Barangkali apa yang sedang diraih Yuna saat ini sejak mencipta nama di Amerika Syarikat pasti membuat ramai yang cemburukannya. Tak mustahil di kalangan artis tempatan pun seperti menggigit jari mengenangkan betapa indah dan betapa bertuahnya untuk diterima di pasaran antarabangsa.

Tapi itu semua rezeki Yuna. Rojak Daily Kaw! tumpang gembira.

Selepas ditampilkan di dalam majalah InStyle dan Nylon, baru-baru ini penyanyi lagu Terukir Di Bintang itu berkongsi rasa teruja dimuatkan sebagai muka depan sisipan rencana fesyen yang bertemakan Hijabi Crush di dalam majalah terkenal Vogue Arabia. Isu Julai/Ogos itu menampilkan pelakon dan supermodel berkulit hitam terkenal Jourdan Dunn sebagai penghias muka depan majalah terbabit.

Berduet dengan Usher.

Yuna menggayakan busana rekaan pereka fesyen terkenal Malaysia, Hatta Dolmat dengan pos yang dilihat cukup dramatik untuk sisipan muka depan terbabit.

Penyanyi lagu Dan Sebenarnya itu berkongsi keterujaan berkenaan menerusi laman Instagram miliknya.

“Saya terlampau teruja. Saya dimuatkan dalam isu Julai/Ogos Vogue Arabia yang menampilkan Jourdan Dunn sebagai wajah kulit depan dan saya di dalamnya,” tulis Yuna sambil berjenaka jika boleh ditampilkan pula untuk muka depan majalah terbabit pada edisi akan datang.

Bersama pelakon tersohor, Cate Blanchett.

Dalam pada itu Yuna baru-baru ini juga pasti berbangga kerana berpeluang menemubual Quincy Jones pada pelancaran JBL Audio E55BT Edisi Quincy di Los Angeles.

"Pemuzik terulung! Saya seperti tidak percaya dapat melakukannya!

"Saya sangat bertuah dapat bercakap dengan Quincy Jones tentang artis komtemporari yang memberinya inspirasi ketika pelancaran JBL Audio E55BT Edisi Quincy," tulisnya di Instagram.

Penyanyi lagu ‘Crush’ itu juga bertuah kerana menerima nasihat berharga daripada lagenda muzik antarabangsa itu. Antara nasihat Jones adalah supaya pemuzik sentiasa rendah diri.

“Tanggungjawab kita sebagai pemuzik dan penulis lagu adalah untuk sentiasa rendah diri.

Bersama lagenda muzik, Quincy Jones.

“Bakat ini adalah dari Tuhan. Ia bukan milik kita jadi gunakan ia dengan bijak dan sentiasa bersifat rendah diri,” kata Yuna dalam laman Instagramnya.

Kata Yuna lagi, sepanjang penggambaran yang berlangsung sepanjang hari, Jones tidak pernah menunjukkan penat lelahnya.

“Saya merupakan orang kedua terakhir untuk menemuramah beliau dan cuaca sudah gelap di luar.

“Sangkaan saya, beliau telah lakukan ini (temuramah) sepanjang hari dan dengan secara umumnya, beliau pasti penat.

"Tetapi beliau layan semua orang dengan begitu istimewa dan bertanyakan khabar mereka. Apabila beliau diberikan sorbet oren, beliau terus berkata ‘Saya sudah bersedia!’” tulis Yuna lagi.

Sementara itu, penerbit muzik lagenda berkenaan yang turut menjadi individu penting di sebalik kejayaan karier Michael Jackson menerusi album diterbitkannya seperti Off the Wall (1979), Thriller (1982) dan Bad (1987) juga memuji Yuna.

Punya pendirian yang kukuh.

Menerusi sekeping gambar yang dimuat naik Jones di laman Facebook miliknya, penyanyi itu menyifatkan Yuna sebagai seorang artis muda yang bukan saja boleh memberi inspirasi kepada generasi baharu, tetapi juga orang lama sepertinya.

“Separuh abad saya menghabiskan kerjaya dalam bidang ini dengan pelbagai pengalaman termasuk memberi penghormatan terhadap guru ketika membuat sesuatu yang boleh mendatangkan inspirasi.

“Yuna merangkumi semua itu, penuh dengan komitmen berbekalkan suara emas miliknya. Dia juga tidak lupa menghargai pengaruhnya, sebab itu saya sangat menghormatinya,” memetik keterangan gambar yang diserta bersama-sama gambar beliau dan Yuna.