Pertemuan di pertunjukan fesyen The KL Wedding 2018 bagi slot penutup Rizman Ruzaini Bridal baru-baru ini di sebuah hotel terkemuka tanah air turut membuka ruang pertemuan dengan pelakon dan model berdarah campuran India dan Scotland, Amelia Henderson, 22, bertanyakan perkembangan terbaru selain kedudukan rumah tangganya dengan seorang kerabat diraja yang dikatakan kononnya goyah.

Spekulasi gambar dipadamkan.

Netizen juga sudah pantas membuat spekulasi apabila Amelia sudah memadam gambarnya bersama suami, Tunku Harrunnarasheed Putra Tunku Annuar, di laman Instagram. Amelia dan suaminya, juga sudah tidak lagi mengikuti sesama sendiri di laman sosial bergambar dan video popular itu.

Gambar perkahwinan.

Bagaimanapun suaminya masih dilihat menyimpan gambar berdua di laman berkenaan.

Amelia bagaimanapun menafikan hal itu. Amelia berkahwin pada 14 Ogos 2015.

“Ya, kami masih bersama. Tak ada cerai pun. Ogos depan genap tiga tahun usia perkahwinan kami.

“Ikutkan sebelum kahwin lagi ada yang suka gosipkan saya itu ini. Apalagi selepas melangsungkan perkahwinan,” katanya yang cantik mengenakan persalinan perkahwinan rekaan Rizman Ruzaini.

Tidak campur urusan kerja dan peribadi.

Menurut Amelia lagi, dia selesa tidak mencampuri urusan kerjaya dan peribadi.

“Sejak usia 10 bulan lagi saya sudah bekerja sebagai model iklan bayi hingga ke zaman kanak-kanak dan sekarang. Jadi saya memang sudah terbiasa kuat bekerja. Kerjaya satu hal lain. Begitu juga dengan hal peribadi.

Hormati status suami.

“Dengan status suami, saya nak dia dihormati. Saya perlu jaga privasi dan kedudukannya juga. Saya sendiri bangga menjadi isterinya,” katanya.

Dia juga mengakui dengan wajah Pan-Asian yang dimiliki, masih ada yang skeptikal terhadap dirinya.

Senario itu sebenarnya bagai terlalu biasa bagi artis sepertinya.

Tidak pelat berbahasa Melayu.

“Memang ada yang masih skeptikal kerana berwajah ‘mat salih’. Orang fikir saya bercakap pelat kerana nampak saya seperti mat salih. Tapi saya boleh cakap bahasa Melayu kerana saya ke sekolah biasa yang ada orang Melayu juga.

Berlakon dan menjadi hos.

“Saya selalunya menerima tawaran menjadi hos majlis dalam bahasa Inggeris. Kalau berlakon pula saya okey untuk cakap dalam bahasa Melayu. Saya memang cuba membahagi masa dalam dua bidang ini sebaik mungkin.

Rebut peluang yang ada.

“Saya masih muda untuk meneroka banyak benda. Saya kena rebut peluang yang ada. Biar susah dan bergelut sekarang di usia muda. Jadi saya dapat bersara awal dan tak perlu kerja keras di usia tua,” katanya yang belum ada menerima tawaran berlakon filem.

Kembali berlakon.

Mengenai dunia kerjaya, Amelia memaklumkan mahu kembali menghangatkan pentas seni. Malah kini dia juga sedang sibuk di lokasi penggambaran drama Pengantin 100 Hari bergandingan dengan Aiman Hakim Ridza.