MAJLIS SIDANG MEDIA GEMPAK MOST WANTED AWARDS 2024
Kaw

5 Bintang Malaysia Ini Dikenali Dunia

Azwa Rahman 04/05/2016 | 07:16 MYT
Berikan tepukan yang gemuruh kepada lima bintang Malaysia ini yang terus mengharumkan nama negara ke persada antarabangsa.

1. Datuk Sheila Majid

Gambar: sheilamajid.com
Datuk Sheila Majid bukan nama asing buat penggemar muzik rantau Asia. Seawal penglibatannya dalam industri seni, Datuk Sheila Majid mula mengharumkan nama Malaysia dengan menembusi pasaran Indonesia. Pada tahun 1987, beliau memenangi anugerah Penyanyi Wanita R&B Terbaik menerusi Anugerah BASF yang pertama kali jatuh ke tangan penyanyi bukan dari Indonesia. Anugerah BASF adalah penghargaan tertinggi industri muzik Indonesia dan kini telah digantikan dengan Anugerah Muzik Indonesia (AMI). Berjaya dengan konsert jelajah Indonesia, beliau mula mengembangkan sayapnya di Jepun dimana beliau membuat persembahan di Festival Musik Tokyo 1989. Datuk Sheila Majid pada ketika itu kekal sebagai artis Malaysia pertama yang berjaya menempa nama di Jepun. Kelunakan suara dan gaya nyanyian telah membuka peluang Datuk Sheila Majid berkolaborasi dengan pemuzik handalan dunia, Nathan East dari kumpulan Jazz terkenal Four Play yang turut pernah bekerjasama dengan Michael Jackson, Whitney Houston dan Babyface. Dengan penjualan album yang sangat berjaya, beliau terus membawa muziknya ke United Kingdom dimana beliau membuat konsert di London’s West Royalty Theatre pada tahun 1996. Semakin mendapat permintaan di UK, Sheila Majid menerima jemputan Kelab Jazz Ronnie Scoots yang pernah dijayakan oleh Aretha Franklin dan Stevie Wonder.

Gambar: www.esplanade.com
2003 menyaksikan Datuk Sheila Majid kembali mewarnai industri hiburan Indonesia dengan mengadakan ‘Konsert Perjalanan Seni Sheila Majid’ di TransTV sebelum pelancaran albumnya, Cinta Kita. Album ini turut memuatkan kolaborasi beliau dengan nama besar Indonesia seperti Andi Rianto, Tohpati dan Indra Lesmana dan single pertama album ini, "Kerinduan", menjadi lagu nombor satu di Indonesia ketika itu. Tahun lalu juga menyaksikan beliau bersinar dalam konsert solo pertamanya di Los Angeles dan berharap dapat mengadakan konsert yang seterusnya di New York, San Francisco dan Philadelphia. Terbaru, Datuk Sheila Majid meraikan peminat di Indonesia dengan Konsert Kerinduan Ulangtahun ke-30 pada 2 April yang lalu.

2. Yuna

Gambar: www.elle.my
Yunalis Mat Zaraai, nama yang kini sedang mewangi di bumi Uncle Sam dilihat sedang bekerjasama dengan nama-nama besar Hollywood. Mula bekerjasama dengan Pharell Williams, perkenalan Yuna dan Pharell bermula apabila dia diperkenalkan oleh Ben Willis dari pengurusan Indie-Pop setelah menonton video Yuna di YouTube dan memintanya untuk datang ke Los Angeles. Hasilnya, Yuna telah menghasilkan album Decorate dan bernaung di bawah Fader Label. Kemudian, Yuna mengeluarkan singlenya "Live Your Life" yang diterbitkan oleh penerbit terkenal, Pharell Williams. Terkini, Yuna bernaung di bawah label Verve Music Group, di bawah pengurusan penerbit dan komposer terkenal, David Foster.

Gambar: styleblazer.com
Singlenya "Crush" yang menampilkan penyanyi Usher bermula dengan perkenalan bersama Usher pada tahun lalu namun mereka berdua tidak merancang untuk sebarang kolaborasi. Namun ketika dia sedang sibuk merakamkan album terbarunya, Yuna mendapat idea untuk berkolaborasi dan menghantar lagu tersebut kepada Usher. Dua bulan menunggu jawapan daripada Usher, dia mendapat kiriman email daripada Usher beserta lagu tersebut yang telah siap dirakam olehnya. Kini "Crush" sibuk diputarkan di corong-corong radio dan begitu mendapat tempat di hati peminat Malaysia. Selain bergiat aktif sebagai penyanyi dan penulis lirik, Yuna turut mengusahakan perniagaannya sendiri di Kuala Lumpur.

