Nampaknya semakin ramai penggiat seni yang berusaha mencapai impian dalam bidang perniagaan dan pada masa sama menyambung pengajian dalam bidang akademik untuk mempertingkatkan kemahiran diri.

Selepas pelakon Soo Wincci menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Terbuka Malaysia, dua bulan lalu, pelakon Boy Iman pula mencuri tumpuan apabila gambar dan video majlis konvokesyennya menerima PhD dikongsi pengguna di media sosial.

Bagaimanapun, apa yang menarik perhatian netizen kejayaan pelakon itu menerima PhD dalam bidang sosial dan kemanusiaan bukan menerima pujian sebaliknya, kritikan daripada pengguna media sosial yang mempersoal kesahihan PhD yang diterimanya. Beberapa foto yang dimuat naik pelakon itu di akaun Facebooknya menyatakan dia menerima PhD itu dalam majlis konvokesyen dari International University dengan kerjasama sebuah pusat pengajian dari Chennai, India pada 21 Disember lalu.

Pelakon itu yang kini menguruskan syarikat hartanah dan artis di bawah labelnya, DBI Entertainment pernah menjelaskan kepada media, dia melanjutkan pengajian jarak jauh (PJJ) dan melakukan penyelidikan serta tugasan dalam bidangnya itu.

Namun, menerusi nama universiti yang tertera di gambar konvokesyennya, ia merujuk sebuah kolej iaitu International Institute of Church Management Inc. Florida USA (IICM) yang menawarkan pengajian jangka pendek menerusi Internet selama tiga bulan untuk kursus diploma termasuk ijazah, sarjana dan PhD.

Rojak Daily Kaw! (RDK) membuat semakan menerusi Sistem Pengiktifan Kelayakan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia sebaliknya mendapati IICM tiada dalam senarai pusat pengajian tinggi yang diiktiraf kerajaan Malaysia. RDK sebelum ini pernah membuat pendedahan dalam laporan eksklusif mengenai PhD ekspres dengan hanya membayar RM25,000 untuk mendapat PhD dengan tempoh pengajian dua bulan. (Baca lagi: Hanya Bayar RM25,000, Dapat Doktor Falsafah (PhD) Ekspres 2 Bulan)