Beliau bukan saja menjadi legenda dan bahan rujukan pada industri perfileman tanah air tetapi sumbangan seninya selama ini memberikan kenangan pada ramai peminat yang masih menggagumi kehebatan penghibur terkenal, Seniman Agung Tan Sri P Ramlee.

Dalam kalangan peminat tarikh hari ini, 22 Mac terus dikenang sebagai memperingati ulang tahun kelahiran P Ramlee. Sungguhpun beliau meninggal dunia pada 28 Mei 1973, enjin carian laman sesawang popular, Google Malaysia turut memberikan pengiktirafan pada anak seni itu menerusi lukisan di 'doodle' hari ini.

P Ramlee atau nama sebenar, Teuku Zakaria Teuku Nyak Putih yang berusia 88 tahun pada hari ini adalah penghibur serba boleh dan berbakat besar dalam bidang lakonan, pengarahan, penciptaan lagu dan bermain muzik. Sehingga kini filem lakonan dan arahan beliau masih ditayangkan di televisyen dan diminati segenap lapisan masyarakat.

Beliau memulakan karier seni di Singapura pada tahun 1948 sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1964. Pengarah filem, Adman Salleh pernah menyatakan P Ramlee antara penghibur ketika zaman kegemilangan filem Melayu sejak pertengahan 50-an sehingga pertengahan 60-an dan filem P Ramlee sepatutnya dijadikan bahan rujukan kepada pengarah filem dan drama. (Baca lagi: [Eksklusif] Filem Tempatan Tidak Jelas, Kita Hanya Boleh Buat Filem Darai)

Di sebalik poulariti filem-filemnya, P Ramlee juga pernah meraih kejayaan di peringkat antarabangsa menerusi anugerah yang diterima dalam festival filem di peringkat Asia. Beliau menjadi pelakon filem Melayu pertama menang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Asia menerusi filem Anakku Sazali pada Pesta Filem Asia ke-4 di Tokyo, Jepun. (Baca lagi: Mungkin 10 Artis Malaysia Ini Berpotensi Menang Anugerah Oscar Pertama!)

Biarpun P Ramlee sudah tiada tetapi karyanya masih terus bernyawa kerana ia masih ditayangkan di televisyen dan diminati pelbagai generasi.