Jika anda mengenali James Corden, sudah tentunya anda mengenali segmen popular dalam rancangannya, The Late Late Show with James Corden iaitu Carpool Karaoke. Segmen ini telah diperkenalkan pada tahun lalu dan menjadi viral setiap kali episod baru ditayangkan. Antara barisan artis terkemuka yang pernah menjadi jemputan segmen ini ialah Justin Bieber, One Direction, Sia, Adele dan Stevie Wonder.

Segmen yang digilai peminat dari serata dunia ini mempunyai format yang ringkas dan menghiburkan – babak akan bermula dengan James yang telah lewat untuk ke tempat kerja, lalu dia akan menelefon seorang (atau beberapa orang) rakannya untuk carpool bersama agar dia dapat ke tempat kerja dengan lebih cepat. Selebriti jemputan kemudiannya akan masuk ke dalam kereta dan memulakan perjalanan. Sepanjang perjalanan kita akan dapat melihat aksi spontan mereka menyanyi bersama dan juga perangai sebenar artis-artis terkemuka ini yang mungkin tidak diketahui oleh orang ramai.

Episod Carpool Karaoke yang paling popular buat masa ini adalah bersama Adele. Video berdurasi 14 minit 51 saat itu berjaya mengumpul lebih 103,000,000 views hanya dalam masa lima bulan!


Di Malaysia pula, sebuah rancangan baru telah muncul di mana selebriti jemputan akan menyanyi bersama hos rancangan tersebut di dalam kereta. Rancangan yang diberi nama Drama Karok ini dikemudikan oleh Raja Dubsmash Malaysia, Yusof Hashim atau lebih mesra dikenali sebagai Ucop.


Rancangan bersiri ini hanya mempunyai tiga episod buat masa ini dan hanya boleh ditonton di laman web Astro Gempak setiap hari Rabu pada pukul 4pm. Formatnya sedikit berbeza daripada Carpool Karaoke; Ucop akan muncul dan menjemput artis jemputan di lokasi penggambaran atau di mana-mana mereka sedang bekerja untuk berkaraoke bersama di dalam kereta.

Jangan lupa untuk menyaksikan telatah spontan artis kegemaran anda dalam rancangan temu ramah sambil melalak "Drama karok" dan dalam episod kali ini kalau korang nak tengok macam mana gaya Mark Adam kene saka Tilagesh jangan lupa untuk kunjung portal web rasmi Astro Gempak atau pun facebook page astro gempak untuk full video ✌?️#astrogempak #dramakarok

A video posted by Yusof Hashim (@ucopppp) on


Melalui pemerhatian kami, rancangan ini mempunyai potensi yang baik kerana hosnya mempunyai personaliti yang sememangnya spontan dan ‘masuk air’, tetapi pemilihan artis jemputannya perlu dilakukan dengan lebih teliti. Kami akui ada momen yang kelakar, namun ada juga momen yang agak ‘dry’ dan sedikit hambar. Mungkin lepas ni Drama Karok boleh menjemput artis seperti Datuk Siti Nurhaliza ke, Datuk M.Nasir ke ataupun Neelofa. Kami merasakan keserasian artis jemputan dan hos amat penting untuk menjayakan program ini.

Apa-apa pun kami ucapkan semoga berjaya kepada Ucop dan Drama Karok dan semoga mereka akan berjaya menghasilkan episod yang lebih menghiburkan pada masa yang akan datang.