Kecoh sejak dua hari lalu di laman maya apabila Fattah Amin didakwa enggan muncul dalam program live MeleTOP hingga menjadi kecaman netizen.

Biar pelbagai versi cerita muncul, bintang My Coffee Prince itu dilihat enggan memanaskan keadaan dengan lebih selesa mengambil sikap berdiam diri.

Sumber dalaman produksi pula mendedahkan berlaku kesilapan di pihak mereka apabila publicity stunt aktor berkenaan untuk mengagihkan kopi tidak dapat dijalankan.

Katanya, ia disebabkan individu yang sepatutnya menyediakan kopi berkenaan mengambil cuti kecemasan hingga mereka tidak dapat melaksanakan segmen dimaksudkan.

"Fattah memang sepatutnya Bersama Fahrin Ahmad untuk mengagihkan kopi kepada penonton dalam studio kerana dia maklumkan dari awal perlu bergegas ke utara usai segmen promosi drama My Cofee Prince.

"Apatah lagi sejak sampai dari Kedah jam 5 pagi semalam, sepanjang hari dia berada di Astro untuk tampil di radio hingga program TV bagi promosi My Coffee Prince termasuk di MeleTOP yang sudah diwar-warkan.

"Mustahil dia enggan muncul. Cuma mungkin orang luar yang tidak tahu menyangka bukan-bukan sedangkan keadaan ini disebabkan perkara lain," katanya yang enggan dikenali.

Difahamkan aktor yang baru mendirikan rumah tangga itu terbabit dalam tugasan di Universiti Utara Malaysia (UUM) sejak kelmarin dan pulang ke Kuala Lumpur seketika bagi promosi di Astro.

Namun dia dikehendaki kembali segera ke Kedah malam itu juga disebabkan perlu membuat persediaan untuk mesyuarat pada pagi Rabu.

Sementara itu, terdahulu pihak produksi membuat pengumuman mengenai kemunculan Fattah bersama pelakon My Coffee Prince yang lain termasuk menerusi Instagram rasmi program terbabit.

Malah pada masa sama turut memuat naik gambar aktor yang baru bergelar suami itu bersama seorang lagi pelakon, Fahrin Ahmad di belakang set dalam InstaStory mereka.

Bagaimanapun, pihak penerbit MeleTOP kemudian membuat permohonan maaf ketika rancangan sedang bersiaran dengan memaklumkan tunjang utama drama adaptasi Korea Selatan itu tidak dapat hadir.

“Kami ingin memohon maaf. Fattah Amin tidak dapat hadir malam ni disebabkan urusan di luar jangkaan yang tak dapat dielakkan.

Begitupun, Neelofa tetap profesional mengendalikan rancangan temubual hiburan nombor satu itu. Tidak ada apa-apa perubahan kerana tugas beliau dan Nabil adalah memastikan penonton tetap terhibur menyaksikan rancangan MeleTOP.

Malah perkara sebegini seperti tetamu menarik diri di saat akhir kerana kecemasan, tetamu tidak hadir, tetamu lewat dan sebagainya adalah perkara biasa apabila bersiaran secara langsung. Ianya bukanlah sesuatu yang baru, mahupun pelik.

Namun kerana ianya melibatkan nama besar seperti Fattah dan Neelofa yang pernah mempunyai kaitan, ramai membuat andaian yang bukan-bukan. Ditambah pula dengan segelintir pihak yang seolah-olah menangguk di air keruh dan menyimbah minyak pada sisa api yang masih membara.

Apabila seorang yang rapat dengan Neelofa pula berkongsi entri di InstaStory miliknya dengan menyebut seseorang itu tidak profesional apabila menarik diri pada saat akhir, ianya memberikan gambaran yang tidak elok dan seolah-olah sengaja untuk mencetuskan kontroversi, sedangkan bagi pihak Fattah, Neelofa, mahupun produksi MeleTOP, semuanya berjalan dengan lancar. Tidak ada cacat cela yang berlaku ketika siaran MeleTOP, dan Fahrin biarpun berseorangan mampu memberikan publisiti yang sepatutnya kepada drama My Coffee Prince.

Pada masa sama, sumber dalaman yang turut berada di lokasi sama pada malam tersebut berharap tidak akan ada lagi pihak luar yang mensensasikan sekali gus memburukkan lagi keadaan.