat apa-apa, kita tak sedar apa yang kita buat. Yang saya tahu saya pegang telefon dan entah bila masa yang saya record adegan saya nangis-nangis dan kemudian saya upload! Kalau tanya saya balik, saya pun malu tengok keadaan saya waktu tu.”
Ditanya sisi gelap dalam hidupnya? Cerita Azza, “penceraian saya dulu sangat menyakitkan. Setahun bercerai tak siapa yang tahu waima mak saya sendiri. Saya hilang kerjaya saya, hidup saya hancur selama lebih enam tahun. Ada satu ketika tu, saya shooting satu drama, waktu babak menangis, saya sampai tak boleh berhenti menangis walau babak tu dah habis. Saya dah tak boleh nak pendam.”
Azza bersyukur kini bahagia dengan suami barunya walaupun masih tidak dikurniakan zuriat sendiri. Terdahulu, Azza pernah keguguran sebanyak empat kali. Didoakan akan ada rezeki buat Azza dan suami nanti.
Lepas Anak Dijemput Illahi, Ibu Linda Pula Pergi
Tanggal 5 Julai 2014, pastinya menjadi detik paling gelap dalam hidup Linda apabila anakanda, Rezaimen Keiflin pulang ke pangkuan Illahi akibat kanser limfoma. Walaupun sudah hampir tujuh tahun berlalu, namun sisa kesedihan itu masih bertakung dan dapat dilihat pada setiap bait ucapannya.
“Memen (panggilan manja arwah) anak yang sihat, memang jarang sakit. Sekali saja dibawa ke hospital dan disahkan kanser tahap empat, hanya Allah yang tahu perasaan saya waktu itu. Saya tanya dalam diri saya, apa dosa saya? Apa kesilapan yang saya dah buat sampai Allah uji saya sebegini?
Paling tak dapat saya lupakan apabila lihat Memen menangis-nangis dalam tandas menghentuk kepalanya bertanya kenapa dia yang perlu lalui semua ini? Bayangkanlah perasaan seorang ibu waktu itu? Tak lama lepas tu, saya dikejutkan pula dengan pemergian Mak. Allah. Saya rapat dengan Mak. Selama ini kesedihan saya, saya kongsikan dengan Mak dan kini Mak pun dijemput pergi. Saya memang terduduk kala itu,” luah Linda dengan iringan air mata.
Watie Hampir Gila Selepas Anak Meninggal
Apabila ditanya apakah sisi gelap dalam kehidupan Watie selama ini, Watie hanya menggeleng kepala berkali-kali. Suaranya tersekat. “Waktu muda...banyak kesilapan yang kita buat. Mak sibuk cari duit waktu itu, saya rasa terbiar dan mencari kawan-kawan. Salah pilih kawan, inilah padahnya. Saya akui saya seorang yang lurus, bodoh, cepat terpengaruh...”
Ditanya pula tentang arwah anaknya yang meninggal akibat jatuh dari kondominium ketika berusia 18 bulan pada tahun 2002 membuatkan Watie tambah sebak dan hampir tidak mampu menceritakannya.
“Saya hampir gila, saya terpaksa makan ubat untuk menenangkan jiwa. Sampai satu ketika saya terdengar ada orang berbisik suruh saya bunuh diri saja. Ditakdirkan ada satu keluarga ni menaja saya menunaikan umrah. Saya pergi ke sana dengan jiwa yang kosong. Tahu-tahu saja saya dah sampai di Mekah. Saya menangis dan mengadu semahunya kepada Allah.
Alhamdulillah, saya dikurniakan suami yang baik, Joey sentiasa ada bersama saya memberi saya semangat dan menceriakan saya. Hari ini saya sedar betapa pentingnya kasih-sayang dan perhatian ibu bapa buat anak-anak. Saya tak mahu anak-anak saya lalui apa yang pernah saya lalui sebelum ini. Saya harap saya boleh beri yang terbaik untuk mereka.”
*Kredit Foto: Astro Warna
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar