KAW
Adik Beradik Sharifah Buat Gameshow Menyeronokkan Di YouTube
Kalau sudah darah seni mengalir di dalam tubuh, pastinya ada sahaja idea kreatif yang ingin dihasilkan. Begitu juga dengan adik beradik ‘Sharifah’, iaitu Sharifah Aleya, Sharifah Amani, Sharifah Aleysha dan Sharifah Aryana.

(Kredit Gambar: Instagram Sharifah Aleya @sharifahaleya)
Terbaharu, mereka menghasilkan satu bentuk gameshow di YouTube yang dipanggil 'Tahu Ke Tak?' dan episod pertama mereka melibatkan filem-filem serta serba sedikit sejarah mengenai Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

(Kredit Gambar: Instagram Sharifah Aleya @sharifahaleya)
“Saya antara rakyat Malaysia yang sangat beruntung dibesarkan pada zaman ketika lagu-lagu dan filem-filem P.Ramlee mudah diperolehi. Kita juga tahu lagu-lagu dan filem-filem Allahyarham akan sentiasa relevan dan menjadi sebahagian daripada hidup kita, tetapi peluang untuk memperolehinya semakin sukar,” tegas Sharifah Aleya.
“'Tahu Ke Tak?’ adalah cara fun untuk mengingatkan generasi baru tentang betapa pentingnya menonton, mendengar dan memahami tutur kata dan pandangan seorang lagenda.
“Bukan setakat kepada mereka yang berada di dalam industri, malahan seluruh rakyat Malaysia,” terang Leya tentang betapa pentingnya menjaga legasi seni negara.

(Kredit Gambar: Instagram Sharifah Amani @sharifah_amani)
Menurut Sharifah Amani, ‘Tahu Ke Tak?’ dihasilkan supaya semua boleh belajar bersama-sama sambil berhibur dan ketawa.
“Mungkin kita confident yang kita tahu semua benda sekarang ini, jadi kenapa tidak kita cuba uji minda kita sekali sekala sambil gelak guling-guling. Tak mengapa kalau tak tahu, janji kita belajar,” ulas Amani.

(Kredit Gambar: Instagram Sharifah Aleysha @leyshasenyum)
Bagi Sharifah Aleysha pula, ‘Tahu Ke Tak?’ adalah salah satu cara terbaik untuk dia bersama-sama adik beradiknya berkumpul bersama.
“Saya nak bersama adik beradik saya, ketawa dengan jawapan yang salah, belajar dengan jawapan yang betul dan masing-masing membantu antara satu sama lain untuk belajar.
“Gameshow ni macam satu cara yang terbaik untuk memperolehi kesemuanya itu dalam satu masa,” jelas Aleysha.
Mereka menghasilkan gameshow tersebut melalui syarikat mereka sendiri yang dinamakan Artitude Productions.
Jom kita saksikan episod pertama mereka.