Lakonannya sebagai adiwira Daredevil dan Batman cukup sinonim dengan penampilan aktor popular, Ben Affleck. Masih sibuk di set penggambaran filem Justice League ketika ini, dia turut muncul dengan filem terbaru, The Accountant yang akan ditayangkan di pawagam pada 20 Oktober ini.

Apa yang menarik perhatian penonton dalam filem terbaru kali ini, Affleck mempamerkan aksinya bersilat yang secara tidak langsung menimbulkan minatnya untuk mempelajari seni mempertahankan diri itu. Dia memberitahu, silat jarang dipertontonkan dalam filem sebelum ini. Justeru, silat menjadi suatu yang 'segar' dan baru untuk diterjemahkan secara visual.

"Tidak seperti Batman, saya tidak boleh memakai topeng dan perlu melakukan lebih banyak aksi sendiri berbanding lakonan saya dalam filem sebelum ini," katanya dalam satu transkrip temubual disediakan Warner Bros seperti dilaporkan The Star.


Tambah aktor kacak berusia 44 tahun ini, dia banyak menghabiskan masa mempelajari aspek koreografi dan membuat latihan cara berlawan yang mengambil masa beberapa bulan sehingga penggambaran bermula.

"Ia boleh menjadi sangat sukar dan perlu mencuba tetapi apabila dilakukan dengan betul, ia kelihatan segak meskipun ia sebahagian daripada pertarungan. Saya tidak pernah mendengar silat sebelum ini tetapi ia suatu yang menakjubkan dan ia menggambarkan lakonan dengan begitu sinematik," katanya.

Filem arahan Gavin O'Conner ini menyaksikan Affleck membawakan watak Christian Wolf yang sangat berminat terhadap angka dibandingkan bercakap dengan orang lain.

Dalam filem ini, wataknya digambarkan sebagai akauntan bebas yang berdepan dengan organisasi berbahaya di dunia. Affleck menyatakan kisah dalam filem ini menterjemahkan dua sisi berbeza antara manusia dan pada masa sama, dia adalah pakar matematik.

Katanya, pengalaman berlakon dalam filem ini suatu yang baru yang menyeronokkan dan mencabar yang belum pernah dilakonkannya sebelum ini. Pemilihan silat sebagai seni mempertahankan diri pada watak utama ini dibuat O'Conner selepas melihat beberapa gaya pertarungan yang dilakukan koordinator lagak ngeri, Sam Hargrave dan Fernando Chien.