Tanpa diduga terjalin ikatan istimewa di antara dua artis kelahiran Singapura yang mencari rezeki di Malaysia iaitu Awi Rafael dan Atikah Suhaime.
Bertunang 17 Mac lalu, kedua mereka bakal bernikah dalam tempoh setahun lagi iaitu pada 17 Mac tahun depan.

Menurut Awi, tarikh berkenaan dipilih selepas keluarga kedua-dua pihak mengadakan perbincangan pada majlis pertunangan mereka, di Singapura.

Mula akrab sejak lima bulan lalu.

Penyanyi lagu Kalau Aku Kaya itu memberitahu dia mengenali Atikah sekitar 2012 apabila sama-sama terbabit dalam seni, namun masing-masing mula akrab hanya lima bulan lalu.

"Memandangkan kami berstatus solo, saya mendapatkan nasihat ibu. Saya dan keluarga berasakan, elok kami meneruskan perhubungan ini dengan cara lebih baik, iaitu menerusi ikatan pertunangan.

Ada ciri-ciri isteri mithali.

“Malah dalam tempoh bercinta sejak lima bulan lalu, kami hanya berjumpa sekali. Menariknya ketika berdating, saya bawa emak berjumpa Atikah. Ini kerana kebetulan ketika itu, saya keluar bersama emak,” kata pemilik nama penuh Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael itu.

Kata Awi, mereka kenal ketika dia masih lagi menjalinkan hubungan dengan bekas kekasih.

"Kami berkenalan sejak saya masih menjalin hubungan dengan bekas kekasih. Ketika itu, kami hanya membahasakan diri 'abang' dan 'adik'.
"Tak sangka pula perkenalan itu membawa kepada ikatan pertunangan," katanya yang turut menjadi peserta media musim kedua program realiti, Gema Gegar Vaganza (GGV2)

Sempat Rojak Daily Kaw! bertanya tentang keistimewaan Atikah di matanya, penyanyi lagu Bila Aku Jatuh Cinta itu berkata, selain memiliki kecantikan asli, gadis yang pernah dikatakan mempunyai iras Nur Fazura itu juga dilihat mempunyai ciri-ciri seorang isteri mithali.

Pertunangan buka pintu rezeki.

"Bagi saya, Atikah seorang wanita yang terlalu istimewa dan saya yakin dialah jodoh terbaik saya, Insya-Allah.

"Pertunangan ini juga boleh dikatakan sebagai rezeki buat kami. Sejak membuat perancangan untuk bertunang, ada saja tawaran kerja yang datang kepada kami. Doakan yang baik-baik buat saya dan dirinya sehingga ke jenjang pelamin," katanya penuh syukur.

Sementara itu, Atikah pula mengaku tertarik dengan sikap dimiliki Awi yang berjaya menambat hati ibu bapanya sekali gus buat dia terbuka hati menerima lamaran jejaka itu.

Sekalipun berkenalan dalam tempoh yang singkat, namun hatinya tetap kuat mengatakan Awi adalah calon suami terbaik buatnya.

Awi berjaya pikat hati ibubapa Atikah.

"Dalam ramai-ramai lelaki yang pernah berkawan dengan saya sebelum ini, Awi berjaya memikat hati mak dan ayah saya. Ia menjadi faktor utama membuatkan saya yakin dirinya lelaki yang harus saya kahwini.

"Sebenarnya, kami sudah berkawan lama dan kadang kala membuat muzik bersama-sama. Namun, kami bersepakat untuk bertunang dan keluarga setuju dengan rancangan kami," kata Atikah

Masing-masing juga tidak akan menghalang kerjaya seni berjalan seperti biasa.