Pelakon yang dilanda kontroversi gambar panas, Atikah Suhaime, menjadi personaliti kedua yang paling banyak dicari pengguna Malaysia di Google sepanjang tahun ini.
Sekali gus, aktres berusia 25 tahun itu menewaskan bintang Korea, Song Joong-ki dan berada di belakang bakal Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menduduki carta teratas 10 Personaliti Paling Popular dalam carian enjin itu di sini.
Melihat senarai itu kembali, penyanyi baharu yang popular dengan lagu Ku Rela Dibenci, Aiman Tino berada di tangga ke empat selepas pelakon seksi, The Wolf of Wall Street dan Suicide Squad, Margot Robbie.
Isteri aktor popular, Syatilla Melvin pula di tangga ke enam dan menariknya, kedudukan ke tujuh menyenaraikan wanita yang terbabit dalam kes pukul bernama Nadia Nordin.
Nama itu lebih banyak dicari berbanding penceramah terkenal, Zakir Naik mahu pun pemain badminton China, Lin Dan atau calon Demokrat yang menentang Trump, Hillary Clinton.
Penceramah sensasi Zakir Naik di belakang Syatilla Melvin dan Nadia Nordin tetapi lebih banyak dicari berbanding pemain badminton Lin Dan dan calon Demokrat, Hillary Clinton.
Sementara itu, drama berantai Suri Hati Mr Pilot lakonan Neelofa dan Fattah Amin paling trending sebagai nombor satu di enjin carian Google Malaysia untuk tempoh sama.
Menyusul selepas itu adalah pesaing terdekatnya yang lebih dulu diperkatakan ramai selepas siaran sekitar Mei lalu, Dia Semanis Honey gandingan mantap Alif Satar bersama Siti Nordiana.
Antara 10 drama Melayu paling popular lain yang berada dalam Google Malaysia bersandarkan carian sepanjang 2016 adalah Isteri Vs Tunang, Awak Sangat Nakal serta Suami Tanpa Cinta.
Satu lagi penerbitan yang menjadi fenomena kini adalah 7 Hari Mencintaiku malah walaupun baharu menemui penonton, ia mampu meninggalkan yang lain bagi menduduki tempat ke sembilan.
Carian lain yang menjadi tumpuan pengguna internet seperti Euro 2016, Pokemon Go, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), SAPS Ibu Bapa serta Olympic Games Rio 2016.