Watak Angel yang dipegang Bunga Citra Lestari di dalam filem Surat Kecil Untuk Tuhan terbitan produksi Falcon Pictures benar-benar mengubah seketika hidupnya.

Watak berat yang menuntut cinta hati kepada lelaki kelahiran Malaysia yang kini mencari rezeki di Indonesia, Ashraf Sinclair itu cukup menguji kemampuannya di gelanggang lakonan.

Malah gara-gara watak itu juga pelakon dan penyanyi yang mesra dengan gelaran BCL itu bagai terbawa-bawa dengan emosi dan kesedihan lakonannya. Hinggakan Ashraf sendiri bagaikan pelik dengan perubahan sikap isteri tersayangnya itu.

Watak ubah kehidupan.

“Bayangkan sebelum penggambaran bermula April lalu, saya baru selesai persembahan konsert nyanyian. Ketika itu momen yang dirasai ialah gembira dan puas selepas konsert berakhir. Tapi pada masa sama saya harus berada dalam ‘roh’ badan Angel. Watak Angel ini memang lakonan paling berat pernah saya lakonkan.

“Angel menyimpan kedukaan dan kesedihan lampau waktu kecil. Ada momen ketika penggambaran itu buat saya sendiri jadi lebih pendiam. Saya bagai ‘dirasuk’ watak Angel yang penuh dengan sisi kegelapan. Ashraf sendiri menyedari perubahan-perubahan yang saya lalui. Tapi mujur dia mengerti yang isterinya bagai terbawa-bawa dengan watak itu.

Ambil masa untuk kembali jadi diri sendiri.

“Saya pulang ke rumah dari lokasi penggambaran pun lewat pagi. Betapa dedikasinya saya untuk watak ini. Malah ketika berakhir penggambaran pun saya mengambil masa untuk menghilangkan Angel dalam diri. Akhirnya suami mula faham dengan apa yang saya lalui selama itu selepas menonton filem ini,” katanya yang ditemui Rojak Daily Kaw! baru-baru ini Red Box Karaoke The Gardens.

Di sebalik ‘penderitaan’ merealisasikan watak Angel seperti yang dimahukan pengarah, Fajar Bustomi, BCL juga gembira kerana impiannya untuk menjadi peguam kini menjadi nyata.

“Dulu waktu kecil memang saya mahu jadi peguam atau kalau dibilang di Indonesia namanya pengacara. Tapi saya tahu kalau di Malaysia, pengacara itu maksudnya hos atau perantara majlis. Impian kecil itu jadi nyata biarpun hanya dalam lakonan.

“Saya gembira sekali untuk peluang ini,” katanya teruja.

Kisah eksploitasi anak jalanan.

Jika pada 2011, filem dengan judul sama karya Agnes Davonar ini mengangkat tema anak yang menderita kanser selain dibintangi Allahyarham Alex Komang. Namun bagi versi 2017, Surat Kecil Untuk Tuhan ini masih dekat dengan pada persoalan sama iaitu eksploitasi anak jalanan yang bukan lagi isu asing di Indonesia.

Harus diingat dua filem ini berbeza jalan cerita dan bukan kesinambungan. Ia turut menyaksikan kali pertama, BCL bergandingan dengan aktor Joe Taslim.

"Kami sudah kenal lama. Tapi baru kali ini dapat bergandingan sama. Sebelum ini kami pernah menyanyi di acara sama.

"Agak mencabar sebenarnya untuk melakonkan babak cinta kerana selama ini kami bersahabat. Malah saya juga berasakan diri seperti lelaki kalau dengannya. Almaklumlah saya ini masih ada sisi seperti tomboi. Kalau berjumpa dengan Joe pun, saya selalu akan ber “Bro-Bro’ dengannya. Jadi ambil masa untuk mencipta keserasian itu.

Mula ditayangkan 3 Ogos di Malaysia.

"Mujur babak cinta yang digambarkan antara kami tidak terlalu mendalam kerana Angel sendiri berperang dengan diri sendiri dengan kisah silam," katanya.

Surat Kecil untuk Tuhan bercerita soal perjuangan dua adik beradik, Angel dan abangnya, Anton dipaksa menjadi pengemis dalam memperjuangkan hidup mereka. Filem ini juga mengenai eksploitasi budak jalanan yang bukan satu isu pelik di Indonesia.

Tak ketinggalan filem ini turut menyelit kisah mengenai penjualan organ kanak kanak secara haram.

Selain Bunga Citra Lestari dan Joe Taslim, filem ini yang ditayangkan di Malaysia bermula 3 Ogos ini membariskan pelakon hebat lain seperti Lukman Sardi, Teuku Rifnu Wikana, Ben Joshua, dan penyanyi Aura Kasih.

Di Indonesia filem yang memulakan penggambaran April lalu ini sudah ditayangkan sejak Jun dan mendapat sambutan hebat.