Sekejap nak berlakon sama, sekejap tidak. Rojak Daily Kaw! sendiri pun tidak faham apa situasi sebenar yang dilalui Neelofa dan Fattah Amin. Sebelum ini sejak tahun lalu, kedua-duanya mencipta fenomena menerusi drama rantaian adaptasi novel, Suri Hati Mr Pilot (SHMP) disiarkan di Astro. Sepanjang drama itu diperkatakan, pasangan ini turut menjadi buruan kerana pernah dikatakan menjalinkan cinta lokasi atau cinlok.

Penuh drama juga, akhirnya kedua-duanya dikatakan tidak mempunyai ikatan istimewa lagi. Malahan hasrat pengarah Michael Ang yang mengarahkan SHMP untuk menyatukan mereka menerusi drama Hero Seorang Cinderella juga adaptasi novel juga tidak kesampaian sebagai meneruskan kesinambungan sokongan peminat drama dan kedua pelakon itu.

Neelofa pernah menyatakan mereka akan terus menjadi kawan. Baca Artikel: We will always stick together as friend.

Fattah dikatakan tidak mahu lagi digandingkan dengan pengacara MeleTOP itu. Alih-alih, baru-baru ini diumumkan pula yang kedua mereka akan bergandingan semula menerusi telefilem khas raya SHMP. Penggambaran akan dilakukan bermula 9 hingga 16 April depan. Berita itu pastinya menggembirakan peminat mereka termasuk LoFattah (gabungan nama kedua pelakon itu).

“Industri hiburan kita pun bukan besar mana. Pusing pusing pun pasti jumpa muka sama. Saya dan dia (Neelofa), kami memang tiada masalah. Malah terus berkawan. Jujur antara saya dan dia terjalin garis profesional dalam memenuhi tuntutan kerja. Kerjasama ini satu yang positif. Saya pun tak pernah fikir kerjasama kami akan berakhir begitu sahaja.

Neelofa pernah buat kenyataan di Twitter mereka akan sentiasa menjadi sahabat. (Kredit Gambar: Instagram Neelofa @neelofa)

“Saya menyenanginya dalam soal kerja. Cuma kisah lalu yang berbangkit selama ini terjadi atas beberapa faktor yang tak dapat dielakkan. Ia keputusan terbaik untuk diri masing-masing,” kata Fattah yang baru saja selesai penggambaran drama Dia Anak Jeneral untuk RTM bergandingan dengan Niena Baharun.

Menitip pesanan buat peminat tersayang termasuk LoFattah,

“Hanya Tuhan saja dapat balas budi baik sokongan anda (peminat) selama ini. Terima kasih kerana terus menyokong. Doa yang baik baik, kata yang baik baik dan kalian semua memang luar biasa,” katanya.