Anak kepada penyanyi Saleem Iklim, Syafiq Farhain, mengakui terpaksa mengambil cuti tanpa gaji kerana mahu memberi sepenuh perhatian kepada program realiti Big Stage.

Syafiq yang juga anggota bomba dan penyelamat di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya berkata, dia bersyukur kerana majikannya memberi lampu hijau untuk menyertai Big Stage.

Syafiq tidak akan meninggalkan kerjaya sebagai anggota bomba dan penyelamat

“Pada mulanya bimbang juga jika cuti tidak diluluskan, tapi selepas jelaskan kepada mereka (majikan) mengenai program ini yang memerlukan komitmen sepenuh masa daripada saya, permohonan diterima.

“Saya berterima kasih kepada mereka kerana memberikan sokongan sepenuhnya kepada saya untuk bersama Big Stage,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!.

Syafiq Farhain...teruja untuk bersama rakan-rakan BBNU di pentas Big Stage

Bagaimanapun, kata penyanyi yang popular menerusi lagu Sayang Maafkan Aku itu, dia tidak merancang untuk meninggalkan kerjaya sebagai anggota bomba walaupun kehadirannya dalam bidang seni diterima ramai.

"Walau sesibuk mana pun saya, pekerjaan saya tetap akan menjadi keutamaan. Buat masa ini, tiada sebarang rancangan untuk meninggalkan kerjaya sebagai anggota bomba," katanya.

Mampukah 'Abang Bomba' ini bertahan sehingga ke peringkat akhir?

Mengulas mengenai penyertaan kali pertamanya dalam program realiti, Syafiq memberitahu dia tidak mahu menjadi peserta pilihan kerana populariti bapanya.

“Ya, saya mungkin tidak boleh lari daripada netizen yang akan memberi komen tentang vokal kami yang mirip, tetapi kalau boleh biarlah saya dikenali kerana bakat sendiri.

“Kalau orang nak kata saya tumpang populariti bapa pun, saya terima dengan hati terbuka kerana sebelum ini saya sudah lalui kontroversi melibatkan perkara tersebut,” ujarnya.

Syafiq Farhain pernah meminta semua pihak supaya tidak mengeruhkan hubungannya dengan bapa

Nama Syafiq Farhain mula menjadi bualan netizen selepas beberapa video nyanyian menerusi aplikasi Smule tular hingga ada yang menyamakan suaranya seperti bapanya.

Dia juga adalah penyanyi utama sebuah kumpulan muzik yang terdiri daripada anggota bomba dan penyelamat dikenali sebagai Fire Fingers JDT dan sering membuat persembahan ketika majlis rasmi jabatan berkenaan.




Syafiq bakal bersaing dengan sembilan lagi peserta dalam program Big Stage yang menampilkan bakat baru atau lebih dikenali sebagai Budak Baru Nak Up atau BBNU.

10 bintang BBNU yang terdiri daripada lima lelaki dan perempuan bakal berentap selama lapan minggu dan diadili oleh dua juri profesional iaitu, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan penyanyi berpengalaman, Faizal Tahir.

10 bintang BBNU Big Stage bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir

Selain juri profesional, para bintang juga akan diadili berdasarkan pemarkahan secara online daripada peminat menerusi aplikasi Tik Tok.

Dua selebriti popular, Alif Satar dan Sherry Al Hadad dipertanggungjawabkan untuk mengemudi pentas utama Big Stage.

Dua gandingan serasi, Sherry Al Hadad dan Alif Satar

Big Stage akan bersiaran secara ekslusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) setiap Ahad, jam 9 malam bermula 5 Ogos (Ahad) ini.

Konsert mingguan Big Stage bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).