KAW
“Hajat Sangat Bermakna, Merupakan Pengakhiran Kepada…” Hael Husaini
Penyanyi Hael Husaini kembali dengan mempertaruhkan buah tangan terbaru berjudul Hajat.
Single tersebut merupakan hasil ciptaannya sendiri dengan kolaborasi penuh serasi bersama komposer Ezra Kong.
Menurut Hael, Hajat merupakan sebuah karya yang sangat bermakna buat dirinya.
“Alhamdulillah, syukur kerana satu-satu hajat saya telah tercapai setelah ‘Jampi’, kemudian ‘Haram’ dan kini tiba giliran ‘Hajat’ pula saya pertaruhkan untuk tatapan halwa telinga buat peminat saya dan penggemar muzik Malaysia.

“Sebenarnya, ketiga-tiga lagu ini ada kesinambungannya dan saya ciptakan kesemuanya bersama Ezra.
“Lagu ini saya terjemahkan dalam sisi yang berlainan kerana sebelum ini peminat-peminat sudah terbiasa dengan genre yang saya bawakan dan kali ini saya berikan kelainan bermaksud saya mahukan sesuatu yang baharu dan tidak pernah saya buat sebelum ini.
“Maksud ‘Hajat’ sangat mendalam bagi saya kerana ia merupakan pengakhiran kepada single-single terdahulu di mana saya ‘mencincinkan’ seseorang dan permulaan sesuatu yang baharu.

“Ia sangat simbolik bagi saya kerana semua orang mahu mengecap kebahagiaan suatu hari nanti.
“Proses rakaman single ini juga hanya memakan masa selama dua jam sahaja dan amat mudah bagi saya untuk bekerjasama dengan Ezra kerana kami mempunyai pandangan yang sama dan masing-masing faham apa yang diperlukan untuk mencantikkan sesuatu ciptaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, selain sibuk mencipta lagu, Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Ramzi juga turut menjadi buruan artis-artis tempatan yang mahukan lagu-lagu gubahannya.

“Syukur tidak terhingga kerana ramai artis Malaysia yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk menciptakan lagu untuk mereka dengan Ezra.
“Rata-rata lagu ciptaan kami mendapat sambutan penggemar muzik Malaysia lantas menjadi viral setelah dilancarkan.
“Bukan mudah untuk menciptakan sesuatu lagu kerana saya perlu memahami karakter seseorang agar kedengaran serasi dan ‘masuk’ dengan penyanyi tersebut.

“Selain itu, formula saya mudah sahaja dalam penciptaan sesebuah lagu iaitu keikhlasan, kita perlu ikhlas dalam membuat sesuatu perkara dan ‘end product’ akan kedengaran lebih telus dan masuk ke jiwa setiap pendengar.
“Sebagaimana lagu-lagu saya sebelum ini, saya memberikan 100 peratus dalam setiap pembikinan dan berjaya atau tidak saya letakkan sebulat-bulatnya kepada peminat-peminat di luar sana,” ujarnya.
‘Hajat’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.

Video lirik dan muzik lagu ‘Hajat’ ini juga boleh di tonton di saluran Youtube Rocketfuel Network.
Terdahulu, Hael mengakui antara hajatnya yang telah tercapai adalah bersama penyanyi bersuara lunak Malaysia, Dayang Nurfaizah menerusi lagu duet berjudul ‘Haram’.
Must-Watch Video