Takdir cinta akhirnya menyatukan pelawak dan pelakon bertubuh comel terkenal, Abam Bocey, 29, dengan gadis pilihan Siti Nurhidayah Mohd Ali, 26 hari ini di Sabak Bernam, Selangor.
Majlis itu berlangsung kira kira selepas waktu Asar. Mereka sah menjadi pasangan suami isteri dengan sekali lafaz kira-kira jam 5.33 petang tadi. Terdahulu sebelah pagi, pasangan ini melangsungkan pertunangan sekitar jam 10.

Advertisement
Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan menyerahkan sembilan dulang berbalas 11 daripada pihak isterinya. Abam menyerahkan mas kahwin sebanyak RM3,000 manakala RM13,888.00 bagi jumlah wang hantaran.
Pasangan ini akan bersanding esok, juga di Sabak Bernam. Manakala majlis bertandang sebelah pengantin lelaki akan diadakan pula di Gombak pada 20 Januari hadapan.

Betapa jodoh kuat mengikat hati mereka kini. Pasangan ini berkenalan pada tahun 2009 ketika Abam belum lagi menyertai Raja Lawak musim keenam, namun bagaimanapun hubungan itu terlerai di tengah jalan.
“Dalam rasa debar kini melangkah ke gerbang perkahwinan, saya selama ini sering bertanya apakah masih ada wanita yang sudi menerima saya ini seadanya yang bertubuh comel.
“Siapa sangka wanita yang pernah saya kenali dan putus seketika menjadi jodoh saya. Iyalah orang selalu cakap, kalau sudah jodoh pasti tak ke mana,” katanya yang merisik isteri pada September lalu.

Mengenai isterinya, Abam yang baru baru ini ke London melunaskan penggambaran drama Tuyul Ke London bersama Achey dan Atu menyifatkan Siti Nurhidayah sebagai seorang yang istimewa.
“Lebih daripada semua itu, dia pilihan bonda saya sendiri.
“Harapnya saya akan dapat membahagiakan isteri dan menjalankan tanggungjawab ini sebaik mungkin,” katanya.
Mengenai perihal berbulan madu, Abam memaklumkan yang dia dan isteri belum merancang lagi ke arah itu.
“Ini kerana saya terikat dengan komitmen kerja sampai bulan Februari depan. Mungkin selepas itu dapatlah berfikir hal honeymoon,” katanya.