YB SYED SADDIQ: “Kita Mesti Tangani Hutang 1MDB, Perangi Rasuah dan Dorong Anak Muda Jadi Pemimpin”
Oleh: Rosie Haslinda Nasir
Sumber: Arkib InTrend Malaysia
TIDAK berapa lama sebelum ini, raut anak muda bersuak kacak, berkulit kuning langsat, berhidung mancung, merebut perhatian seantero Malaysia. Dengan rambut tersisir rapi hitam berkilat, dengan air muka jernih, berkaca mata ala jejaka nerd ulat buku pengadap kutub khanah – pemuda ini selalu benar menggelorakan garis masa Facebook kita, dengan debat solonya secara live.
Isu-isu rasuah, kehalobaan wang, salah guna kuasa, kleptokrasi, isu hutang 1MDB, harga minyak nan mencanak; ini antara yang dibahaskan. Begitu juga isu caj GST yang membuat ramai niagawan dan konsumer kepeningan, peluang pekerjaan untuk anak muda yang kabur dan berkabut. Juga rintihan serta kesakitan golongan murbawan kerana kos sara hidup yang kian menekan dan menghimpit. Semuanya – anak muda ini angkat. Dilibas dan dicanai. Digegas dan ditibai. Dalam tujah-tujah hujah paling berapi.
Rakyat Malaysia terkaget. Ramai bangkit bersuara di laman media sosial kerananya. Dan ramai juga memusuhinya secara profesional kerana hala tuju dan nada kepartian yang tidak sama.
Perjuangan makin berbara apabila pada 9 Mei lalu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 25; dengan gerakan kolektif Pakatan Harapan yang disertai angkatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) serta Parti Amanah Negara (AMANAH) – telah berjaya menumbangkan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) dengan menakluki 122 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.
Seperti menangkap burung merpati. Ditangkap terlepas, ditangkap masih terlepas! Kemudian ditangkap lagi sebelum nyaris terlepas pergi. Kalau tidak, alamatnya kami menggigit jari!
Begitulah keluk dugaannya apabila saya cuba menangkap Yang Berhormat muda ini untuk berkata ya kepada sesi fotografi sampul hadapan InTrend Malaysia. Bermula dengan menyapa saudari Hidayah pada 17 Mei. Akhirnya mesej dan panggilan telefon saya berbalas pada 30 Mei. Saudari Hidayah memindahkan pertanyaan saya kepada saudara Numan Afifi.
Respons saudara Numan luar biasa pantas. Pada hari yang sama, kami saling berjanji untuk mencuba tarikh kedua, 10 Julai.
Namun kemudiannya berpinda pula ke 12 hari bulan. Sehingga yang terakhirnya saya tiba-tiba mendapat tahu bahawa saudara Numan tidak lagi dapat membantu saya kerana segala temu janji Yang Berhormat selepas itu dikendalikan pula oleh saudara Amshar Aziz. Aduh-duh!
Namun sebagaimana efisien saudara Numan Afifi, sebegitu juga komitmen jitu yang diberikan saudara Amshar Aziz kepada wartawan seperti kami.
Saya dan saudara Amshar Aziz saling bersetuju dan berjanji bahawa 17 hari bulan adalah harinya Yang Berhormat akan muncul untuk penggambaran InTrend Malaysia meski persidangan Parlimen Malaysia penggal ke-14 baru masuk hari kedua.
Lalu ya... akhirnya!
Bersama atma Malaysia Baharu. Dia, tulang-belulang muda. Degup-degup jantung sederas kuda. Harapan baharu pemuda-pemudi bumi berdaulat Malaysia.
Tiga perkara yang orang tidak tahu tentang Syed Saddiq Syed Abdul Rahman?
Hmph... Saya ni, kalau anda nak tahu... memang selalu buat lawak hambar. Kerap sangat agaknya saya buat lawak hambar yang memang tak kelakar. Sampaikan kawan- kawan tutup telinga dan berkata terus ke muka saya, “Ohhh, kamu ni memanglah Mat Hambar!”
