KAW
Ayda Jebat Mahu Terus Jaga Hati Peminat
Setiap single nyanyian penyanyi genit ini pastinya menarik perhatian pendengar. Dari Siapa Diriku, hingga yang terbaharu Nakal Nakal Nakal nama Ayda Jebat terus meniti dibibir peminat dan lagunya menjadi ikutan ramai.
Jika tahun lalu, penyanyi ini antara senarai top artis yang mencipta kejayaan demi kejayaan termasuk paling popular serantai Malaysia, Indonesia dan Singapura apabila dinobatkan Artis Paling Popular Anugerah Planet Muzik.

Ayda Jebat sentiasa positif (Kredit Gambar: Instagram @aydajebat)
Memang thumbs up untuk Ayda, respek habis dengan penyanyi ini yang terus berjaya mencuri hati peminatnya.
“Saya bersyukur dengan pencapaian saya dan semua ini adalah hasil sumbangan dan sokongan peminat yang tidak pernah jemu.
“Peminat adalah segalanya buat saya dan saya akan selalu bersama mereka,” katanya kepada RojakDaily Kaw!

AJ Screamers sentiasa menjadi tulang belakang yang kuat buat Ayda Jebat (Kredit Gambar: Instagram @aydajebat)
Bercerita mengenai perancangan 2017, Ayda beritahu dia mahu terus mengukuhkan jalinan cinta dengan AJ Screamer, iaitu kelab peminatnya.
“Menjaga hati mereka (AJ Screamer) adalah antara agenda utama saya kerana mereka adalah tulang belakang saya.
“Pengorbanan mereka buat saya terlalu besar termasuk tidak berkira soal wang ringgit dan tenaga, saya tak mampu balas jasa mereka,” kata Ayda tulus.
Beliau berkata , dirinya beruntung kerana mempunyai kumpulan peminat yang bersamanya tanpa berbelah bagi.

Mereka sentiasa ada menyokong Ayda Jebat tidak kira di mana jua Ayda berada. (Kredit Gambar: Instagram @aydajebat)
“Sedih saya, gembira saya mereka selalu ada,” katanya yang juga queen di hati peminatnya.
Ayda berkata, dia berbangga dengan peminatnya yang sentiasa menjaga nama baik dirinya dan matang termasuk apabila berdepan dengan anasir negatif dari pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Saya selalu pesan kepada mereka peminat adalah cermin kepada seseorang artis itu dan syukur mereka memahaminya,” katanya.
Tahun ini juga bakal menyaksikan filem lakonannya Pinjamkan Hatiku ditayangkan pertengahan tahun ini. Filem itu menyaksikan Ayda bergandingan dengan Shaheizy Sam dan Farid Kamil.

Sentiasa akan melakukan yang terbaik untuk peminat-peminat beliau. (Kredit Gambar: Instagram @aydajebat)
Selain filem, Ayda juga akan terus memberikan fokus pada kerjaya muziknya termasuk menghasilkan lagu baharu serta projek khas bersama dengan penyanyi Indonesia.
“Saya akan tampil dengan single khas dan semuanya akan saya umumkan nanti,” katanya yang turut menambah akan sibuk bermula Januari ini.
Bulan ini, dia akan sibuk dengan penggambaran sebuah drama bersiri sempena Ramadan nanti dan juga mencari ruang ke Indonesia bagi mempromosikan single lagu Pencuri Hati versi dangdut.

Ayda Jebat terus berharap agar AJ Screamers akan sentiasa berada di sisi beliau untuk tahun-tahun mendatang. (Kredit Gambar: Instagram @aydajebat)
“Syukur dengan rezeki yang ada, saya gembira kerana ia adalah permulaan baik untuk 2017 dan saya harap moga semunya yang terindah,” katanya.
Seorang yang optimis, gadis yang mesra disapa 'Kenid' ini juga sedang merancang untuk menyambung pengajiannya selepas dipilih menerima biasiswa dari sebuah institusi pengajian tinggi swasta.
“Saya terharu dan akan cari masa untuk sambung pengajian. Saya berbesar hati kerana mereka sudi memilih saya sebagai ikon mereka,” katanya yang turut menjadi pilihan sebuah syarikat telefon bimbit yang menggeluarkan model dengan ukiran namanya.