Datuk Lee Chong Wei, satu nama yang cukup digeruni dalam arena sukan badminton seluruh dunia. Kejayaan demi kejayaan diukir demi negara tercinta.

Tambah istimewa selepas kejayaan dalam bidang sukan, Datuk Lee Chong Wei sekali lagi menambat hati rakyat Malaysia apabila kisah hidupnya difilemkan.

Filem biopik Lee Chong Wei: Menjulang Kejuaraan bakal menemui penonton di layar perak bermula Khamis, 15 Mac 2018.

Datuk Lee Chong Wei, isteri, Datin Wong Mew Choo dan dua anak lelaki mereka, Kingston dan Terrance.

Kami diantara yang menyaksikan momen bersejarah tayangan perdana filem Lee Chong Wei menerusi layar gergasi di Stadium Bukit Jalil bersama hampir 20,000 rakyat Malaysia. Majlis ini turut dihadiri oleh Datuk Lee Chong Wei dan keluarga, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria serta legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek, Datuk Seri Jalani Sidek dan Rahman Sidek.

Acara simbolik sebelum tayangan perdana bermula.

Filem arahan Teng Bee ini mengisahkan kehidupan awal Datuk Lee Chong Wei yang penuh cabaran sebelum berjaya muncul sebagai pemain badminton nombor satu dunia. Jika ia mampu membuatkan air mata kami bergenang, ini lima sebab kenapa anda juga perlu menonton filem ini!

Legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek; Datuk Seri Jalani Sidek dan Rahman Sidek.

1. Barisan pelakon yang berbakat.

2,000 orang hadir bagi ujibakat watak Datuk Lee Chong Wei dan Tosh Chan dipilih untuk membawakan watak besar ini. Filem LCW membariskan pelakon handalan seperti Datuk Rosyam Nor selaku jurulatih Chong Wei iaitu Misbun, pelakon Singapura, Mark Lee sebagai bapa, Lee Ah Chai, Yeo Yann Yann, sebagai ibu, Khor Kim Choo dan Ashley sebagai isteri, Datin Wong Mew Choo.

Paling menambat hati kami adalah watak Chong Wei semasa kecil, lakonan Jake Eng. Pelakon yang membawa watak Lee Chong Wei bukan sahaja perlu pandai berlakon, malah perlu tahu bermain badminton.

2. Liku hidup dan cabaran seorang jaguh badminton dunia.

Mula jatuh cinta pada sukan badminton sedari kecil, anda akan tahu apa yang dilalui oleh Lee Chong Wei semasa kecilnya sehingga bergelar jaguh dunia hingga ke hari ini. Saat dimana Lee Chong Wei dinafikan kelayakannya untuk memasuki Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan menyertai kejuaraan All England cukup sebak sehingga membuatkan air mata kami menitis.

3. Semangat cintakan negara naik mencanak.

Umum mengetahui musuh utama Datuk Lee Chong Wei adalah handalan badminton dari negara China, Lin Dan. Ada momen dimana Chong Wei bersaing dengan Lin Dan untuk merebut kejuaraan terbuka Malaysia. Perlawanan epik ini ditonjolkan penuh sengit dan anda yang menonton, tak akan senang duduk. Di saat Chong Wei berjaya, pasti anda juga akan bersorak gembira apabila nama tanahair kita, Malaysia sekali lagi melakar sejarah tersendiri.

4. Penampilan istimewa Datuk Lee Chong Wei.

Tidak hanya pelakon-pelakon berbakat, Datuk Lee Chong Wei sendiri turut membuat kemunculan di dalam filem ini. Bagaimana dengan mutu lakonannya? Mungkin boleh diperbaiki lagi tapi yang pasti, anda akan berbangga apabila melihat jaguh badminton ini turut mencuba.

5. Sebuah filem biografi menarik untuk ditonton.

Secara keseluruhannya, kami memberikan 3.5/5 bintang untuk filem ini. Garapan cerita dan emosi disatukan secukup rasa untuk membuatkan anda mengerti susah payah seseorang dalam mencapai cita-citanya. Kejayaan tidak datang bergolek, ia perlu disemai dengan azam, semangat dan usaha. Filem ini mampu memberikan anda inspirasi untuk mencapai cita-cita anda pula.