Angin tiada, ribut pun tiada, akhirnya penyanyi Indah Ruhaila bakal menamatkan zaman bujangnya dengan lelaki pilihan pada 24 Disember ini. Ia dikongsi Indah menerusi hebahan media dilakukan pihaknya.

Bagaimanapun majlis itu dibuat secara tertutup tanpa kehadiran rakan media. Lalu, lokasi dan jam majlis berkenaan juga tidak dinyatakan.

Malah misteri bakal suaminya juga menjadi tanda tanya. Atau mungkin penyanyi lagu Percayalah itu akan bernikah dengan abang sado yang pernah dikaitkan dengannya selepas putus tunang.

“Saya Indah Ruhaila, ingin mengumumkan bahawa saya akan melangsungkan pernikahan pada 24 Disember ini.

“Terlebih dahulu, saya dengan rendah hati ingin memohon maaf dan menyusun sepuluh jari kerana tidak dapat menjemput rakan media yang cukup saya sayangi kerana majlis ini diadakan secara sederhana dan dihadiri oleh keluarga terdekat serta sahabat rapat sahaja,” katanya.

Indah turut menjelaskan, bukan niatnya untuk merahsiakan tentang pernikahan ini.

“Tetapi demi menghormati permintaan keluarga kedua-dua belah pihak, say akur.

“Saya bagaimanapun akan memberi kenyataan rasmi berserta gambar sejurus selepas majlis berlangsung.

“Sekali lagi, saya memohon maaf tulus daripada hati. How i wish, i can share my happiest moment in life with all of you. Terima kasih kerana terus membantu karier saya selama ini. Doakan yang terbaik untuk saya.

“InshaAllah dan Terima Kasih,” katanya.