Skip to main content

Market Trends

Ditipu Puluhan Ribu Oleh Datuk, Rezeki Che Ta Tetap Murah

che-ta-01.jpg

Selama hidup ini terutama ketika menceburi dunia perniagaan sejak beberapa tahun lalu, Rozita Che Wan atau Che Ta sebenarnya sudah terbiasa bertemu atau berdepan dengan pelbagai ragam manusia. Ada yang nampak macam pijak semut pun tak mati di depannya tapi di belakang hanya Tuhan saja yang tahu.

Benar, bukan mudah nak percaya orang. Ahli perniagaan yang memiliki rangkaian produk menerusi premis niaga By RCW itu juga pernah beberapa kali menjadi mangsa penipuan mereka yang kaki auta. Paling teruk dan tinggi kerugiannya, Che Ta mengakui ditipu seorang ahli perniagaan bergelar Datuk berjumlah RM50,000 membabitkan minyak wangi Precious keluaran syarikatnya sejak tahun lalu.

Sebelum ini Datuk yang sama turut menipu artis Aeril Zafrel dan isteri Wawa Zainal yang juga menghasilkan rangkaian minyak wangi.

Rugi RM50,000 ditipu seorang Datuk.

"Saya ingat boleh percayakan dia. Tapi dia rupanya berniat jahat apabila menipu saya hingga kerugian sebanyak RM50,000.

"Bayangkan dia boleh buat duit banyak dengan menipu. Boleh tukar kereta mewah, tambah isteri dan macam macam lagi dengan hidup menipu orang. Tengok balik memang geram. Rasa kecil besar melihatnya.

"Namun saya pun akhirnya memutuskan untuk menghalalkan saja hutang itu. InsyaAllah saya reda. Biarlah dia hidup tak senang lenang dengan menyusahkan orang. Semoga dia berubah," kata Rozita kepada Rojak Daily Kaw! di pelancaran beliau sebagai duta umrah Imtiyaz Travel & Tours.

Tambah Che Ta, sekalipun tiada kontrak atau perjanjian hitam putih, pihaknya tetap ada bukti transaksi pembayaran yang dilakukan dengan Datuk ‘kaki auta’ itu.

"Saya malas nak memperbesarkan isu ini apatah lagi membuat laporan polis kerana silap saya juga kerana tiada hitam putih.

"Merayu dan meminta pun tak diendahkan. Tak apalah doa orang yang teraniaya ini selalunya dimakbulkan," katanya.

Ada hikmah di sebalik ujian.

Di sebalik ujian itu, Che Ta percaya ada hikmah. Rezekinya terus murah.

Rupa-rupanya ibu kepada Aaisyah Dhia Rana, Ammar Effendy dan Aniq Ezra itu sejak tiga tahun lalu begitu bermurah hati menaja 30 orang ahli keluarga serta sanak saudaranya mengerjakan umrah.

Malah tahun ini juga menerusi pakej mengerjakan umrah bersama dirinya bersama syarikat Imtiyaz Travel & Tours, dia bercadang membawa 20 orang ahli keluarganya turut serta ke Tanah Suci Makkah dan Madinah.

“Selain suami dan Aaisyah, saya memang merancang bawa ahli keluarga lain. Saya sentiasa percaya rezeki yang diterima itu bukan untuk diri sendiri semata-mata. Hakikatnya rezeki itu ada pecahan untuk orang lain. Insya-Allah saya akan buat hal sama ini secara berterusan jika ada rezeki lebih. Bukan niat saya nak menunjuk baik, tapi ada rezeki lebih tak salah saya bantu apa yang patut.

Taja sepuluh orang ahli keluarga setiap tahun.

“Saya selalu berfikir jika diri sendiri mampu ke sana dua kali setahun, apa salahnya ditaja pula kepada orang lain untuk beribadat di sana. Keutamaan tajaan saya ketika ini memang kepada adik beradik ataupun sanak saudara sendiri. Sebelum ini memang saya peruntukkan 10 orang termasuk yang ada mahram setiap tahun untuk buat umrah.

“Ibu saya sendiri yang banyak menolong dapatkan senarai nama mereka yang saya boleh taja ke sana,” kata kakak kepada Ayu Raudhah itu.

Jadi duta pakej umrah.

Dalam pada itu, Che Ta sendiri bersyukur selepas 10 kali mengerjakan umrah dengan mengeluarkan wang sendiri, rezekinya tahun depan pula untuk ke Makkah dan Madinah ditaja agensi kembara berkenaan.

Pihak Imtiyaz Travel & Tours bermurah hati menaja sekali gus membuka pakej umrah itu kepada peminat dan orang awam. Rombongan bersama Che Ta itu akan berangkat pada 22 Januari hingga 2 Februari tahun depan.

“Saya dengan pihak mereka pun sudah lama kenal. Kira-kira dua tahun lalu. Sejak Aaisyah membesar pun kalau urusan bercuti ke luar negara memang saya serahkan kepada mereka. Begitu juga kalau nak mengerjakan umrah. Kalau nak pergi Bangkok untuk beberapa hari pun, dengan satu panggilan saya minta mereka uruskan.

Buka penyertaan untuk orang awam dan peminat.

“Tak sangka pula kali ini pihak mereka berminat nak taja saya mengerjakan umrah pula. Ini juga kali pertama mereka melantik artis untuk menjadi duta mempromosikan pakej umrah.

“Sebelum ini pun saya senang guna khidmat mereka buat umrah kerana pihak mereka boleh aturkan apa yang saya mahukan mengikut kesesuaian tarikh. Agensi lain tak macam mereka. Macam tahun lalu, bilik hotel saya dan adik beradik lain diletakkan sebelah menyebelah,” kata Rozita.

Umrah bersamanya itu turut membuka penyertaan orang awam serta peminat. Bagi yang berminat untuk mengerjakan umrah bersama Che Ta boleh layari www.imtiyaztravel.com atau hubungi talian, 03-55453066, 09-6621329 atau 09-7417620.

Sebanyak dua pakej umrah ditawarkan. Satu pakej Silver Economy Class dan satu lagi, pakej Gold Business Class.

Must-Watch Video