Sampai yang terus angkat kaki tinggalkan saya pun berlaku juga, haha.
Yang kedua, ada kalanya, saya sangat ambil serius bab ketepatan masa. Seriusnya sehingga tahap menubuhkan satu tabung khas. Kalau ada pegawai datang lambat, setiap satu minit yang lewat, dia kena bayar RM1.
Kalau lambat 10 minit, bayarlah RM10. Pernah berlaku, ada yang lewat sampai 50 minit, apa lagi, terbanglah RM50 masuk ke tabung! Sampai sekarang, wang yang terkumpul di dalam tabung itu belum kita manfaatkan lagi. Nanti kami akan sama-sama fikirkan, apa patut kami buat dengan duit itu, haha.
Yang ketiga, berlaku sejak hari pertama saya mula bekerja secara rasmi sebagai Menteri Belia dan Sukan. Jadi para hari pertama saya ajak mereka joging, ramai beralasan, tak bolehlah, kena baliklah, ada urusan itulah, inilah. Ada pula yang saya nampak pada minit pertama, lepas itu ghaib. Apabila sampai di garisan penyudah, dia muncul balik.
Ini aspirasi saya apabila memegang portfolio ini. Saya mahu pasukan saya menjadi cermin yang baik dalam organisasi. Sebagai warga Kementerian Belia dan Sukan, kita mestilah menjadi contoh kepada rakyat. Kita sendiri mestilah mengamalkan gaya hidup yang sihat sebelum kita boleh meminta orang lain berbuat perkara serupa.
Sumber: Instagram @syedsaddiq
Sumber: Arkib InTrend Malaysia
Perasaan YB apabila dimasyhurkan sebagai Menteri Belia dan Sukan?
Saya terharu kerana diberikan mandat ini, khususnya oleh Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohamad. Saya rasa, dengan perlantikan ini, ia boleh dianggap sebagai satu indikasi bahawa kuasa anak-anak muda akan dikembalikan.
Ini satu pengiktirafan yang besar. Bukan semata-mata untuk diri saya, tetapi kepada suara anak-anak muda di luar sana yang mempunyai aspirasi untuk menjadi negarawan muda. Ia memberi satu petanda, bahawa kalau anak muda berumur 25 tahun boleh diiktiraf oleh pimpinan sedia ada, kita akan lebih bersemangat untuk memastikan lebih banyak anak muda menyerlahkan diri, bergerak ke hadapan bersama-sama.
Kuasa anak muda pasti mampu melakar sejarah dalam merangka dan merencanakan misi Malaysia Baharu.
Rasanya bukan saya seorang dalam armada darah baru ini. YB Steven Sim Chee Keong juga muda belia, dilahirkan pada 1982. YB Yeo Bee Yin juga, antara tunas muda berkaliber. Apabila dia mengangkat sumpah sebagai Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam, kalau tak silap, ia menjadikan YB Yeo sebagai Menteri wanita paling muda dalam barisan kabinet.
Sumber: Instagram @syedsaddiq
Perkara yang YB tidak boleh lupakan apabila bersidang di Parlimen Malaysia buat kali pertama?
Oh yang ini sangat menarik, kerana ia baru berlaku tadi apabila pembangkang memboikot dan beramai-ramai meninggalkan dewan. Jadi apabila Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong melangkah masuk, baginda melihat kami dengan penuh makna.
Apabila baginda tuanku bersemayam, baginda bertitah, “Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tuan Yang di-Pertua Dewan Negara dan ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sila duduk dan jangan lariiiii...”
Kami ketawa hampir keluar air mata dengan sindiran itu!
Sumber: Instagram @syedsaddiq
YB pernah menyebut dalam satu temu bual akhbar, that you do not need the backing of Tun Mahathir, you do not need the backing of Anwar Ibrahim, you do not need the backing of Lim Guan Eng or Rafizi Ramli. You just need the backing of your mum and you believe that. Jelas sekali, YB punya ibu yang hebat?
