Bakal menyambut adik baharunya awal tahun depan, penyanyi yang sedang meletop ini mengakui sangat teruja dan tidak sabar.
Aiman Tino memberitahu Rojak Daily Kaw! dia sudah menyatakan hasratnya kepada kedua ibu bapa yang dia mahu menjaga bakal adiknya itu termasuk menanggung semua kos yang diperlukan.
"Saya akan jadikan adik saya sebagai anak angkat dan akan bela dengan sepenuh kasih sayang.
"Saya sudah beritahu ibu dan bapa yang mereka tidak perlu risau kerana saya akan tanggung semuanya," katanya teruja.
Aiman yang tidak kisah bergelar ayah muda pada usia 19 tahun berkata dia sudah bersedia dan tidak menjadi masalah kerana berpengalaman menjaga adik-adiknya sebelum ini.
"Saya sangat seronok selepas dimaklumkan ibu yang saya bakal mendapat adik baharu walaupun saya orang terakhir yang dimaklumkan.
"Selepas ini adik beradik kami akan jadi 11 orang dan pastinya akan meriah," katanya yang mula mencuri tumpuan menerusi single sulung berjudul Ku Rela Dibenci.
Aiman anak keempat dalam keluarga berkata, dia turut meminta ibunya, Hazelina Mat Jalil supaya berehat dan tidak lagi menemaninya ke sebarang acara seni.
"Saya memang mahu ibu berehat dan menjaga kandungannya serta tidak benarkan melakukan kerja-kerja berat, mahupun temankan saya ke sebarang aktiviti seni.
"Maklumlah kalau persembahan tidak menentu masa dan ada kala sehingga lewat malam," katanya.
"Saya mahu bela adik saya seperti anak saya sendiri dan semuanya akan saya tanggung. Saya tidak mahu bebankan ibu dan bapa saya," katanya yang kini sedang popular menerusi single Ku Hanya Sayang Padamu.
Aiman juga memberitahu, dia bakal menggeluarkan jenama pakaian sekolah hujung tahun ini menggunakan jenama AT.