KAW
Emma Maembong Tak Mahu Bertunang, Mahu Terus Kahwin
Di alam realiti, pasangan intim, Emma Maembong dan Kamal Adli ini belum dapat diagak bila mereka bakal ke gerbang perkahwinan.
Hingga saat ini, soal itu terus menjadi tanda tanya dan ditunggu-tunggu.
Namun di alam lakonan, ‘jodoh’ mereka sebenarnya dilihat terus kuat. Selepas pernah membintangi drama Syurga Tanpa Cinta di RTM dan Jodoh Sebelah Pintu (Astro), kini peminat akan terus melihat mereka bersatu sekali lagi menerusi drama terbitan Suhan Movies berjudul Jangan Padam Rindu.
Drama 20 episod adaptasi novel itu dijangka akan memulakan penggambaran pada hujung bulan ini dan akan disiarkan di saluran TVi.

“Saya baru saja habis penggambaran drama Awak Suka Saya Tak? bergandingan dengan Alvin Chong. Menariknya drama ini sudah pun disiarkan sejak 25 September di Astro Ria. Ia mengisi slot sama drama lakonan Kamal Adli dan Zahirah Macwilson, Duda Pujaan Dara yang sudah pun tamat siarannya.
“Insya-Allah selepas ini saya akan ke lokasi penggambaran drama terbitan Suhan Movies pula dengan Kamal Adli,” katanya.
Soal kahwin dengan Kamal pula bila lagi?

“Kahwin tak tahu lagi. Kalau saya kahwin pun rasanya tak perlu majlis pertunangan. Lebih baik terus bernikah dan mempercepatkan urusan.
"Cumanya, buat masa ini tiada apa yang nak dikongsi mengenai hubungan saya dengan Kamal Adli, bila tiba waktunya saya akan umumkan nanti.
"Buat masa ini baik saya mahupun dia mahu beri tumpuan kepada kerjaya dan mencapai impian masa depan terlebih dulu. Saya mahu tumpu pada perniagaan dulu selain dunia seni. Kalau sudah stabil, bolehlah merancang ke arah itu,” katanya.

Emma dalam pada itu kini turut serius dengan dunia perniagaan dengan berlangsungnya pelancaran tudung My Sketchbook Shawl by Emma Maembong di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Istimewanya tudung jenamanya itu mencetak lukisan yang dilukis sendiri Emma. Terdahulu tiga koleksi iaitu Libelle, Metafora dan Fatamorgana sudah dipasarkan. Kini diperkenalkan empat lagi koleksi baharu iaitu Budaya, Hibisco, Bumi Kita dan Seashell.

“Saya memang minat melukis dari kecil lagi kerana mewarisi bakat ayah, Ismail Embong. Daripada saya lukis atas kanvas atau kertas, kenapa tidak saya zahirkan minat itu ke atas tudung pula.
“Keluarga saya termasuk kakak Yaya Maembong dan Cody Maembong antara yang memberi semangat untuk saya tampil dengan perniagaan ini,” katanya.