Saya datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Ibu saya khususnya, pada zaman itu, perlu menggalas tanggungjawab untuk menjaga dan menyelia adik-beradiknya. Lagi pula masa itu, datuk saya yang berkhidmat dalam angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjauhan, selalu tiada di rumah.
Boleh dikatakan ibu melaksanakan tanggungjawab membantu nenek, mengemudi adik-beradik dengan baik sekali. Ibu juga adalah orangnya yang telah membuat saya percaya dan yakin bahawa, jalan politik ini adalah jalan yang sukar dan berliku. Namun dia selalu memberitahu saya, “Di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan.”
Sumber: Instagram @syedsaddiq
Ibu anak perempuan yang bijak. Walaupun pada zaman itu ibu dapat peluang untuk lanjutkan pelajaran ke United Kingdom, malah diberi juga beberapa jalan untuk memacu kerjaya lebih besar dan menjamin. Tetapi ibu tetap memilih menjadi seorang cikgu. Baginya, adalah lebih baik dia memanfaatkan masa mudanya dengan ilmu yang ada untuk mendidik anak bangsa.
Sumber: Instagram @syedsaddiq
Tahun 2017, YB menolak biasiswa RM400,000 untuk menyambung pengajian di Universiti Oxford, England kerana mahu aktif berpolitik. Sekali lagi, YB menolak tawaran Biasiswa Chevening untuk mengerjakan Sarjana dalam Dasar Awam di Universiti Oxford. Berapa sukar YB buat keputusan untuk timbang tara hala tuju hidup? Apa nasihat keluarga?
Ahhh...ia sememangnya satu keputusan yang teramat sukar. Sangat, sangat, sangat sukar. Kerana semenjak kecil, saya selalu bermimpikan yang saya akan menjejakkan kaki ke Universiti Oxford satu hari nanti.
Sumber: Instagram @syedsaddiq
Hampir setiap tahun saya pergi ke Oxford dan Cambridge. Bukan sahaja berdebat, malah mengajar tunas-tunas baharu arena perdebatan di sana. Dalam komunikasi dengan pihak Oxford, saya dimaklumkan bahawa saya dibenarkan menangguhkan pengajian, tetapi dengan syarat, saya akan kehilangan biasiswa RM400,000 yang telah mereka tawarkan.
Dan apabila saya menangguhkan tempoh pengajian tersebut, secara serta-merta, saya tidak lagi layak memohon sebarang jenis biasiswa atau apa-apa saja yang berkaitan dengannya.
Sumber: Arkib InTrend Malaysia
Sumber: Instagram @syedsaddiq
Keadaan sangat kritikal sewaktu tawaran itu datang. Mengapa? Kerana tawaran itu muncul pada peringkat awal yakni sebelum pilihanraya, di mana kita perlukan lebih ramai anak muda yang berani tampil ke depan, yang memiliki bara perjuangan moral tinggi, yang mampu menjadi faktor mendorong untuk memastikan nasib anak-anak muda lain akan terbela.
Dan armada kita sedang bersiap secara tuntas untuk menempuhi satu pilihanraya paling bersejarah. Itu yang pertama. Yang kedua, apabila kami menang, segala jenis idealisme yang kita ada mesti segera diterjemahkan, daripada segi dasar-dasar baharu misalannya. Pada masa yang sama, kita harus segera berkeupayaan untuk memindahkan janji itu kepada tindakan.
Sumber: Instagram @syedsaddiq
Saya percaya, pada jendela waktu segenting itu, segala kepentingan peribadi harus diketepikan. Tiada yang lebih penting melainkan kerja keras untuk mematerialkan agenda perjuangan demi memajukan rakyat.
Inilah ketetapannya. Hati saya rasa sedih, teramat berat. Tetapi saya telah membulatkan tekad, bahawa saya mesti mengorbankan cita-cita ke Oxford.
Kalau saya ke sana sekalipun, jasad saja yang ada, tapi hati saya tiada di situ. Nak fokus belajar pun tak boleh. Hati saya akan selalu berdegup di bumi Malaysia.