3. Shila Amzah

Gambar: www.helloasia.com.au
Pemilik nama Nur Shahila Amir Amzah ini mula menempa namanya setelah menjadi naib juara bagi siri realiti nyanyian, One in A Million musim kedua. Selepas satu persatu lagunya menjadi hit di Malaysia, pada September 2012, Shila dijemput untuk menyertai pertandingan Asian Wave setelah bapanya, ND Lala, menghantar video Shila menyanyi. Diadakan di Shanghai, China, Shila menjadi juara bagi Asian Wave 2012 dengan mendapat undian terbanyak secara online menewaskan semua peserta akhir yang lain. Sejak memenangi pertandingan itulah dia diberikan kontrak rakaman bersama Shanghai Media Group.

Gambar: www.mynewshub.cc
Shila Amzah merupakan satu-satunya penyanyi Malaysia dengan jualan lagu Mandarin tertinggi di Hong Kong, China dan Taiwan menjadikan dia artis Malaysia pertama yang berjaya di ketiga-tiga negara tersebut. Kemahsyuran yang diterima Shila membuatkan akaun Weibonya kini mempunyai 2.5 juta pengikut dan akaun Instagramnya kini berjumlah 1.5 juta pengikut. Terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa, Shila telah menerima beberapa anugerah untuk pencapaian terbaiknya setakat ini antaranya ialah Anugerah Persahabatan China-Malaysia dari Duta China ke Malaysia dan beberapa nominasi di Anugerah Muzik Dunia seperti Artis Wanita Terbaik Dunia, Penghibur Terbaik Dunia, Lagu Terbaik Dunia serta Video Terbaik Dunia.

4. Resh

Gambar: Universal Music Singapore
Penyanyi yang dahulunya dikenali dengan Reshmonu ini kembali bersinar dengan penampilan yang lebih dewasa. Single pertamanya "Half The Men" yang dimuatkan di dalam album terbarunya, Who Am I, menyaksikan Resh telah menembusi pasaran Amerika Syarikat. Lagu ini, yang mempunyai rentak R&B, telah ditulis dan diterbitkan oleh protégé Timbaland, Jim Beanz. Menurut Resh, proses rakaman lagu tersebut dijalankan sepenuhkan di Philadelphia, Pennsylvania, Amerika. Menerusi album Who I Am juga, Resh meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Beanz yang sebelum ini telah banyak mencipta lagu hit untuk penyanyi antarabangsa popular seperti Britney Spears, Adam Lambert, Whitney Houston dan Timbaland.

Gambar: www.hmetro.com.my
Perancangannya untuk terus menembusi pasaran AS bermula apabila presiden Universal Music Group Asia, Sandy Montero, mendengar lagu-lagu yang dirakamkannya bersama Beanz. Setelah berpuas hati dan menggemari lagu-lagu yang dirakamkan, Resh segera dilamar oleh pihak Universal Music Group Asia untuk bernaung dibawah label besar tersebut. Kini lagu "Half The Man" rancak dimainkan di stesen-stesen radio di Malaysia, Singapura, Indonesia, Hong Kong, Filipina, India dan turut dilihat tersenarai di dalam North American Digital Radio Tracker.

5. Zee Avi

Gambar: www.pledgemusic.com
Si jelita kelahiran Miri, Sarawak ini menceburi industri muzik arus perdana melalui saluran YouTube pada tahun 2007. Berkelulusan rekaan fesyen dari American International University di London, Zee Avi mula beralih angin ke Los Angeles, Amerika Syarikat untuk bergelar penghibur dengan kerjasama label rakaman Brushfire Records dan Monotone Records. Selepas videonya diletakkan pada halaman yang utama di YouTube, beliau ditemui oleh Patrick Keeler daripada kumpulan rock, The Raconteurs, yang kemudiannya memberi videonya kepada Ian Montone, pengurus kumpulan The White Stripes, The Shins dan The Raconteurs. Montone pula menyerahkan lagu tersebut kepada Emmett Malloy dan akhirnya Zee Avi menandatangani kontrak bersama label Brushfire Records yang dimiliki oleh Jack Johnson. Lagu nyanyiannya, "No Christmas For Me" telah diletakkan di dalam album Krismas This Warm December: A Brushfire Holiday Vol. 1 yang dikeluarkan oleh Brushfire Records.

Gambar: www.zeeavi.com
Albumnya yang pertama, Zee Avi, telah dikeluarkan pada 19 Mei 2009 melalui Brushfire Records dan Monotone Records. Pada hari pengeluaran album pertamanya, Zee Avi diberi penghormatan apabila diletakkan oleh laman YouTube di halaman depan sebagai Spotlight: Music Tuesday. Dari Jun hingga Ogos tahun 2009, dia rancak menjelajah AS bersama Pete Yorn. Lagunya bertajuk "Monte" telah diletakkan di dalam drama perubatan AS, Private Practice pada musim kedua terakhir penayangan drama tersebut manakala lagu "Concrete Wall" telah disiarkan dalam drama remaja, Gossip Girl pada musim kelima, episod 11. Tidak melupakan asal-usulnya, Zee Avi turut memuatkan sebuah lagu di dalam dialek Sarawak "Siboh Kitak Nangis" di dalam albumnya, Ghostbird.

#Selebriti #Malaysia #muzik #Malaysia #Selebriti #Muzik
;