Skip to main content

Market Trends

Aiman Tino Cuba Menyanyi Pop Yeh Yeh

aimantino.jpg
Meraih lebih 30 juta tontonan sejak lapan bulan lalu menerusi muzik video lagu "Ku Rela Dibenci" di YouTube menjadi pencapaian terbaik buat penyanyi remaja popular, Aiman Tino dalam karier seninya sebagai seorang penyanyi. 

Populariti yang diraih Aiman nyata membuka rezeki lebih padanya apabila menerima pelbagai tawaran persembahan termasuk terbabit dalam Konsert Gegar Pop Yeh Yeh yang akan berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 3 sehingga 5 Mac depan. Aiman mengakui, mengadakan persembahan berskala besar seperti konsert adalah peluang keemasan yang tidak mungkin dilepaskan.

“Apabila ditawarkan, saya terus menyatakan persetujuan kerana inilah masanya saya dapat menimba pengalaman beraksi di pentas Istana Budaya bersama penyanyi yang sudah terkenal. Bagaimanapun, saya melihat peluang ini sebagai satu cabaran kerana bukan mudah menyanyikan lagu pop yeh yeh yang masih asing buat saya. Bagi tujuan itu, saya akan lebih banyak berlatih dan mempelajari teknik penyampaian genre tersebut di samping menari untuk memberikan persembahan terbaik,” katanya dalam satu kenyataan.



Tambahnya, dia akan berusaha memberikan persembahan berbeza apabila cuba menari dalam persembahan kali ini yang dianjurkan bersama Persatuan Generasi Seni Malaysia (GenSem) dan CTRA Production. Buat peminat, Aiman akan menyanyikan lagu popularnya itu dalam rentak pop yeh yeh.

Dalam persembahan selama dua jam itu, Aiman turut akan mendendangkan lagu "Peracun Kalbu, Dendang Remaja, Kenangan Mengusik Jiwa" dan "Suzanna". Penyanyi berusia 19 tahun ini juga menyatakan pembabitannya dalam konsert ini sebagai mewakili golongan belia agar lebih mengenali warisan bangsa sendiri sambil mengembalikan semula kegemilangan dan kenangan indah zaman ibu bapa atau nenek dan datuk suatu ketika dulu.

Persembahan ini menampilkan segmen solo, tribute dan battle turut disertai penyanyi terkenal zaman 60-an, Datuk A Rahman Hassan, Datuk L Ramli, Datuk Jefrydeen, J Sham, Maria Bachok dan A Rozainie manakala ia diarahkan Mohd Ferdaus Hassan bersama kumpulan muzik, Agogo Istamuzika dari Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) Istana Budaya. Kepada peminat, tiket berharga RM56, RM86, RM116, RM156 dan RM186 boleh dibeli menerusi www.airasiaredtix.com atau ctraproduction (Facebook) atau menghubungi talian, 03-40265558, 03-61866592, 017-2004249 atau 012-2977220. 


  

Advertisement

Topik Berkaitan

Must-Watch Video