Sumber: Arkib InTrend Malaysia
Sumber: Instagram @syedsaddiq
Sumber: Instagram @syedsaddiq
Masih ramai yang bersoksek-soksek di belakang dengan komen, “YB Syed Saddiq ni muda sangatlah, YB Syed Saddiq ni tak patut lagi pegang portfolio sebagai Menterilah." Apa komen YB?
Besar harapan saya, selepas ini, dengan perlantikan saya, tidak akan ada lagi komen daripada mana-mana pihak, yang mempertikaikan usia seseorang itu sebagai terlalu muda atau terlalu belia.
Kerana saya mahu pastikan bahawa kerangka pemikiran masyarakat boleh berubah di mana kita tidak lagi mengukur kematangan seseorang individu itu berdasarkan termometer usia. Usia BUKAN pengukur kematangan.
Jawapan saya kepada mereka? "Saya akan buktikan kalian salah!"
Dalam misi perjuangan untuk anak-anak muda Malaysia, apa yang YB mahu cari?
Saya tidak mahu KBS dilihat sebagai witch hunt. Hanya sebagai sebuah unit yang mencari kesalahan barisan pentadbir terdahulu. Kerana sebenarnya, orang muda mahukan lebih daripada itu.
Mereka mahu bercakap tentang keterbukaan dan kesaksamaan dalam merebut peluang pekerjaan. Orang muda mahukan perumahan mampu milik. Orang muda juga mahukan prasarana sukan yang mencukupi dan kondusif dari peringkat sekolah rendah, menengah dan universiti.
Ramai daripada mereka punya hasrat dipersiap dari kecil hingga menjadi atlet besar peringkat nasional. Mereka mahu penambahbaikan dalam Dasar Belia Negara. Mereka mahu hak mengundi, ya banyak lagi.
Komen YB tentang masa depan pasukan bola sepak negara kita?
Insya-Allah dalam tempoh terdekat, kita boleh pergi lebih jauh. Ada banyak perkara yang boleh kita lakukan, kerana kita ada jurulatih yang berwibawa. Kita juga ada pasukan bawah 19 tahun yang hebat. Sebagai contoh, baru-baru ini mereka berjaya pecahkan rekod Malaysia dengan memenangi Kejohanan Remaja B-19 AFF 2018 di Indonesia.
Saya masih ingat lagi detik di mana saya saksikan perlawanan akhir Piala Dunia antara Perancis dengan Croatia. Semua orang teruja menyarung baju-T jersi pasukan masing-masing. Tapi hati saya berbisik, alangkah baik jika pada masa hadapan, pasukan kita, Harimau Muda dan Harimau Malaya, dapat masuk ke Piala Dunia.
Pada waktu itu berjuta-juta rakyat Malaysia tak perlu lagi memakai jersi Perancis, England, Brazil, Jepun atau Rusia. Sebaliknya dengan bangga bersorak untuk pasukan bola Malaysia.
Sumber: Instagram @syedsaddiq
Sumber: Arkib InTrend Malaysia
Ramai kecewa Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tatanegara (BTN) dimansuhkan. Bahkan ada status di media sosial yang berbunyi: “Terima kasih sebab undi Pakatan Harapan. Sekarang BTN dah dimansuhkan, ayah saya hilang pekerjaan!” Komen YB?
Beginilah, kalau saya boleh ringkaskan. Ramai tertanya, apa yang terjadi kepada segala infrastruktur, aset-aset dan penjawat awam sedia ada di bawah bumbung BTN dan PLKN apabila dimansuhkan?
Kenapa pula ia dimansuhkan? Kami telah berbincang panjang tentang perkara ini. Diperhalusi satu persatu. Dan akhirnya, yang terbaik, kami memutuskan untuk meletakkan mereka di bawah Kementerian Belia dan Sukan dengan bajet yang telah diperuntukkan. Supaya mereka menjadi sebuah unit yang lebih mantap dan padu.
