Pelakon dan penerbit popular, Datuk Hans Isaac, 46, mengumumkan akan menamatkan zaman bujangnya dengan wanita pilihan yang juga bekas pemenang Miss Tourism International 2012, Gabriella Robinson, 28, pada 29 Julai ini.
Hans dalam sidang media yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, berkata, majlis itu akan diadakan di gereja St John di sini. Mereka melangsungkan pertunangan pada 29 Januari lalu.
"Saya melamar Gabriella Januari lalu di gereja The Good Shepherd di Singapura. Sebenarnya gereja itu sangat istimewa kerana ibu bapa saya melangsungkan perkahwinan di situ.
“Sebelum ini saya memang tidak berniat untuk merahsiakan perkara ini dan mengelak setiap pertanyaan media. Namun, apabila semua yang dirancang berjalan lancar barulah saya nekad mengumumkannya hari ini," katanya.
Hans berkata, dia mula berkenalan dengan Gabriela pada 2011 dan pertemuan mereka bermula sebagai seorang kenalan.
“Ketika itu, saya menjadi juri untuk pertandingan Miss Tourism International yang turut disertai Gabriella. Bagaimanapun selepas itu kami tidak pernah bersua. Selepas beberapa tahun, kami berjumpa semula dan berkawan. Kami mula rapat dan menjalin hubungan yang lebih serius sejak setahun lalu,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!
Hans berkata, mereka mengambil masa agak lama untuk mengenali hati budi masing-masing sebelum dia yakin Gabriella adalah wanita yang sesuai dengannya.
"Dia sangat merendah diri dan saya sudah bersedia untuk membina keluarga bersamanya," katanya.
Sementara itu, Gabriella berkata, dia tertarik untuk memilih Hans kerana memenuhi ciri-ciri lelaki idamannya.
"Walaupun dia sibuk bekerja tetapi Hans seorang yang sangat mengutamakan keluarga. Saya juga suka sifatnya yang romantik dan pandai mengambil hati," katanya.