gaya hidup
Umur Enam Tahun Waktu Terbaik PISAHKAN Bilik Tidur Ibu Ayah Dengan Anak, Ada Caranya – Pakar Kaunseling
Teks: Nor Hatina Shuib
Hari ini, kebanyakan ibu bapa masih tidur bersama anak walaupun ada yang sudah mencecah usia 10 tahun kerana tidak sampai hati membiarkan anak-anak tidur sendirian di bilik mereka.
Perasaan kasihan itu menjadikan setiap percubaan untuk mengasingkan anak daripada tempat tidur tidak pernah menjadi.
Apabila disedari, usia anak sudah masuk ke sekolah rendah dan ketika itu agak sukar untuk memberi pemahaman kenapa mereka perlu diasingkan daripada tempat tidur ibu- bapa.
Seorang teman pernah berkongsi perasaannya berkenaan perkara ini. Katanya, beliau akui anak-anak sudah besar dan agak tidak manis mereka tidur bersama.
Namun dek naluri keibuan yang cukup menebal, beliau akur dengan permintaan anak kecil untuk terus tidur bersama mereka.
Seorang lagi teman, orangnya agak tegas. Seusia anak empat tahun, anak-anak sudah disuruh tidur di bilik masing-masing sehingga sanggup menghabiskan masa mendekorasi bilik anak sebagai satu daya tarikan untuk anak tidur di bilik sendiri.
Kongsi beliau, agak mengecewakan, sebaik waktu tengah malam anak masuk kembali ke bilik dan tidur bersama mereka sehingga hari ini. Setakat ini,tiada idea lagi untuk mendorong anak tidur di bilik mereka sendiri.
Beliau sempat bergurau kepada penulis, hendak “ehem-ehem” pun susah apabila anak siang malam tidur dengan kita. Ini mungkin realiti yang berlaku pada ramai ibu –bapa di negara ini tetapi ramai yang memilih untuk mendiamkan diri dan tidak berbuat apa-apa.
Dari segi agama, Islam sudah menyediakan garis panduan kepada ibu bapa dalam mendidik anak dengan akhlak mulia seperti menghormati ibu bapa dan batas serta adab pergaulan antara anak dan ibu bapa sejak kecil.
Pada masa sama, Islam membimbing ibu bapa supaya menjaga batas aurat terhadap anak supaya mereka tidak melihat sesuatu yang tidak baik daripada ibu bapa mereka.
Justeru, sebagai ibu bapa, kita yang mencorakkan kehidupan berkeluarga perlulah memikirkan cara terbaik menangani perkara ini.
Dr Fauziah Mohd Sa'ad
Pisahkan Tempat Tidur Seawal Usia Enam Tahun
Menyedari perkara ini bukanlah satu isu baru, Pakar Kaunseling Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Sa'ad, berpendapat anak –anak bolehlah dipisahkan daripada tempat tidur ibu- bapa mereka seawal usia enam tahun.
Ini memandangkan, pada usia ini, kanak-kanak sudah boleh berbicara dengan jelas dan berpotensi menyampaikan maklumat yang mereka lihat kepada rakan atau sesiapa saja yang dikenali.
“ Di bawah usia 0 hingga 6 tahun, mungkin masih boleh tidur bersama ibu-bapa tetapi jika usia sudah mahu masuk ke sekolah rendah, boleh ajar anak perlahan-lahan tidur di bilik sendiri,” katanya.
Tambah Dr Fauziah, ini kerana pada usia enam tahun ke atas, dibimbangi anak –anak ini sudah boleh bercerita dan faham jika ternampak perkara intim yang berlaku antara ibu dan bapanya.
“ Perkara ini tidak baik dan memberi kesan kepada buruk kepada anak-anak . Ini satu perkara yang perlu ditangani untuk keharmonian kekeluargaan malah segi adab pun wajar kita berbuat demikian ,” katanya.
Kredit foto: Google
Rangsang Psikologi Positif Apabila Si Manja Tidur Bersama Ibu Bapa
Beliau berkata, bagai manapun beliau tidak menafikan, dari segi psikologi, ia memberi kesan positif kepada anak daripada segi mental dan fizikal apabila anak tidur bersama ibu- bapa mereka sejak usia kecil.
Ini kerana anak yang tidur dengan ibu- bapa mereka rasa disayangi, dilindungi dan dapat merapatkan hubungan antara anak dan ibu bapa.
“Saya lihat di negara ini, ia menjadi satu budaya anak tidur bersama dengan ibu bapa mereka dalam tempoh yang lama berbanding budaya barat seperti di Amerika yang mana seusia bayi anak sudah dipisahkan dari tempat tidur.
