Pelakon popular yang kini sedang mencipta nama sebagai penyanyi, Nur Fazura Sharifuddin menafikan kononnya lagu 'Bisa Apa' ciptaan komposer terkenal Indonesia, Tantra & Mhala Numata yang dirakamkan di Studio Backbeat di Jakarta baru-baru ini ada kaitan dengan kisah hidupnya.
Maklum sajalah, sebelum ini ramai yang sudah tahu bahawa Fazura atau lebih akrab disapa Faz pernah bercinta dengan seorang aktor malangnya hubungan yang terjalin itu berkecai di pertengahan jalan. Justeru, apabila lagu yang berkisar kepada kisah cinta yang tidak kesampaian itu dinyanyikan oleh si Fazbulous ini, tentunya ramai yang menyangka bahawa lagu itu ada kena-mengena dengan kisah cintanya.
Ketika diajukan pertanyaan pada si empunya diri, dengan pantas Faz menafikan tanggapan nakal itu. Alasannya, sebagai penyanyi dia cuba menyampaikan amanah komposer dan penulis lirik lagu itu dengan baik.
“Menyanyi juga seperti berlakon, saya cuba sampaikan mesej dengan baik dan kalau pendengar dapat rasakan cerita yang saya sampaikan itu seperti kisah benar, bermakna mesej itu sampai dan perkara itu sudah cukup untuk menggembirakan saya,”kata pemegang trofi Aktres Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 ini.
Mengulas lanjut lagu bernada perlahan itu, Fazura mengakui lagu itu benar-benar menyentuh jiwanya sehingga membuatkan dia sebak tatkala merakamkan lagu tersebut.
“Kombinasi melodi serta lirik yang cukup melankolik membuatkan saya tertarik. Ketika merakamkan lagu ini, saya dapat rasakan perasaan sedih wanita yang ditinggalkan kekasih kerana lelaki itu memilih wanita lain.
"Saya cuba menjiwai perasaan itu sehingga ia terbawa-bawa dalam rakaman dan membuatkan saya sebak,"terang pelakon J Revolusi kepada Rojak Daily Kaw!
Mengulas lanjut pembikinan album solonya itu, Fazura berkata dia juga akan terbang sekali lagi ke Jakarta pada bulan April untuk menyelesaikan baki rakaman lagu ciptaan komposer terkenal di sana.
"Setakat ini dua buah lagu sudah pun dirakamkan dan saya adan beberapa lagu lagi termasuk lagu ciptaan komposer Indonesia iaitu Ariadinata dan Irfan Aulia yang juga anggota kumpulan Samsons,"cerita Faz lagi.
Rakaman lagu itu adalah untuk projek album solo pertama aktres terbabit yang dijangka bakal berada di pasaran selepas Aidilfitri.
Album itu diterbitkan Universal Music Malaysia yang juga bertindak sebagai pengurus kerjaya seninya.