Pemuzik baru datang dan pergi namun nama mereka kekal di hati peminat sehingga kini. Masihkah anda ingat dengan kumpulan Newboyz, AXL dan Budak Kaca Mata? Kali ini kami membawa anda mengimbau rakan pentas mereka yang bermula dengan huruf 'S'...

Spin

Kumpulan Spin ditubuhkan pada tahun 1998 dan dianggotai oleh Achik (vokalis), Raymie (gitar bass) dan Tal (dram). Bermula dengan album Roda-Roda Rindu pada tahun 1999, diikuti Spin 2 Litar Asmara (2001), Spin 3 Demi (2002) dan Keranamu (2003). Kumpulan ini menyepi dan hilang arah setelah kematian penyanyi utamanya Achik akibat kemalangan jalan raya pada April 2010. Spin cukup terkenal dengan lagu-lagu seperti "Mengusung Rindu", "Janji Kita", "Utusan Rindu" dan "Hadirlah Mustika" yang masih menjadi siulan ramai. 2015 menyaksikan kemunculan semula kumpulan dengan penyanyi barunya Awis, adik kepada Achik. Barisan anggota baru Spin terdiri daripada Awis, Raymie, Fidaz, Shah dan Aie.

Gambar: Spin Bersama Achik (achikdanspin.blogspot.com)
Gambar: Spin Bersama Awis (mediahiburan.my)

Spoon

Dianggotai Along (vokalis), Nurul (gitar kedua), Shahnaz (dram), Yahya (bass) dan Boy (gitar utama). Selepas kematian Along, tempatnya digantikan adiknya Az. Kumpulan ini muncul dengan dua album iaitu Spoon (1998) dan Kembali Merindu (1999) bersama Along dan satu album Kini (2001) bersama Az. Kumpulan Spoon yang berjaya mencipta nama menerusi lagu "Rindu Serindu Rindunya" dengan jualan melebihi 100,000 unit pada tahun 1998 dan tahun ini mereka bakal menerbitkan album keempat. Antara lagu-lagu terkenal mereka termasuklah "Memori Sekuntum Rindu", "Rindu Serindu Rindunya" dan "Sepenuh Hati".

Gambar: myspoonband.blogspot.com

Scoin

Nama kumpulan ini diberikan oleh Eddie Hamid dan diambil daripada perkataan coin (wang syiling). Kumpulan ini dianggotai oleh lima orang anak muda yang terdiri daripada One (vokalis), Boy (bass), Amar (gitar), Sham (gitar) dan Anep (dram). Menariknya, kesemua mereka berasal dari Kuala Lumpur, bersekolah di sekolah yang sama dan tinggal berdekatan antara satu sama lain. Lagu "Rindu- Rinduan Jadi Kenangan" telah menaikkan nama Scoin di tanahair dengan jualan rekod melebihi 100 ribu unit album, melayakkan mereka mendapat Anugerah Platinum.

Gambar: fmcmusic.com

Screen

Kumpulan yang dianggotai empat orang ahli iaitu G.Mie (vokalis), Wan (gitar), O-Jang (dram) dan Adie (bass) ini terkenal dengan lagu-lagu seperti "Orang Yang Ku Sayang Sayang", "Tak Suka Tak Apa", "Bila Cinta Didusta", "Kita Ditakdirkan Berpisah", "Kau Kesayanganku", "Kasih Tak Kesampaian", "Rindu Cuma Sehiris Rindu" dan "Jodoh Kita Telah Tiada". Mereka pernah merakamkan tiga album iaitu "Kau Saja Dihati" (1998), "Permata Hati" (2000) dan "Manja Kekasih Ku" (2001).

Gambar: fmcmusic.com.my

Scan

Azzan (vokalis), Acid (gitar utama), Ajoi (Bass) dan Afis (Drum) merupakan empat anggota kumpulan ini. Mereka berjaya menghasilkan dua buah album termasuk Jelas Terlihat (1996) dan Bila Anganku Terbukti (1997). Setelah kumpulan ini dibubarkan, Afis menyertai Butterfingers dan terkenal dengan nama Loko. Antara lagu popular mereka termasuklah "Kau Dipaksa Aku Terpaksa" dan "Di Sana Mawar Di Sini Penawar".

Gambar: liriklagu.com

Slam

Slam telah ditubuhkan pada awal tahun 1993 di Johor Bahru oleh Shah setelah kegagalannya bersama Exist. Nama Zamani, Shah, Man, Eddie, Lili dan Ajak cukup terkenal di kalangan para peminat setelah kejayaan album kedua mereka yang berjudul Kesan Terbukti yang memuatkan lagu "Tak Mungkin Berpaling".

Gambar: budiey.com

Sup

Nama Sup diambil bersempena dengan fenomena huruf S di kalangan kumpulan-kumpulan muzik popular tempatan. Nama ini juga merupakan singkatan kepada ‘Salam Untuk Pendengar’. Kumpulan yang terkenal di penghujung 90-an ini dianggotai oleh Kalam (vokalis), Chot (gitar), Lat (bass) dan Atan (dram). Kumpulan ini telah mengeluarkan dua album iaitu Cinta, Rindu, Pilu (1999) dan Arus Cinta (2000).

Gambar: itunes.apple.com

Sting

Antara lagu popular dendangan Sting yang dianggotai Poey (vokalis), Anuar (gitar), Din (gitar), John (bass) dan Zali (dram) ialah "Dalam Diam Aku Menyintaimu", "Seandainya Tuhan Mengizinkan" dan "Kusapu Air Mata Perpisahan".

Gambar: itunes.apple.com

Sweet Child

Merupakan sebuah kumpulan muzik yang berasal dari Kuala Lumpur dan ditubuhkan pada sekitar tahun 1995. Anggota asalnya terdiri daripada Achong (vokalis), Lan (gitar), Eleng (gitar), Pojie (bass) dan Choot (dram). Antara lagu popular mereka "Tinggal Sayang Tinggallah Pujaan", "Mencari Rindu Yang Hilang" dan "Kau Guriskan Perasaan".

Gambar: youtube.com