Umum pasti telah mengetahui bintang maya Jepun, Hatsune Miku akan berada di Malaysia bersempena Konsert sulungnya pada 16 Disember ini bertempat di Arena Axiata, Bukit Jalil. Berusia 16 tahun pada tahun ini, gadis maya berambut biru ini menjadi pujaan dunia dengan suara unik dan energinya ketika di atas pentas.

Nantikan persembahan Hatsune Miku live di Kuala Lumpur.

Nak tahu apa yang lagi yang menarik tentang Hatsune Miku, kami akan bongkarkan lapan rahsia tentang beliau yang pasti membuatkan anda tak sabar untuk bertemu dengannya nanti.

Penyanyi maya yang menjadi perhatian dunia.

1. Hatsune Miku dibangunkan oleh Crypton Future Media, INC pada tahun 2007.

2. Uniknya tentang Hatsune Miku, dia dicipta menggunakan pelbagai budaya moden Jepun seperti anime, manga dan sebagainya.

3. Karakter Hatsune Miku sebagai penyanyi maya mengambil masa selama 10 tahun untuk disiapkan. Setiap orang yang mencipta lagu atau melukis ilustrasinya, turut ‘menyumbang’ serba sedikit personaliti mereka pada karakter Hatsune.

4. Watak Hatsune Miku sangat diterima oleh peminat muzik Jepun. Hatsune telah bermula dari bawah dan lama-kelamaan mencipta nama sehingga menjadi bintang terkenal dunia.

5. Walaupun Hatsune bukanlah karakter pertama yang dicipta oleh Crypton, dia adalah yang pertama dapat menembusi pasaran muzik dan mendapat tempat di hati peminat. Hatsune sangat unik kerana dia mudah diakses, cantik dan senang digunakan.

6. Tambah istimewa mengenai suaranya, Hatsune menggunakan suara hebat seorang pelakon Jepun dan bukannya penyanyi.

7. Hatsune Miku telah berkolaborasi dengan beberapa artis dan pereka fesyen popular dunia seperti Lady Gaga, Pharell Williams dan Marc Jacobs. Berada di dalam kelasnya yang tersendiri, Hatsune Miku sedia untuk berkolaborasi bersama artis dari pelbagai latar belakang, untuk menghasilkan sesuatu yang baru. Terkini, Hatsune bergabung dengan penyanyi Jepun, Namie Amuro, pelakon Hollywood Scarlett Johansson dan pereka fesyen Riccardo Tisci.

8. Sepanjang 10 tahun penglibatannya dalam industri muzik, Hatsune telah membina hubungan yang kukuh bersama peminatnya di serata dunia. Hatsune bakal menjadi ikon dan sumber kreativiti menerusi kuasa muzik yang dimilikinya.