Kisah kehidupan remaja bermasalah yang dipaparkan dalam filem Juvana, tiga tahun lalu nyata memberi tarikan pada penonton menyelami cabaran yang dilalui kumpulan pelajar ini.

Selepas sekuel Juvana 2: Terperangkap Dalam Kebebasan ditayangkan pada tahun lalu, kini sekuel terbaru, Juvana 3: Perhitungan Terakhir pula menjadi pertaruhan. Kali ini, filem arahan Faisal Ishak ini masih memaparkan genre drama dan aksi membabitkan isu gangster dan sindiket pelacuran.

Skrip filem ini yang ditulis Alfie Palermo mengekalkan pelakon utamanya, Johan As’ari, Zahiril Adzim dan Adam Shahz. Plot kali ini adalah kesinambungan kisah watak Botak, Daim dan Ayam yang membuat perjanjian dengan Raja untuk membebaskan Sara, ayah Botak dan adik-beradik Apek.

Dalam berdepan konflik dengan Raja, Daim menjauhkan diri daripada rakannya selepas satu kejadian menimpa kekasihnya, Sara. Filem terbitan Filmscape Sdn Bhd, Juita Viden Sdn Bhd dan Star Media Group Berhad akan ditayangkan pada 29 September nanti.

Berikut beberapa adegan menarik filem terbaru, Juvana 3: Perhitungan Terakhir.