Misteri kehilangan penyanyi bertaraf superstar, Anita Sarawak atau lebih mesra dengan panggilan Kak Nita terus meninggalkan tanda tanya.
Selepas lebih enam tahun misteri ‘kehilangan’nya belum menemui pengakhiran tepat.
Advertisement
Kali terakhir pun sekitar awal tahun ini, cerita mengenai Anita kembali menjadi bualan apabila penghibur itu dikatakan sudah kembali menetap di Singapura. Namun ia ternyata dilihat sepi begitu saja.
Bagaimanapun menurut sumber terdekat dan boleh dipercayai yang membisik ke telinga Rojak Daily Kaw! ada memaklumkan yang Anita kini berada di Perancis.
Penyanyi yang mesra disapa Kak Nita itu difahamkan berada di sana kira-kira tiga jam perjalanan dari Paris. Cerita itu dikongsi sumber yang kebetulan temannya menetap di sana.
“Anita sudah tinggal di rumah yang difahamkan miliknya itu sejak dua tahun. Kiranya Anita tinggal di atas tanah rumah yang dibangunkan. Anita sebelum ini pun pernah dengar terbabit dalam dunia hartanah.
“Tak hanya di situ, saya turut dimaklumkan yang Anita juga kini tinggal tanpa suaminya di sisi. Ikut cerita teman saya itu, Anita dan suaminya, Mahathir Abdullah dikatakan sudah berpisah. Punca perpisahan mereka tidak dapat dipastikan. Mereka dikatakan sudah berpisah sama tempoh dengan jarak Anita menetap di situ.
“Anita katanya lagi juga lebih gemar menyendiri,” kongsi sumber itu.
Kata sumber itu lagi, Anita dilihat bagai memberi isyarat tidak akan kembali lagi ke Malaysia.
“Lihat gayanya menurut teman saya, Anita seperti menyembunyi dan memendam sesuatu. Entah, barangkali Anita segan nak berhadapan dengan teman, keluarga dan peminatnya di Malaysia yang selama ini melihat kehidupannya begitu sempurna.
“Di sana pun, Anita lebih selesa menggunakan nama sebenarnya, Ithnaini Mohd Taib. Barangkali juga Anita tak mahu dirinya disedari mana-mana pihak. Anita turut dikatakan gemar memakai tudung atau berselendang untuk memastikan kehadirannya tidak diperhatikan. Mungkin juga itu isyarat diri beliau tak mahu lagi menjadi penghibur yang diagung-agungkan selama ini.
“Namun kalau melihat keadaannya menurut teman saya lagi, Anita bagai menahan rasa rindu terhadap insan yang beliau rapat di Malaysia. Perasaan itu bagai tersekat serta tak mampu diluahkan kerana sebab musabab tertentu,” kata sumber itu lagi.
Kalau mahu diimbas cerita kehilangan Kak Nita mula bertebaran sejak 2011 sekitar Oktober. Ia timbul apabila panggilan telefon dan kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) ke taliannya tidak dijawab. Malah Noorkumalasari yang dihubungi media memberitahu, Anita sudah pulang semula ke AS bersama suaminya.
Seterusnya pada Julai 2012, ada sekumpulan peminat mendakwa terserempak dengan Anita yang berimej baharu dengan berjubah dan bertudung di sebuah kompleks beli-belah di Texas. Anita juga dilihat sedang berjalan sendirian tanpa ditemani suaminya. Namun, segala yang diperkatakan itu terus tinggal menjadi tanda tanya.
Malah turut bertebaran cerita, kononnya punca kehilangan Anita mula terungkai apabila Noorkumalasari memberitahu, penghibur itu merajuk dengan industri hingga mengambil keputusan membawa diri.
Kemudian pada Februari 2014, berita mengenai perpisahan Anita dan Mahathir kembali tersebar. Hubungan mereka dikatakan berdepan dengan masalah sejak dua tahun sebelum `kehilangannya' lagi. Rakan baik Anita pernah mendakwa, dirinya sering menjadi saksi perbalahan mereka. Namun cerita itu bagaimanapun dinafikan Noorkumalasari.
Seterusnya pada Mei 2015, Noorkumalasari mengesahkan kakaknya itu sudah bersara daripada bidang nyanyian kerana mahu memberi tumpuan kepada perniagaan hartanah. Noorkumalasari juga memaklumkan, Anita gembira dengan apa yang dilakukannya dan belum mahu pulang ke Malaysia atau Singapura.
Terbaru sekitar Januari lalu, cerita mengenai Anita kembali menjadi bualan apabila penghibur itu dikatakan sudah kembali menetap di Singapura.