Diddy Hirdy ada cara tersendiri untuk meraikan ulang tahun yang ke 32 tahun yang disambut 5 Oktober lalu dengan menghadiahkan single terbarunya berjudul Pergilah secara percuma kepada peminat tersayang.
Single itu akan diberikan menerusi platform digital social media di akaun Instagram @diddyhirdy dan Fanpage Facebooknya, Diddy.
Pengumuman rasmi akan hal itu sudah diumumkan Diddy pada 10 Oktober ini menerusi dua platform berkenaan bermula jam 8 malam waktu Malaysia.
Bagaimanapun ada syarat yang ditawarkan papa kepada dua cahaya mata itu.
"Mereka hanya perlu direct message alamat emel mereka dan kemudian saya akan hantar dengan format berkualiti tinggi.
"Ia hanya sah untuk tempoh 48 jam saja. Tempoh itu akan tamat pada 8 malam waktu Malaysia bertarikh 12 Oktober ini," ungkap Diddy.
Tambah Diddy apa yang dilakukannya itu sebagai menghargai sokongan peminat yang tak pernah jemu menyokongnya sejak menyertai pertandingan Akademi Fantasia musim keempat.
"Walaupun saya sedang belajar di Scotland, sokongan peminat itu masih berterusan hingga sekarang.
"Kalau saya berinteraksi dengan mereka tak kira di Instagram atau Fanpage FB, secara live atau DM, masih ada yang mahu mendengar saya menyanyi dan tak kurang meminta saya menyanyi semula secara aktif.
"Lalu saya hadiahkan single ini sebagai membalas minat mereka itu. Apatah lagi lagu ini mempunyai sentimental value yang sangat tinggi terhadap diri ini," katanya mengenai lagu yang dihasilkan di Parr Street Studios di Liverpool dengan pembabitan sepenuh tenaga kerja luar yang pernah memenangi Anugerah Grammy.
Pergilah menjadi single keenam yang dihasilkan Diddy sebagai bukti minatnya dalam dunia seni tidak pernah pudar.
"Ia single terbaru yang saya hasilkan. Mulanya ia dilancarkan secara penstriman langsung. Setahun kemudian dia diedarkan menerusi platform digital pula.
"Proses penghasilannya memang memakan masa yang lama.
"Apatah lagi ia hadir selepas beberapa tahun saya hadir dengan album penuh berjudul Diddy pada tahun 2007. Kalau ada yang masih ingat album itu ada lagu hits seperti Hilang dan Saling Terpesona, duet bersama arwah Yanie dari pertandingan Mentor," katanya.
Kerjaya seni Diddy dilihat "terbantut" seketika kerana komitmen pengajian muzik peringkat doktor falsafah (PHD) nya di University of Glasgow, Scotland.
"Segala kerja seni saya tertangguh seketika demi memberi laluan kepada pengajian yang baru bermula dan bakal berakhir pada tahun 2020.
"Jadi saya harap hadiah single itu akan jadi pelepas rindu buat peminat," katanya.
Sisi peribadi, suami kepada Allen Nor Azah Musa ini juga bahagia dengan keluarganya.
Diddy dan Allen berkahwin pada Februari 2010.
"Anak kedua saya Abid Syabil sudah berusia lima bulan kini. Dia dilahirkan sejak 12 Mei lalu.
"Abid pun mula pandai meniarap dan suka sangat tersenyum. Memang hilang penat dan stres ketika bergelumang dengan pengajian PhD apabila balik rumah melayan keletah dan bermain dengannya.
"Ia satu nikmat yang Allah beri dan Diddy sangat bersyukur," kata Diddy.