KAW
Aiman Tino Mahu Bahagiakan Ibu Bapa, Keluarga
Seiring dengan rezeki yang diperoleh dan usianya yang meningkat, Aiman Tino atau nama sebenarnya juga tidak teragak-agak untuk memperuntukkan duit raya kepada adik beradiknya yang lain termasuk ibu bapa tercinta.
“Ini cara saya nak membahagiakan ibu bapa terutamanya yang selama ini begitu bersusah payah memberikan apa yang saya mahu. Kalau tahun lalu memang saya terkapar-kapar sedikit kerana belum dikenali. Tapi tahun ini ada bezanya. Kehadiran saya mula diterima. Lagu Ku Rela Di Benci meninggalkan impak tersendiri buat kerjaya saya.
“Tahun ini insya-Allah saya sediakan duit raya untuk mereka yang masih kecil. Saya juga sediakan duit raya untuk ibu bapa dan adik yang lain. Selain turut melakukan persiapan raya keluarga, saya juga ada membuat pengubahsuaian rumah untuk memberi keselesaan serba sedikit.

“Insya-Allah ada rezeki lebih nanti, saya juga berhasrat mahu membeli rumah baru untuk ibu bapa. Setiap orang ada impian. Tentu saja antara keinginan saya adalah membahagiakan emak dan ayah. Keluarga kami besar, saya ada 10 adik beradik. Saya mahu semua ahli keluarga rasa lebih selesa tinggal di kediaman yang besar daripada rumah sekarang. Apapun, itu cuma impian kerana saya perlu mencukupkan wang simpanan,” katanya yang merancang mahu menjadi impian membeli rumah itu sebagai kenyataan.
Keseronokan penyanyi comel itu untuk menyambut raya juga bertambah-tambah kerana dilahirkan dalam keluarga yang besar.

“Memang kelebihan adik beradik ramai ini seronok. Tak sunyilah rumah dengan gelak tawa dan usikan masing-masing. Memang meriah. Pagi raya itu saya sendiri teruja dengan suasana keluarga kami yang ramai.
“Setiap kali tiba raya pun, rasa syahdu itu akan bertandang terutama ketika momen bermaafan maafan sesama keluarga. Dapat cium tangan ibu dan bapa juga satu nikmat indah,” kata anak keempat daripada 10 beradik itu.
Bercakap soal penyediaan baju raya untuknya, Aiman tak ada masalah mengenai hal itu.

“Saya sendiri ada menempah dalam tujuh pasang baju Melayu. Saya sendiri pun ada keluarkan kurta hipster, Qurta by Sweet Aiman, jadi dapatlah melaramnya juga. Kurta itu diinspirasikan saya bersama pengasas produk Wonder Glow, Datuk Ryzal Jamaludin. Istimewanya kurta ini boleh dipakai lelaki dan wanita,” katanya.
Buat pertama kali juga, Aiman menghadiahkan lagu raya berjudul Lara Dalam Kerinduan.

“Teruja juga dapat nyanyikan lagu raya sendiri. Selama ini saya teruja dengar lagu raya penyanyi lain. Kini keterujaan itu pada lagu sendiri pula. Saya percaya lagu raya penyanyi baharu seperti saya ini dapat beri warna terutama dalam menikmati kemeriahan Aidilfitri,” katanya.
Penghargaan Lokasi: Busana@MenaraMara dan Hotel Premiera, KL
Busana: Qurta by Sweet Aiman