Hanya mencuba vokalnya di pusat karaoke, nyata ia membawa tuah pada bakat baru dari Indonesia, Indah Edrea meraih kepercayaan komposer terkenal, Bemby Noor untuk menciptakan lagu baru dan menunaikan impian gadis itu sebagai seorang penyanyi.

Bemby yang pernah mencipta pelbagai lagu popular antaranya "Jodoh Pasti Bertemu" nyanyian Afgan, "Setia Menanti" (Rossa) dan "Cinta Sesungguhnya" (Shabi Saddi) menyatakan gadis berusia 27 tahun itu mempunyai kekuatan vokal yang unik dan berpotensi digilap bakat nyanyiannya.

Menerusi lagu terbaru ciptaannya, "Pergilah Bersamanya" yang dinyanyikan Indah, pemilihan penyanyi itu dengan lagu ciptaannya dirasakan paling sesuai dan memberi identitinya sendiri.

"Lagu balada perlu dibawa dengan sepenuh jiwa dan emosi seperti lagu "Pergilah Bersamanya" yang dihasilkan dengan penghayatan daripada Indah begitu maksima. Indah berjaya mempersembahkan lagu ini sehingga nyawa dari lagu, lirik dan maknanya terasa dari getaran vokalnya.

"Lagu ini tentang seseorang mempunyai kekurangan yang mahu berubah tetapi pada saat dia mahu berubah, pasangannya tiada perasaan lagi. Justeru, dia harus merelakan pasangannya pergi," katanya dalam satu pertemuan dengan media Malaysia baru-baru ini.



Tambahnya, dia begitu selektif terhadap pemilihan lagu dan artis yang menyanyi lagu ciptaannya. Begitu juga, ia kagum ketika pertama kali mendengar vokal Indah dan optimis penyanyi itu berupaya menarik perhatian pendengar meminati lagunya itu.

"Saya menjangkakan lagu ini boleh diterima pendengar khusus di Malaysia kerana berdasarkan beberapa karya saya yang sudah dihasilkan seperti bersama penyanyi di Malaysia, saya sudah mengenal selera pendengar dan industri muzik di sana.

"Indah unik kerana dia mempunyai vokal luas yang boleh mencapai nada tinggi dan warna vokalnya juga unik. Jika kita tidak perlu melihat orangnya, kita sudah tahu pemilik vokalnya itu adalah Indah," katanya.

Bemby kagum dengan keunikan vokal Indah selepas dia mendengar kehebatan vokal gadis ini di pusat karaoke.

Bagi Indah, pengalaman bekerjasama dengan Bemby merupakan titik tolak untuk dia menempatkan diri sebagai penyanyi dan berhasrat menembusi pasaran muzik di Malaysia. Impiannya mahu mengembangkan bakat seni di negara sendiri dan Asia seperti Malaysia, Singapura dan Brunei.

"Saya mahu promosi lagu ini dijalankan serentak di Indonesia dan Malaysia serta menembusi pasaran Brunei dan Singapura. Saya suka Malaysia dan makanan di sana seperti nasi lemak dan rendang," katanya yang meminati penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Rossa sebagai idola.

Penyanyi yang mempunyai ketingga 174 sentimeter ini pernah mengasah bakat nyanyian ketika zaman remaja bersama koir Olimpik di Jerman dan Korea Selatan. Indah atau nama sebenarnya, Indah Pratiwi Subroto mahu mempunyai karya sendiri seperti singlenya, "Pergilah Bersamanya" sebagai menunaikan impiannya bergelar penyanyi.