Selepas dua anggota kumpulan Forteen, Ameerais dan Izzue Islam melancarkan single masing-masing, kini giliran Ariz Lufias pula memperkenalkan single sulungnya berjudul Pergi.

Malah ketika ini juga jejaka putih melepak itu rancak mempromosikan single berkenaan hasil ciptaannya sendiri di laman sosialnya termasuk di Instagram.

Mula menulis lagu sejak dua tahun lalu.

Berkongsi mengenai hal itu kepada Rojak Daily Kaw! Ariz yang pernah digosipkan dengan Zulin Aziz memberitahu dia menulis lagu terbabit sekitar dua tahun lalu.

“Hanya pada tahun lepas saya masuk studio merakamkannya. Sepatutnya nak dilancarkan tahun lalu juga. Tapi kerana kekangan masa dan saya sibuk dengan hal lain termasuk berniaga dan berlakon, dunia muzik itu ditangguh seketika.

Sudah ada 10 buah lagu.

“Jujur agak gementar juga kerana ini lagu pertama ciptaan saya yang dibawa ke tengah untuk dinyanyikan secara komersial. Harap ia boleh diterima ramai,” katanya

Menurut Ariz lagi, lagu berkenaan bukan karya tunggal ditulisnya.

“Ikutkan sudah ada 10 buah lagu yang saya tulis. Saya ada rakamkan tiga daripadanya termasuk Pergi,” katanya.

Tambah Ariz, Pergi mengenai lagu kekuatan diri selepas seseorang yang istimewa atau disayangi meninggalkan kita.

Lagu tentang semangat diri.

“Memang kalau yang pertama kali dengar, ramai beranggapan ia lagu sedih. Liriknya mengenai semangat diri. Apa jadi kita akan sentiasa okey dan kuat sekalipun insan yang kita sayangi itu meninggalkan kita,” katanya.

Selain komitmen bersama Forteen, Ariz juga menjalankan perniagaan penjagaan kulit muka yang diuruskan keluarga sejak tiga tahun lalu. Malah dia juga aktif berlakon.