Kaw

5 Watak Cikgu Paling Epik Dalam Filem Dan Drama Melayu

Azwa Rahman
16/05/2017
04:00 MYT
Sponsor Banner
5 Watak Cikgu Paling Epik Dalam Filem Dan Drama Melayu
Benarlah kata pepatah, 'guru itu ibarat lilin - membakar diri demi menerangi orang lain'. Tanpa adanya guru yang setia mendidik kita, mana mungkin kita berada di tempat kita duduk sekarang. 16 Mei setiap tahun merupakan sambutan hari guru kebangsaan dimana kita menghargai para guru yang bertanggungjawab mengajar tanpa erti penat lelah. Tidak kira pengetua, guru displin, guru subjek, guru pelatih mahupun pesara guru, profesion perguruan sentiasa dipandang mulia, menjadikan kita bangsa berguna.
Bersempena hari guru ini, pasti anda teringat pada bekas-bekas guru yang pernah mengajar. Selain guru di sekolah anda, ada juga beberapa orang 'guru' yang masih terpahat di dalam fikiran kita kerana lakonan mereka. Ini senarai 5 'guru' yang sentiasa menjadi pujaan hati disamping guru-guru di sekolah. Ikhlas daripada kami, selamat menyambut hari guru pada semua guru-guru di Malaysia. Terima kasih atas segala jasa dan budi kalian selama ini!

Watak cikgu paling epik dalam filem dan drama Malaysia:

1) Cikgu Shaari (Masam-Masam Manis)

Watak ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Membesar dengan cerita-cerita Allahyarham Tan Sri P.Ramlee membuatkan kita sentiasa terhibur dengan cerita dan karakter yang dibawa. Cikgu Shaari merupakan watak utama dalam filem Masam-Masam Manis. Filem komedi yang disiarkan pada tahun 1965 ini menceritakan kisah seorang cikgu yang juga merupakan seorang pemuzik profesional pada sebelah malamnya. Skrip 'hari-hari cikgu tidur, cikgu sudah tidur, mari kita main' antara paling diingati bagi setiap rakyat Malaysia yang menonton filem ini. Kisah Cikgu Shaari yang sering pulang lewat sehingga tertidur di dalam kelas paling diingati dan menjadikan watak ini antara pilihan watak cikgu paling epik.

2) Cikgu Nancy (Main-Main Hantu)

Filem Main-Main Hantu mula ditayang pada tahun 1990 dengan genre komedi seram. Watak Cikgu Nancy yang dilakonkan oleh pelakon cantik Nancie Foo, merupakan watak antagonis pada permulaan filem. Sebagai cikgu bola jaring yang mahukan pasukannya sentiada berada di depan, Cikgu Nancy terpaksa mengambil-alih pasukan lain untuk ke satu pertandingan bola jaring di Melaka. Kisah suka dukanya berdepan dengan pelajar-pelajar yang melawan dan nakal menjadi cabaran bagi dirinya dan disebabkan satu insiden, ia mengeratkan kembali hubungannya dengan pelajar-pelajar tersebut. Atas dasar kerjasama dan dedikasinya pada pasukan bola jaring tersebut, kami meletakkan Cikgu Nancy antara cikgu paling epik.

3) Cikgu Bedah (Adik Manja)

Adik Manja merupakan sebuah filem terawal yang mengangkat profesion perguruan ke layar perak. Dalam filem Adik Manja yang ditayangkan pada tahun 1980, ia mengetengahkan gelagat guru-guru dalam menjalani tugas harian mereka di sebuah sekolah berasrama penuh perempuan. Selain watak utamanya iaitu Cikgu Azmi (Dharma Harun Al-Rashid) dan Cikgu Sharina (Noorkumalasari), ada satu lagi watak cikgu yang mencuit hati penonton, iaitu Cikgu Bedah (Adibah Amin). Cikgu Bedah membawa karekter seorang guru yang garang, tegas, berdisplin namun busybody, sesuai untuk menjaga pelajar-pelajar perempuan di sekolah itu. Namun tahukah anda, Adibah juga asalnya merupakan seorang guru dan memulakan kerjayanya pada tahun 1958. Pada tahun 1970, beliau dilantik sebagai pengetua pertama Sekolah Menengah Sri Puteri Kuala Lumpur, yang menjadi lokasi penggambaran filem Adik Manja, Institut Sri Ilmu.

4) Cikgu Azian (Baginda)

Baginda merupakan sebuah filem sarat nilai moral arahan Aziz M.Osman yang mengetengahkan profesion perguruan pada tahun 1997. Filem ini berkisarkan persengketaan di antara dua sekolah iaitu Sekolah Mahmood Baginda dan Sekolah Datuk Panglima dan konflik dalaman pelajar-pelajarnya. Cikgu Azian, lakonan Allahyarham Azean Irdawaty telah diamanahkan oleh bapa saudaranya untuk menjaga sekolah bermasalah tersebut. Atas dasar ingin mendidik pelajarnya menjadi bangsa berguna, beliau bersama sekumpulan guru lain sedia memikul beban untuk mendidik pelajar agar tidak ketinggalan. Biarpun hampir putus asa, Cikgu Azian, guru-guru lain dan pasukan bola tampar sekolah bangkit bagi menebus kekalahan mereka sekaligus mengajar mereka erti tangungjawab.

5) Cikgu Jaafar (Cili Padi)

Pada mereka yang meraikan zaman kanak-kanak pada tahun 90-an, pasti akan tahu drama Cili Padi di TV3. Salim (Tam Suhaimi) bersama adiknya, Shafik (Nik Fariz) dan jirannya, Lili (Anne Ngasri) serta Melissa Saila sentiasa ditemani oleh Cikgu Jaafar lakonan Jaafar Onn. Karakter Cikgu Jaafar itu sendiri seorang yang cukup sporting dalam menyokong kanak-kanak tersebut namun masih tegas jika ada diantara mereka yang melakukan kesalahan. Atas kerana sentiasa prihatin dan memberikan perhatian pada kanak-kanak tersebut, Cikgu Jaafar layak berada di dalam senarai kami.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024