Bagi yang pernah membesar dengan Akademi Fantasia musim pertama (AF1), pertandingan realiti di Astro itu pernah mencetuskan fenomena. Dikendalikan Datuk Aznil Nawawi sebagai pengacara, pertandingan yang sarat dengan kejutan dan drama itu ternyata pernah membuatkan semua yang menonton menjadi bercampur pelbagai rasa.

Keletah 12 finalisnya, Vince, Nana, Khai, Rosma, Nija, Azizi, Sahri, Burn, Atie, Azza, Liza dan Adi ketika itu mengundang macam-macam emosi. Lalu selepas 14 tahun pertandingan kebanggaan Astro itu diterbitkan, Nana atau nama komersialnya Nana Mahazan bangkit untuk meneruskan showcase menggabungkan kesemua mereka.

Showcase yang dipanggil #AF1Reunion itu akan diadakan di Live at Comedy Planet, Great Eastern Mall. Ia akan diadakan selama dua hari iaitu 6 dan 7 Mei. Pada 6 Mei, hanya satu persembahan pada pukul 8:30 malam, manakala pada 7 Mei, ada dua slot persembahan iaitu pada pukul 3:00 petang dan 8:30 malam.

“Sekalipun sudah 14 tahun kami semua tak berkongsi pentas sama-sama, saya cuba buktikan yang AF1 masih lagi berbekas di hati penggemar setia dan peminatnya. Keakraban kami masih jitu biar tidak berpeluang bertemu selalu. Iyalah masing-masing ada komitmen. Tapi kami sering berkongsi cerita dan bertanya khabar menerusi WhatsApp Group yang dibentuk.

(Kredit Gambar: Nana Mahazan)

“Showcase ini sebenarnya sudah lama dirancang. Cakap cakap kosong itu biasalah sudah ‘berkurun lama’. Tapi ada kalanya tak ke mana. Nak dijadikan cerita, Februari lalu semangat saya untuk menjadikan cakap cakap kosong itu berkobar-kobar. Saya tak kisah nak ketuai rancangan buat showcase ini asalkan impian yang sudah lama diharap menjadi.

“Alhamdulillah ia dipermudahkan. Teman AF1 yang lain pun bersetuju untuk memberikan komitmen. Nak tunggu orang lain buat, barangkali tak akan ada. Jadi kenapa tidak saya yang cetuskannya,” kata pengacara Pop TV itu kepada Rojak Daily Kaw!

Menurut Nana, showcase itu nanti bukan hanya akan menjadi penyatuan semula mereka semua sebaliknya menjadi ruang melepas rindu.

(Kredit Gambar: Nana Mahazan)

“Persembahan kami nanti lebih bersifat intim dan santai untuk mereka yang pernah membesar dengan AF1. Mungkin ketika itu peminat AF1 ini baru bersekolah di tingkatan dua dan sekarang sudah berkahwin. Tapi siapa tahu, mungkin ada peminat generasi baru yang akan datang. Ia amat dialu-alukan,” katanya.

Nana memberitahu dia turut dihujani komen dan pertanyaan lagu apa yang akan dinyanyikan kesemua mereka kerana ada di antara bintang AF1 tidak mempunyai lagu atau single yang meninggalkan impak tersendiri.

“Saya rasa soal lagu itu bersifat subjektif. Apa yang lebih penting kita mahu bergembira dan menghiburkan semua yang akan datang nanti,” katanya.

Nana yang kini mengacarakan Nasi Lemak Kopi 0 di TV9 bersama Aidid Marcello setiap hari Ahad memberitahu tiket dijual pada harga RM90 secara walk in. Namun kepada pembeli awal ia dijual pada harga RM75. Kepada yang berminat boleh hubungi ticketing hotline di talian 011-39547741.