Selepas meledak dengan single Hati Hati dan drama Abang Bomba I Love You, Amira Othman boleh berbangga kerana rezeki dan bakatnya terus diberi perhatian. Terbaharu bekas finalis Akademi fantasi 2013 ini diberikan ruang lebih besar untuk muncul bersama lagenda Pop Yeh Yeh di Panggung Sari Istana Budaya dalam Konsert Gegar Pop Yeh Yeh pada 3 hingga 5 Mac depan.
Berkata kepada Rojak Daily Kaw! Amira, 23, melihat ia sebagai ruang untuk terus membuktikan bakat seni yang dimilikinya.
“Apabila ditawarkan oleh penerbit konsert tersebut, saya terus menyatakan persetujuan kerana inilah masanya saya dapat menimba pengalaman beraksi di pentas Istana Budaya yang selama ini menjadi idaman saya.
“Saya juga amat meminati lagu- lama terutamanya pop yeh yeh kerana ia memberikan inspirasi serta semangat untuk terus berada di dalam industri ini,” katanya.
Lebih mengujakan, menerusi konsert anjuran bersama Istana Budaya, Persatuan Generasi Seni Malaysia (GenSem) dan CTRA Production itu, Amira akan berduet secara battle dengan Datuk A. Rahman Hassan melalui lagu Bahagia Hendaknya.
“Ini adalah satu penghormatan besar kepada saya kerana Datuk A Rahman berasal dari negeri yang sama dengan saya iaitu Johor.
“Pengalaman ini pasti akan menjadi antara sejarah penting dalam karier saya sebagai penyanyi apatah lagi lagu yang akan didendangkan itu adalah milik isteri beliau yang telah kembali ke ramatullah,” katanya yang turut akan mendendangkan lagu I Follow Him yang dipopularkan oleh Peggy Marc di samping lagu Allahyarham Azizah Mohamad, Syurga Idaman serta Suzanna.
Selain Amira, generasi baharu yang turut akan membuat penampilan istimewa pada konsert berkenaan ialah Aiman Tino. Amira berharap supaya penampilan khasnya dan Aiman Tino di dalam konsert itu akan mendapat sambutan terutamanya di kalangan generasi muda agar lebih mengenali irama tersebut.
“Kehadiran saya di dalam konsert itu bukan sekadar untuk diri sendiri tetapi mewakili generasi muda supaya lebih mengenali dan menghargai warisan bangsa kita sendiri.
“Semoga apa yang dilakukan ini dapat mengembalikan semula kegemilangan dan kenangan indah zaman ibu bapa atau nenek dan datuk kita,” katanya.
Konsert yang terbahagi kepada segmen solo, tribute dan battle itu turut menampilkan penyanyi terkenal era 60-an iaitu Datuk A. Rahman Hassan, Datuk L. Ramli, Datuk Jefrydeen, J. Sham, Maria Bachok selain A. Rozainie.
Konsert yang diarahkan oleh Mohd Ferdaus Hassan akan diiringi oleh kumpulan muzik Agogo Istamuzika daripada Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) Istana Budaya.
Tiket dijual dengan harga RM56, RM86, RM116, RM156 dan RM186. Untuk tempahan tiket boleh layari laman web www.airasiaredtix.com atau terus ke laman Facebook: ctraproduction atau hubungi 03-40265558/03-61866592/017-2004249/012-2977220.