Banyak perkara mesti saya susun semula. Antaranya, penstrukturan semula kos. Kerana daripada taklimat yang telah saya terima, kos PLKN misalannya, teramat mahal. Kerana apa? Kerana hampir 50% kos yang telah diperuntukkan untuk PLKN, akhirnya akan dibayar untuk menyewa kem-kem sedia ada, bayangkanlah! Dan penyewaan tersebut tidak dilakukan secara tender terbuka. Bukan saja isu kos kem. Ia bersangkut-paut juga kos sewa bas, makanan dan baju yang teramat-amat mahal, yang semuanya melampui harga pasaran semasa.
Ini bukan penjenamaan semula.Tetapi saya mahu ia menjadi program yang benar-benar fokus belia.
Sumber: Instagram @syedsaddiq
Kita mahu lahirkan belia berwawasan, jentera muda penggerak masa hadapan negara. Saya mahu program ini merapi, membentuk lalu mengasah bakat-bakat muda dengan nilai-nilai kepimpinan, tidak kiralah apa jua bangsa, agama dan fahaman politik mereka.
Untuk mencapai aspirasi ini, akan berlaku rombakan secara besar-besaran. Dan perbincangan akan terus berlangsung dengan pelbagai stakeholders. Daripada sektor swasta, badan-badan kerajaan, MINDEF, Kementerian Pembangunan Wanita dan semestinya pihak KBN sendiri.
Saya juga telah hubungi pihak Khazanah untuk menginisiatifkan kolaborasi, supaya model baru dapat dilaksanakan untuk memperkasa pemuda dan pemudi – tiang negara terpenting untuk kelestarian maruah Malaysia yang berwibawa pada masa depan.
Sumber: Instagram @syedsaddiq
Begitu juga dengan IM4U yang sebelum ini berpayung di bawah Jabatan Perdana Menteri. Kini ia telah pun diserapkan dalam Kementerian Belia dan Sukan. Tiada lagi platform untuk mengindoktrinasi anak-anak muda kita dengan fahaman-fahaman tertentu.
Saya komited dengan perjuangan KBN secara kolektif untuk membangunkan modal insan. Saya mahu pemuda-pemudi kita bukan saja lincah dan berani di platform digital. Tetapi di dunia fizik, mereka juga disegani dan dihormati kerana jati diri yang kukuh, berpendirian teguh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan luas, malah berkemahiran tinggi.
Sumber: Arkib InTrend Malaysia
YB pernah sebut, kalau kami berjumpa YB lima tahun dahulu, YB adalah insan yang berbeza. Apa maksud YB?
Dulu, sebelum saya masuk Maktab Tentera Diraja (MTD), saya memang berbeza. Saya rasis, saya seksis. Sampaikan saya pernah berkata kepada kakak saya begini, “Kenapa kakak perlu bekerja? Kenapa kakak mesti bekerja? Perempuan tak perlu bekerja.”
Bukan itu saja, kepada kawan-kawan di sekeliling saya pada waktu itu yang berbilang bangsa, saya pernah mempunyai satu pandangan yang agak sinis. Tetapi apabila saya masuk ke Maktab Tentera Diraja iaitu sekolah berasrama penuh yang paling multiras, yang menghimpunkan ramai pelajar berbilang bangsa dan agama, ia membuka mata dan minda saya. Barulah saya tahu apa ertinya kesatuan hidup sebagai rakyat Malaysia. Barulah juga saya tahu menghargai kemajmukan negara kita ini.
Sumber: Instagram @syedsaddiq
Sumber: Instagram @syedsaddiq
Terakhirnya, apa harapan YB?
Sebelum ini, apabila kita membentangkan sesuatu isu, berlaku banyak penafian. Ini tidak betul, ini agenda pembangkang. Namun kini, apabila kami mengisi kerusi kerajaan, kami tahu kami tidak silap. Urus tadbir dan iltizam politik kami akan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat, golongan murbawan. Ya, anda semua.
Sumber: Arkib InTrend Malaysia