KAW
Haida Terkejut Di Tangga Kedua Konsert Kedua
Mungkin ramai yang keliru atau tidak kenal dengan Haida Hafiz seorang daripada peserta Gegar Vaganza 4 (GV4) yang sedang rancak berlangsung dan bakal memasuki minggu ke tiga pada Ahad ini.
Diam tak diam, Haida mencuri tumpuan umum apabila berjaya melonjakkan diri dan berada ditempat kedua selepas tamat konsert minggu ke dua minggu lalu.
Rojak Daily Kaw! Mendapatkan wanita yang semakin jelita ini untuk mendapatkan reaksinya. Rupa-rupanya, kata Haida dia sendiri terkejut.

"Saya memang tidak sangka dan syukur kerana bagi saya ini semua adalah rezeki dari Allah.
"Saya memang berusaha memberikan yang terbaik dan mengikut nasihat Datuk Ramli MS yang membantu kami dari segi susunan muzik," katanya.
Haida mengakui gembira kerana usahanya menyampaikan lagu Gubahan Rindu Puisi Syahdu, nyanyian asal Fauziah Latif membuahkan hasil buat dirinya.
"Tapi tidak bermakna saya sudah selesa, banyak yang saya perlu perbaiki termasuk semua yang ditegur oleh juri.

"Saya tidak pernah fikirkan kemenangan kerana bagi saya ini adalah pentas terbaik untuk saya menunjukkan bakat dan kebolehan yang saya miliki," katanya bersungguh-sungguh.
Mengenai ada pihak yang tidak mengenali dirinya, Haida tidak berkecil hati kerana dia mengakui kurang aktif dan keluar di media selepas popular menerusi lagu Zapin Usik Mengusik duet bersama Senario dan Arena Rambong.

Beritahu Haida, dia pernah menetap di Indonesia dan meletop dengan single berjudul Kekasihku Milik Orang.
Katanya, ketika itu dia berada di bawah naungan syarikat miliki kakak kepada Krisdayanti iaitu Yuni Shara.
Haida berkata tawaran untuk menerbitkan singlenya itu tercetus dua tahun lalu itu umpama pembuka jalan sekali gus pencetus semangat untuk beliau menyerlahkan kemampuan.
"Syukur single pertama ciptaan komposer berpengalaman, Wido diterima baik. Walaupun ini lagu dangdut sulung dan memberi cabaran ketika rakaman, kepercayaan Yuni Sara sebagai produser membuatkan saya lebih bersemangat.

"Sebelum ini memang saya berulang alik antara Kuala Lumpur dan Jakarta tetapi selepas kemunculan lagu baharu, tanggungjawab memenuhi undangan menyanyi dan promosi lebih tertumpu di sana," kata ibu kepada seorang anak itu.
Mengenai cabarannya yang bakal membawakan lagu rock Kenangan Bersamamu nyanyian asal Lefthanded pada Ahad ini adalah satu lagi percubaan julung kali buatnya.
"Saya akan cuba berikan yang terbaik," katanya.