Kemelut rumah tangga membabitkan penyanyi Hafiz Hamidun bakal berakhir apabila beliau memfailkan permohonan cerai terhadap isterinya Joy Revfa di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, di Shah Alam, semalam.
Hafiz atau Muhammad Hafiz Hamidun yang memfailkan permohonan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu perceraian secara baik hadir bersama peguam syarie Azmi Mohd Rais kira-kira jam 1 tengah hari.
Advertisement
Antara alasan perceraian yang dikemukakan Hafiz ialah, tiada lagi kebahagiaan serta persefahaman antaranya dengan Joy Revfa atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin.
Bekas anggota kumpulan nasyid UNIC itu juga mendakwa isterinya itu sentiasa mengaibkan beliau di laman sosial, enggan menerima nasihat yang diberikan. Malah penyanyi berusia 33 tahun itu juga kesal apabila dengan sikap isterinya yang sering ingkar dengan suruhannya sebagai seorang suami termasuk menjatuhkan imej dan reputasinya.
"Sebenarnya saya tidak berminat langsung dengan apa yang dia luahkan dalam media sosial. Saya tidak mahu layan apa yang dia cakap kerana kenyataannya tidak berasas dan ia lebih kepada emosi,” kata Hafiz.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu ketuhanan itu turut memberi amaran kepada Joy supaya tidak lagi memburukkan namanya kepada khalayak.
“Sekiranya dia masih mengeluarkan kenyataan negatif mengenai diri saya kepada umum, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya,” tegas Hafiz.
Pasangan ini diijabkabulkan di Masjid Negeri, Shah Alam pada 1 Mei 2017 dengan sekali lafaz. Sebelum ini, Joy Revfa pernah berkahwin dengan Datuk Mohd Rayus Abdul Rahim dan mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun.
Mahkamah menetapkan 25 Oktober ini untuk pendengaran permohonan itu.
Sementara itu, pada satu sidang media yang berasingan, Joy Revfa juga nekad memilih untuk meneruskan penceraiannya dengan Hafiz.
Menurut Joy, jika mahkamah memutuskan pernikahannya dengan Hafiz sah sekali pun, dia tetap dengan keputusan mengakhiri perkahwinan itu kerana menganggap dia bersuamikan individu tidak bertanggungjawab.
"Saya terima perceraian ini dengan hati terbuka. Tak guna jadi suami-isteri sedangkan tiada lagi perasaan sayang itu. Biarlah perkara ini menjadi pengajaran buat saya.
“Dia sepatutnya berada di sisi saya, bukannya melarikan diri apabila timbul isu begini,” katanya ditemani peguam syarie yang mewakilinya iaitu Aznor Syuhada dan Muhammad Nur Hafiz Roslan.