KAW
"Hancur Hati Saya Apabila Membaca Komen Kejam Netizen" - Neelofa
Dalam diam, rupanya pelakon dan pengacara terkenal, Neelofa makan hati dengan komen kasar netizen berhubung gosip cintanya dengan pelakon Fattah Amin serta dilaporkan intim dengan seorang kerabat diraja.
Perasaan kecewa itu diluahkan Neelofa kepada Rojak Daily Kaw! ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi hijab Lady Lofa dan Lady Lofa Luxe bermotifkan Pepatung yang diadakan di Black Box, Publika di sini malam kelmarin.

(Kredit Gambar: Hazmiljapilus)
Menurut Neelofa atau lebih akrab disapa Lofa, disebabkan tertekan dengan kata-kata negatif yang dilemparkan, jiwanya menjadi kacau sehingga air mata menjadi penemannya saban malam.
"Betapa hancurnya hati saya apabila membaca komen kejam netizen terhadap gosip cinta bersama Fattah dan juga isu dikatakan rapat dengan kerabat diraja. Tujuh tahun dalam industri, saya tidak sepatutnya diberi tekanan sebegini.

(Kredit Gambar: Hazmiljapilus)
"Berilah saya peluang dan ruang untuk memilih jalan hidup saya sendiri tanpa desakan sesiapa. Dengan siapa saya mahu berkawan, dengan siapa saya mahu menjalinkan hubungan, biarlah saya yang tentukan sendiri,"tegas selebriti jelita ini.

(Kredit Gambar: Hazmiljapilus)
Menurut pengacara MeleTOP ini, walaupun mengakui sudah bersedia untuk menamatkan zaman solonya, namun itu tidak bermakna dia sudah bertemu dengan pilihan hati apabila didakwa menjalinkan hubungan dengan kedua-dua jejaka terbabit.
"Seperti yang kami jelaskan dalam majlis ramah mesra bersama #lofattah baru-baru ini, kami memang pernah bersamanya. Namun kami tidak dapat kongsi apa yang telah terjadi sebenarnya. Biarlah perkara itu menjadi rahsia kami berdua.

(Kredit Gambar: Hazmiljapilus)
"Mengenai gosip dengan kerabat diraja, saya mengaku kami sedang berkawan. Selebihnya saya enggan mengulas kerana saya bukanlah orang yang layak untuk berbicara soal ini dan saya percaya anda semua cukup bijak untuk menilainya," terang Neelofa yang bakal.meraikan ulang tahun yang ke-28 Jumaat ini.
Ditanya apakah perkenalannya dengan kerabat terbabit diatur keluarga seperti yang dianggap segelintir pihak, pelakon drama bersiri Suri Hati Mr Pilot ini menafikan perkara itu.

(Kredit Gambar: Hazmiljapilus)
"Keluarga tidak pernah bertanya saya tentang hal ini dan mereka tahu saya boleh menghadapi situasi ini dengan baik,"katanya.
Pada majlis itu, selain diraikan oleh keluarga, rakan artis dan stokis Naelofar Hijab, Neelofa turut menerima kejutan apabila dihadiahkan kek dua tingkat bertatahkan permata Swarovski bernilai RM20,000 sempena sambutan ulang tahunnya itu.
Must-Watch Video