Anak-anak ini tidur di bilik sendiri, tetapi ini budaya kita. Jadi, ia tidak perlu diubah tetapi harus dimurnikan,”katanya.
Dr Fauziah berkata, kesan psikologi yang positif impak daripada hubungan ibu bapa yang membenarkan anak tidur di bilik mereka adalah ketika usia kecil, bagai manapun tidaklah sehingga mereka mencapai umur baligh.
Katanya, setiap keluarga mempunyai budaya yang berbeza, ia terpulang kepada budaya sesebuah keluarga meletakkan had usia berapa untuk anak tidur bersama mereka selagi ia tidak dianggap mengganggu privasi mereka.
“ Ada seorang klien saya beritahu anak-anak masih tidur bersama mereka. Jadi, dia dan suami mengambil pendekatan melakukan hubungan intim di bilik lain bagi mengelakkan anak terlihat perbuatan mereka.
“ Ibu- bapa mungkin boleh memikirkan cara kreatif seperti ini bagi mengelakkan anak terlihat perbuatan mereka dan pada masa sama masih membenarkan anak kecil tidur sebilik dengan mereka,” katanya.
Didik Anak Secara Kognitif
Pesan beliau, dalam menangani perkara seumpama ini, ibu bapa perlu mendidik anak secara kognitif dengan pendekatan lebih berhemah.
Contohnya, “ Aali, sekarang Aali sudah besar dan kena tidur asing” Bicara lembut dengan anak dan beritahu sebabnya kenapa mereka perlu berbuat demikian.
Elakkan membuat keputusan mengejut apabila mengasingkan tempat tidur anak dan terangkan alasan anda sebaik mungkin.
“Reward” Kejayaan Anak Tidur Asing
Beliau berkata, antara kaedah lain adalah mungkin ibu bapa boleh memberi “ ganjaran positif “ kepada anak. Tidak semestinya menerusi hadiah, tetapi daripada segi pujian.
Apabila anak sudah tidur di bilik sendiri, puji mereka dengan menilai kekemasan bilik, kebersihan dan pada masa sama memantau aktiviti harian mereka ketika berada dalam bilik.
“ Namun, tidak salah jika ibu -bapa mahu tunjukkan penghargaan kepada anak dengan belanja makan atau berikan hadiah.
“Ibu- bapa perlu kreatif seperti memberi markah bintang setiap kali anak mencapai kejayaan dalam pengurusan bilik mereka. Anak akan rasa lebih gembira kerana dihargai,” katanya.
Pesan beliau, anak haruslah dibesarkan dalam didikan positif dalam apa saja perkara sepanjang tumbesaran mereka. Tabiat anak kecil tidur bersama ibu- bapa sudah lama disemai di negara ini dan ia satu budaya di negara ini.
Ia tidak perlu berubah tetapi boleh dimurnikan selagi ia tidak mengganggu privasi ibu- bapa kerana ada kesan baik kepada perkembagan anak-anak.
Anda kerap akan memeluk dan mencium anak saat tidur bersamanya sepanjang usia kecil mereka. Ia rangsangan positif bagi perkembangan emosi si manja.
Kredit foto: Google
Mahu Jadi Ibu Bapa Kreatif? Jom Ikuti Panduan Ini
1. Pastikan anda tidak memaksa secara keterlaluan untuk anak tidur secara asing. Guna bahasa yang baik dan terangkan alasan serta beri pujian atas keberanian anak tidur di bilik sendiri.
2. Bagi yang berkemampuan, bawa anak membeli cadar bercorak kartun pilihan mereka. Pilih langsir yang membawa mood ketenangan kepada anak dan biar ia ikut citarasa anak. Disarankan biar anak pilih corak dan warna kegemaran mereka.
3.Tetap satu hari yang mana anda ada masa bersama anak menghias bilik itu bersama-sama, boleh cat atau hias bilik mengikut cita rasa anak. Letakkan perabot yang kena dengan jiwa kanak-kanak.
4. Luangkan sedikit masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap malam untuk menemani anak sebelum waktu tidur. Baca buku cerita sebelum anak-anak tidur dan tunjukkan anda akan ada sentiasa dengan mereka walaupun sudah tidur berasingan.
5. Berikan satu pelukan dan ciuman sambil mengucapkan kasih sayang setiap malam dan pagi.
6. Penggunaan lampu tidur yang menampilkan mood tenang dan istimewa di hati anak mungkin antara idea untuk anda menawan hati si manja.
7. Elakkan anak daripada bermain gajet sejam sebelum tidur. Bimbang emosi mereka berubah menjadi tidak tenteram atau tidak boleh tidur lena.
8. Anda boleh sediakan minuman panas seperti susu dan coklat panas bagi memberikan lena tidur yang berpanjangan kepada anak di bilik mereka.