Siapa sangka hanya menerusi aplikasi muzik, Smule, pelakon, pengacara dan penyanyi, Dazrin Kamarudin bertemu jodohnya, Nurfazulin Razali seorang ketua pramugari berpangkalan di Jeddah. Pasangan sama padan sama cantik itu disatukan sekitar jam 12 tengah hari, 6 Mei lalu, di Hotel Avillion Legacy di Melaka. Mereka dijangka bersanding pada Julai hadapan juga di Melaka.
Sekali lafaz, mereka sah bergelar pasangan suami isteri. Dazrin dinikahkan sendiri bapa pengantin perempuan, Razali Din. Majlis dihadiri kira-kira 200 orang tetamu. Dazrin menyerahkan tujuh dulang hantaran selain mas kahwin bernilai RM500. Manakala dulang berkenaan dibalas 11 oleh pihak pengantin perempuan. Cuma kedua pasangan ini memilih untuk merahsiakan jumlah wang hantaran.
Menurut Dazrin, dia bercadang membawa isterinya berbulan madu sama ada di Milan, Itali atau Istanbul.
“Saya ini bukan romantik orangnya. Jadi saya mahu bawa isteri ke lokasi yang dikatakan romantik dan sesuai untuk berbulan madu. Perancangannya memang selepas Aidilfitri nanti. Ini kerana saya pun terikat dengan komitmen kerja berlakon bermula 10 Mei ini. Setakat ini saya menerima dua tawaran berlakon serentak.
“Satu daripada Datuk Yusof Haslam dan satu lagi Datuk Rafiena (Darkwave Picture). Saya belum putuskan lagi nak berlakon produksi yang mana,” kata Dazrin yang turut menyertai pertandingan pelakon menunjuk bakat nyanyian dua tahun lalu menerusi Gempak Superstar Astro.
Menceritakan lanjut bagaimana Smule mula menyatukan mereka, ia bermula ketika pembantu peribadi Dazrin sendiri menyuruhnya memuat turun aplikasi muzik berkenaan.
“Oleh kerana saya perlu berlatih sebelum persembahan di Gempak Superstar, maka aplikasi itu membantu. Tak sangka pula saya akhirnya bertemu jodoh di situ. Saya dan isteri ketika itu memang berkongsi minat yang sama iaitu menyanyi. Malahan selepas kenal, kami pun masing-masing menunjukkan sikap kebudak-budakan yang sama iaitu bermain ‘game’.
“Sikap kebudak-budakan itu yang pada hemah saya membuatkan kami bebas ekspresikan diri sendiri. Awal perkenalan pun, dia tak tahu saya ini sebenarnya artis. Lama kelamaan baharu dia tahu siapa saya sebenarnya. Ketika itu juga saya berasakan dialah calon isteri yang sesuai dan kenapa nak cari lain. Alhamdulillah jodoh kami kuat ke jenjang pelamin dan semoga ia kekal sampai ke jannah. Amin. Insya-Allah,” katanya.
Sejak setahun lebih juga mereka kenal dan jadi rapat. Biarpun awal perkenalan, isterinya jarang berada di Kuala Lumpur kerana tuntutan kerja di Jeddah menguruskan jemaah Haji dan Umrah, itu bukan halangan untuk mereka menjalinkan hubungan.
“Saya dan isteri juga jenis ringkas. Dia pun tak cerewet. Dia menerima saya seadanya.
“Jawatannya sebagai ketua pramugari pun sedikit sebanyak mengubah diri saya supaya lebih menepati masa, menjaga disiplin diri dan soal berkaitan ‘grooming,’ katanya.