"Isteri anugerah terindah daripada Tuhan", itu yang diluahkan Datuk Jamal Abdillah, 59, sebaik memperkenalkan isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 24, buat pertama kali selepas 11 bulan mendirikan rumah tangga.

Katanya, walau jodoh mereka menerusi perkenalan aturan keluarga dengan jarak usia 35 tahun, wanita yang kini bergelar isterinya itu dianggap sebagai teman hidup yang akan terus dihargai dan disayangi.

"Zai Izzati adalah anugerah Tuhan yang paling indah. Bukan soal sedia perkenalkan atau tidak sebaliknya dialah peneman setia bersama saya ke mana-mana majlis.

"Kami hanya kenal dua bulan sebelum berkahwin. Itu pun jumpa sekali saja sebelum berkahwin kerana masing-masing sibuk membuat persediaan untuk majlis pernikahan.

Diperkenalkan oleh teman.

"Ia bukan cinta pandang pertama. Kami dikenalkan atas usaha kawan namun saya ikhlas menerimanya sebagai isteri. Bagi saya, dia adalah jodoh yang dikurniakan pada umur saya 58 tahun, " katanya kepada Rojak Daily Kaw! ketika sidang media Minggu Setiausaha di Hotel Tenera, Bangi, petang tadi.

Sebelum ini, Jamal lebih selesa tidak menghebahkan berita perkahwinan kali ke empatnya yang dapat dihidu media hanya selepas sebulan mereka mendirikan rumah tangga.

Pasangan itu bernikah di kampung penyanyi terbabit di Ipoh, Perak pada 1 April 2017.

Akui Jamal lagi, keperibadian Izzati yang lembut selain kedua-dua anaknya yang menyenangi Zai Izzati membuatkan hati beliau yakin wanita terbabit adalah pilihan paling tepat dijadikan peneman hidup.

Terdahulu, beliau pernah mendirikan rumah tangga dengan Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd Yusof dan Fatimatuzahrah Samad. Namun perkahwinan mereka tidak berkekalan.

Bernikah 1hb April, 2017.

Jamal mempunyai dua putera iaitu Osama Yamani, 17, hasil perkahwinannya dengan Noraina dan Ahmad Zaki Yamani, 11, daripada isteri ketiganya, Fatimatuzahrah.

Sementara itu, Zai yang berasal dari Kulim, Kedah mendedahkan pada peringkat awal dia menyangka keluarganya bergurau mahu menjodohkannya dengan penyanyi popular.

"Saya terkejut tapi selepas diyakinkan baru saya tahu itu bukan gurauan. Saya menganggap ini sebagai jodoh yang sudah diatur Allah kepada saya.

"Sejujurnya saya bukan peminat beliau. Saya cuma kenal abang Jamal sebagai penyanyi. Lagu-lagunya pun saya tak tahu sebab bukan generasi saya," katanya yang cukup lemah lembut.

Mengakui Jamal seorang suami yang penyayang dan romantik, Zai berkata mereka saling bertolak ansur dan sentiasa menerima kekurangan disebabkan faktor perbezaan usia.