Penyanyi Datin Alyah mengaku pernah mengalami kerugian apabila lagu Engkau Milikku yang video muziknya dirakamkan di India kurang menyerlah berbanding sambutan yang pernah diterimanya sebelum ini.

Alyah atau nama penuhnya, Noor Hasliah Abu Hassan, 37 berkata walaupun kerugiannya cukup besar iaitu sebanyak RM300,000 namun dia tidak penah menyesal dan tidak mematahkan semangatnya untuk terus menghasilkan lagu dan juga video muzik yang berkualiti.

Pentingkan kualiti.

“Hasil pemerhatian saya selama setahun lebih ini, saya dapati lagu Engkau Milikku tidak mampu menyaingi lagu popular saya sebelum ini. Pun begitu, saya tak pernah menyesal walaupun terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM300,000. Sejujurnya, saya seorang yang memang sukakan pengalaman dan pengajaran.

Daripada orang lain yang tentukan hasil kerja saya tetapi tak menjadi, itu lebih membuatkan saya menyesal. Jadi lebih baik saya buat sendiri,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Jutaan Purnama, buah tangan terbaru.

Terbaru, penyanyi yang berasal dari Gelang Patah, Johor ini muncul dengan single terbaru berjudul Jutaan Purnama hasil nukilan Hael Husaini bersama Ezra Kong dan Omar Kong. Menariknya, muzik video lagu itu turut menjalani penggambaran di luar negara iaitu di New Zealand.

“Saya bekerja di bawah label saya sendiri iaitu Like Music Entertainment dan bukannya di label lain yang meletakkan sejumlah bajet untuk pembikinan muzik video. Saya sangat mementingkan kepuasan dalam berkarya. Apabila saya buat klip video di luar negara, secara tidak langsung saya menimba pengalaman baharu.

Bakal hasilkan album kedua.

“Di India, saya bekerja dengan 12 orang tenaga kerja manakala di New Zealand pula seramai tiga orang. Ini memberi peluang untuk saya belajar bagaimana mahu menguruskan sesebuah produksi. Insya-Allah, untuk single akan datang saya akan kembali buat video muzik di Malaysia,” katanya yang kini sedang sibuk menyiapkan album solo keduanya.

Dalam perkembangan lain, Alyah turut merancang untuk melakukan rawatan kesuburan In Vitro Fertilization (IVF) sekiranya masih belum dikurniakan anak dengan suami, Datuk Ramli MS selepas hampir lima tahun berkahwin.

Inginkan cahaya mata.

“Sebelum Datuk Seri Siti Nurhaliza mengumumkan berita kehamilannya melalui kaedah IVF, saya sudah bertanya beberapa pusat perubatan.

“Saya difahamkan, mungkin disebabkan rutin harian, tekanan kerja dan gaya hidup antara sebab saya sukar nak hamil. Jadi, saya fikir rawatan IVF antara inisiatif terbaik untuk mendapatkan cahaya mata,” katanya.

Bagaimanapun, disebabkan kesibukan serta terikat dengan pelbagai komitmen kerja, Alyah terpaksa menangguhkan seketika hasrat itu.